PRK semakin hampir, kita semakin terpinggir

18 09 2007

Tahun ini masuk tahun ke-4 pengajian saya di Universiti Malaya dan kali ke-4 jugalah saya melalui pilihanraya kampus (PRK).

Adakah melampau untuk saya katakan bahawa perbalahan politik dalam PRK telah menyebabkan kita terbahagi and akhirnya terus terpinggir? Saya rasakan tidak. Saya sedih melihatkan orang lain boleh bekerjasama untuk kebaikan bersama. Namun, perbalahan sesama sendiri ini saya lihat merugikan kita.

Ambil contoh dua pihak di Universiti Malaya (yang terang-terangan melanggar undang-undang PRK) iaitu Aspirasi dan Pro-Mahasiswa (a.k.a Gagasan). Acapkali kita dengar, perpecahan sesuatu bangsa akan meruntuhkan  bangsa itu sendiri. Namun, hakikatnya perit untuk diterima. Aspirasi dan Pro-Mahasiswa adalah kumpulan dominan Melayu. Dua kumpulan ini mempunyai titik persamaan yang begitu jelas; Islam dan Melayu.

Persoalannya, apakah titik persamaan ini tidak boleh dibentuk untuk menyatukan Islam dan Melayu demi kebaikan bersama? Adakah wajar meletakkan perbezaan pendapat, fahaman dsb sebagai suatu sempadan untuk membentuk perpaduan di kalangan kita?

Saya kira, sudah tiba masanya, undang-undang PRK ditegakkan oleh semua pihak; tiada calon bertanding atas nama kumpulan tertentu. Sudah tiba masanya juga untuk kita bergabung atau sekurang-kurangnya mempunyai kerjasama dan penyatuan yang kuat demi kebaikan semua.