Mengapa Gerhana Berwarna Merah?

11 12 2011

Salah seorang anak murid sms malam tadi, “Tadi cikgu cakap pembiasan cahaya dri bumi buat kale bln 2 merahkan… chye bumi kale ape?” (Abaikan cara penulisan sms itu, haha!)

Merah

Mengapa semasa gerhana bulan penuh, bulan berwarna kemerahan dan bukannya gelap dan terus hilang dari pandangan? Unik bukan? Kuasa Tuhan…

Ini berlaku kerana pembiasan cahaya oleh atmosfera Bumi. (Penerangan berikut mempunyai konsep sains). Cahaya matahari mempunyai banyak gelombang warna, dari merah sehingga ke ungu yang mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Gelombang yang mempunyai panjang gelombang berbeza ini akan dibiaskan oleh atmosfera bumi pada kadar berbeza. Kesannya, warna merah akan lebih dominan daripada warna-warna lain (seperti waktu senja).

Dan warna ini letaknya pada bayang-bayang bumi dan akhirnya menyebabkan perubahan warna pada permukaan bulan semasa gerhana. Gambar di bawah menerangkan tentang fenomena ini, termasuklah bayangan bumi sekirangan kita berada di bulan semasa gerhana.

 





Titis Air Hujan

10 12 2011

Kebanyakan daripada kita menyangka bahawa bentuk titis air hujan ialah seperti bentuk ‘teardrops’, bulat di bahagian bawah dan tajam di bahagian atas, seperti gambar berikut.

Nyata fakta ini silap! Haha! Bentuk sebenar titis air hujan ialah seperti berikut.

Penjelasannya? Sebenarnya bentuk titisan air ialah sfera, disebabkan daya lekitan (cohesive force) antara molekul air. Namun, semakin laju pergerakannya menghampiri bumi, rintangan udara menyebabkan bahagian bawah titisan air itu akan ‘meleper’, dan semakin lama, rintangan ini akan mengubah bentuk dan mungkin akan ‘memecahkan’ titisan ini kepada titisan yang lebih kecil. Dan apabila semakin mengecil, bentuknya akan semakin sfera, kerana kurang mengalami rintangan udara.

Tetapi, bentuk seperti ‘teardrop’ itu lebih menarik, walaupun secara meteorologinya, ia salah…

 





Melepaskan Batok Di Tangga

8 12 2011

Satu ilmu yang saya dapat semasa menjadi pengawas SPM. Bagus juga bergaul dengan banyak guru dalam bidang berbeza.

Saya belajar peribahasa; Melepaskan Batok Di Tangga.

Makna

Hampir semua orang tahu makna peribahasa ini, bukan? Tetapi yang saya baru tahu ialah, dari mana asalnya peribahasa ini?

Seorang sahabat saya menerangkan, batok ialah sejenis ‘gayung’ untuk mencedok air dan membasuh kaki di tangga rumah.

Selepas digunakan, seharusnya batok ini diletakkan semula di dalam tempayan air, atau atas penutup tempayan, bukannya diletakkan di atas tangga begitu sahaja.

Maka, tidak sempurnalah kerja sekadar melepaskan batok di tangga itu.Jadi peribahasa ini bermaksud orang yang melaksanakan kerja tidak sempurna atau dengan kata lain membuat kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Dari dahulu, ingatkan batuk-batuk di tangga rumah… haha!





FB Guru

22 11 2011

Afifah berkata pada saya, “sudut kehidupan bnyk mende lahh sir, petik satu …”.

Benar! Banyak benda boleh diceritakan di blog kembali tidak aktif sejak pensel warna saya bersepah-sepah dulu. Tetapi, menyusun kata-kata untuk memastikan naratif tidak membosankan, itu yang sukar!

Bukan sekadar untuk memastikan entri tidak membosankan, malahan yang paling penting, jangan mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak. Itu sangat penting.

Facebook

Saya tidak nafikan, memang saya pengguna tegar Facebook (FB). Sebagai guru, saya boleh manfaatkannya ataupun sebaliknya. Ada sesetengah negara telah memperkenalkan undang-undang bahawa guru tidak boleh menambah muridnya sebagai rakan di mana-mana jaringan sosial. Tujuannya menjaga batas dan professional antara guru dan pelajar. Di Malaysia, tiada undang-undang seperti itu yang dikuatkuasakan. Baguslah, ada baiknya.

