Angkasawan Malaysia

6 09 2007

Baru-baru ini (3/9/07), kerajaan telah mengumumkan kepada sekalian rakyat bahawa sesungguhnya angkasawan pertama akan diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri.

Sebagaimana biasa, saya bersiar-siar di internet untuk memenuhi masa lapang, lantas menemui beberapa artikel yang menarik untuk dikongsi bersama. Bukannya berniat untuk membuat spekulasi, tetapi agak menarik untuk membuat smart guess tentang siapa yang akan mewakili Malaysia.

Satu artikel dari NASA telah menyebut bahawa pada Oktober nanti, sebahagian peserta Expedition 16 ke Stesen Angkasalepas Antarabangsa (ISS) akan menaiki Soyuz dan berlepas dari Kazakhstan yang mana antara pesertanya ialah Sheikh Muszaphar Shukor dari Malaysia. Maknanya, jikalau artikel ini sahih (kalau tidak sahih, tidaklah ia dipresskan oleh NASA), Dr Sheikh Muszaphar akan menjadi angkasawan pertama Malaysia.

Sozuztma11crew
Bukan sekadar itu sahaja, saya juga telah menemui gambar penumpang Soyuz TMA-11 juga di laman web NASA, yang mana gambar tersebut jelas menunjukkan tiga penumpang termasuklah Dr Sheikh Muszaphar. Sekadar makluman, dua lagi penumpang tersebut ialah Yuri Malenchenko (dari Rusia) dan Peggy Whitson (dari AS, merupakan komander penerbangan angkasa wanita pertama). Walaupun artikel ini bukanlah suatu kenyataan, namun artikel ini dibuat berdasarkan satu conference yang diadakan di NASA.

Maka, saya ingin membuat suatu tekaan, bahawa Dr Sheikh Muszaphar akan pergi ke angkasa lepas, manakala Kapten Dr Faiz Khaleed akan menjadi back-up.

Apa pilihan anda? Apa-apapun, moga bidang Fizik terus berkembang…





Idealis

6 09 2007

Saya ternampak satu poster (poster ke?) yang ditampal (pastinya tanpa kebenaran) di perhentian bas di hadapan perpustakaan utama UM.

Jelas kelompok yang memperkenalkan diri mereka sebagai weloveum ini telah memulakan kempen risalah pilihanraya kampus (PRK) lebih awal lagi. Belum pun terdengar bilakah pilihanraya ingin diadakan, tindakan awal baik pihak-pihak berkenaan telahpun bermula. Saya sendiri, sering melawat laman web Harakah dan Idealis Mahasiswa di mana perang PRK tidak pernah berkesudahan.

Saya juga sempat berbual-bual dengan rakan-rakan tentang PRK dan rata-rata mempunyai pendapat dan pilihan masing-masing, baik Aspirasi, Gagasan dan sebagainya. Tidak sekadar berbual-bual, ramai mengecam diri saya kerana mereka melihat diri saya sebagai golongan yang tidak berpendirian. Saya tekankan di sini bahawa, pendirian saya adalah dengan mereka yang mempunyai idea saranan yang baik serta keinginan yang kuat untuk mengadakan sesuatu (rujuk kamus dewan).

Kembali kepada kenyataan asal saya tentang poster yang saya jumpa di perhentian bas tersebut, jelas-jelas mereka merupakan golongan yang melaung-laungkan hak mereka sebagai mahasiswa yang mendokong demokrasi, namun gagal memahami perjuangan mereka yang sebenar. Sebagai contoh paling mudah, kedangkalan mereka memilih moto perjuangan sendiri menunjukkan mereka bukanlah golongan yang berfikir panjang, namun asalkan moto sedap dilaungkan, itulah yang dipilih.

Apakah moto mereka? Hidup mahasiswa beridealisme! Lebih kurang begitulah propaganda yang dicetak. Mungkin pada pandangan akal mereka, Idealisme membawa pengertian mempunyai idea yang baik untuk disarankan (merujuk kepada istilah Gagasan yang membawa maksud yang sama). Namun, hakikat yang sebenar merujuk kepada pengertian Idealisme berdasarkan kamus dewan adalah :

idealisme 1. sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal, sifat (sikap, cita-cita, dsb) menghasratkan yg unggul (yg sempurna) 2. hasrat atau cita-cita yg unggul tetapi tidak realistik (tidak berkemungkinan tercapai atau menjadi kenyataan), hasrat atau cita-cita yg lebih merupakan impian 3. aliran (penulisan, seni) yg bersifat impian atau khayalan (dgn memaparkan keunggulan, kesempurnaan, keindahan, dsb) yg berlainan sama sekali drpd kenyataan

Maka sahabat-sahabat sekalian, bersedia untuk memilih?





Mock Trial

6 09 2007

Mocktrial
Malam semalam (5 Sept 2007), saya berkesempatan untuk menghadiri Mock Trial di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya. Merasakan diri masih kurang ilmu dalam selok-belok perundangan ini, maka pergilah menonton bersama-sama rakan yang lain (Norfaizal, Hidayah, Balqis, Sarah, Kak Cik, bf Kak Cik (sape nama ek?)). Walaupun saya menyedari bahawa mock tersebut merupakan ala-ala lakonan teater di Panggung Sari Istana Budaya, namun sedikit sebanyak telah memberikan ilmu dan input yang berguna.

Mock trial berlangsung kurang lebih 2 jam berkisar tentang perbicaraan tentang dakwaan seorang hamba Allah ini terlibat dengan rompakan bank. Bagi saya, kesemua peserta mock ini memberikan persembahan baik namun lawak-lawak yang diselitkan dalam persembahan tersebut hanya boleh difahami oleh orang-orang tertentu sahaja.

Keseluruhannya, sangat baik. RM2.50 yang berbaloi. Jangan ketinggalan…