Tidak pernah dalam sejarah negara seorang sultan mempersoalkan secara
terbuka pemberian nama sesebuah projek pembangunan atas namanya. Namun kini Tuanku Sultan Johor secara terbuka mempersoalkan penggunaan
nama beliau dalam projek Pembangunan Johor Selatan.
Jika pihak yang berkenaan terlebih dahulu menghantar surat memohon
menggunakan nama tuanku Sultan Iskandar sebagai nama kepada projek
pembangunan Johor Selatan tersebut tentulah tidak timbul isu ini.
Tentulah tuanku sultan tidak mempersoalkannya dalam ucapan perasmian
beliau.
Penggunaan nama seseorang yang masih hidup perlulah
meminta kebenaran yang empunya diri. Apatah lagi bila membabitkan
seorang sultan sebuah negeri, maka surat memohon perkenan haruslah
dihantar terlebih dahulu. Malah lebih afdal YAB Perdana Menteri
mengadap duli tuanku mohon perkenan terhadap idea tersebut.
Hari ini Tuanku Sultan Johor meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Baginda
juga secara terbuka menegaskan bahawa Tambak Johor sudah tidak relevan
kepada negeri Johor. Ini sekaligus menolak hujah awal kerajaan dahulu
bahawa rakyat Johor menolak jambatan menggantikan tambak Johor.
Pun begitu, tuanku juga menyatakan kekecewaan beliau atas sikap mantan PM kita iaitu Tun Dr Mahathir yang terlalu ‘menyerang’ peribadi Pak Lah sehingga boleh mencetuskan isu (terutama sekali apabila isu ini disiarkan dan dipanaskan oleh media).
Tuanku
Sultan Johor juga sudah tentu akan kecewa jika dimaklumkan
bahawa syarikat pertama yang mendapat peluang dalam Pembangunan Ekonomi
Johor Selatan (yang ditukar nama kepada Kawasan
Pembangunan Iskandar) ialah syarikat Parkway dari Singapura.
Tentulah
tuanku Sultan akan tertanya-tanya mengapakah pembangunan Pelancongan
Kesihatan (Health Tourism) diberikan kepada Parkway sebuah syarikat
Singapura – negara yang bersaing dengan Malaysia dalam industri ini.
Tentulah Tuanku dan rakyat Johor akan tertanya-tanya apa fungsi
konglomerat kesihatan Johor – KPJ sendiri?
Siapa yang hendak beri jawapan?