Benar juga jika ada rakan-rakan dan anak murid saya yang menyatakan bahawa Cikgu Ali Asyraf amat selalu online di FB. Benar! Tetapi saya tidak pernah online semasa mesyuarat seperti yang pernah rakan-rakan saya buat, hatta menanda kertas soalan di dalam mesyuarat pun saya tidak pernah buat. Paling penting dalam menggunakan FB ini kini ialah memastikan diri sendiri tidak menyakiti hati orang lain, kelak FB akan jadi medan yang merosakkan.

Guru di FB

Sebagai guru, FB bukanlah medium terbaik luahan emosi kekecewaan terhadap pelbagai perkara, terutamanya pelajar sendiri. Saya sendiri pernah lakukan perkara sedemikian, tetapi saya sendiri yang dibenci pelajar sendiri. Belajar dari kesilapan, saya cuba elakkan perkara sedemikian di FB.

Buat guru-guru yang semakin hebat menulis sedemikian di FB, henti-hentikanlah. Tulis yang baik-baik sahaja di FB itu.

Ada juga group tertentu untuk guru di FB. Sehingga entri ini ditulis, kurang lebih 5600 orang sudah mengikuti kumpulan ini. Jujurnya, adakalah saya menjadi bosan dengan group ini. Pendamkan sahaja.

Saya minta maaf andai FB saya mengguris hati sesiapa, terutamanya pelajar-pelajar saya.

Saya tahu, saya tidak sempurna, malah jauh sekali untuk mencapai tahap itu. Namun saya rayu pada rakan-rakan, sudah-sudahlah.

Mengapa FB guru-guru lama saya di SHAH Pekan sangat menarik untuk diikuti. Malahan lebih banyak memberi motivasi kepada saya, bukankah begitu Cikgu Haslina Yusoff?





Pensel Warna

28 09 2011

Saya ada pensel warna merah, biru dan hijau. Biasanya semuanya dalam satu kotak. Tapi belakangan ini, semua pensel warna saya bersepah-sepah sampai ada yang hilang. Ada sesiapa nampak tak pensel warna saya? Saya nak masukkan semula dalam satu kotak yang sama…





16 September 2011

16 09 2011

 

Saya suka lagu ini. Khas untuk semua warga Malaysia.

Campak jauh-jauh isu politik. Sungguhpun kadang termaki dan tercaci yang berada di atas, kononnya tidak prihatin dengan yang di bawah…

Saya sayangkan Malaysia. Harap semuanya mempunyai semangat yang sama.

p/s : Dua tahun mengacara sambutan kemerdekaan di sekolah, generasi muda lebih up-to-date dengan lagu patriotik….





Luahan Hati Anak Muridmu

10 08 2011

Bersiar-siar di ruang maya, tertarik dengan blog Cikgu Azemi. Terima kasih cikgu!

Dan satu hasil nukilan yang paling menarik hati saya, Luahan Ikhlas Anak Muridmu. Terbaik!

LUAHAN HATI ANAK MURIDMU

Jangan pekikkan ke telingaku lagi!
Kata-kata nista itu
Ia buat hatiku terusik
Ia membuat jasadku menjadi lemah
Aku tahu kejahilanku
Akalku lemah untuk menerima
Walau telah sedaya upaya aku mencuba
Namun kecundang di penghujungnya
Lalu
Masih bersalahkah aku
Masih layakkah aku dicemuh sebegitu
Di hadapan rakan-rakanku
Tolong cikgu!
Kata-kata itu tidak layak untuk aku
Untuk aku yang serba kekurangan ini
Untuk aku yang bergelar anak muridmu
Aku juga ingin sepintar mereka
Yang pantas mengira apabila diminta
Yang hebat dalam membina ayat
Yang kuat ingatan dalam menghafal
Aku tidak setanding mereka semua
Tapi cikgu
Aku kenal huruf A
Aku kenal alif, ba dan ta
Aku boleh membaca dua suku kata
Aku anak muridmu cikgu
Yang mungkin terpinggir dalam perjalanan
Yang tersadung kaki semasa berlari
Yang tergelincir ketika cuba mendaki
Aku masih berpeluang untuk bangun
Berlari seperti mereka
Mendaki seperti mereka
Dan suatu masa
Aku ingin menjadi insan berguna
Nukilan : Sahibul Anuar Asrani, Debak, Sarawak.







Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.