Angkasawan Malaysia

25 10 2007

Banyak respons yang saya baca tentang program angkasawan malaysia baru-baru ini. Dengan menaiki Soyuz TMA-11 dan kembali ke bumi menaiki Soyuz TMA-10, Alhamdulillah Dr Sheikh Muszaphar Syukor telah berjaya menjadikan misi tersebut suatu kenyataan.

Soyuz_tma11_patch
Sejarah ini juga mencatatkan bermulanya era baru dalam penerokaan angkasa lepas bagi sebuah negara kerdil dalam bidang ini seperti Malaysia. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada Roskosmos dan NASA atas kerjasama dan bantuan yang diberikan kepada kedua-dua Dr Sheikh Muszaphar dan Kapt Dr Faiz, dan juga siaran langsung oleh NASA yang dipetik oleh Malaysia terutamanya di saluran 588 Astro. Juga syabas kepada Malenchenko dan Whitson kerana berjaya mengemudi Soyuz TMA-11 dan menjadi komander ISS wanita pertama, kerana anda sebahagian sejarah perkembangan Sains & Teknologi di Malaysia.

Namun begitu, bukan itu yang saya ingin utarakan. Setelah membaca blog khairulnizambakeri berkenaan Angkasawan Malaysia Bodoh oleh Backman, sedikit demi sedikit saya berasa sangat dukacita.

Dr_sms
Benar kata Khairulnizam, banyak yang perlu kita pertimbangkan. Namun, saya sebagai bakal guru di masa akan datang lebih melihat program angkasawan ini bukannya suatu anjakan besar untuk Teknologi negara, bukan juga politik untuk menaikkan nama negara semata-mata, tetapi menjadi Inspirasi kepada masyarakat Malaysia, itu saya kira yang paling penting.

Soyuz
Harakah juga turut berkata, kita bazirkan duit semata-mata untuk menguji yoyo dan gasing. Perlu diingat, eksperimen yoyo dan gasing dibuat, kemudian dipancarkan secara langsung di hadapan sekumpulan pelajar di Pusat Sains Negara. Untuk apa melainkan menarik minat pelajar terhadap sains. Malah, ada juga yang kata kita tidak perlu menghantar angkasawan kerana teknologi kita masih tidak mampu menghantar roket. Persoalannya, adakah kerana kita tidak mampu membina roket, kita tidak perlu menghantar angkasawan atau melancarkan satelit? (memetik kata-kata Datuk Dr Mazlan Othman)

Exp16
Memang tidak dinafikan, belanjanya cukup besar, iaitu hampir RM 100 juta. Perlu diingat, faedahnya juga besar. Sebagaimana yang saya katakan, program ini memberikan semangat dan suatu anjakan kepada masyarakat. Rata-rata rakyat Malaysia kini mula sedar tentang kewujudan ISS, malah ada yang sudahpun memahami tentang kapal angkasa Soyuz TMA itu sendiri. Bagus bukan? Inilah yang saya katakan, memberi inspirasi dan semangat.

Biarlah seluruh warga politik tanahair, khususnya di Harakah (maafkan saya kalau ada yang tidak bersetuju) asyik-asyik mengatakan tentang keburukan program ini, dengan merujuk kepada pembaziran semata-mata. Kerana itulah, golongan yang diberi peluang untuk berbicara dalam tempoh singkat sepuluh minit tatkala ISS melintasi Malaysia di orbit 16 ialah sekumpulan pelajar sekolah rendah, bukannya Azamin Amin (penulis artikel di Harakah) mahupun Backman sendiri.

Smsdiiss
Di akhirnya, jangan burukkan kejayaan Dr Sheikh Muszaphar dan Agensi Angkasa Lepas Malaysia. Ingatlah, kejayaan pelancaran satelit Sputnik 1 dahulu bukan sekadar kejayaan penerokaan teknologi satelit, tetapi jauh daripada itu, menjadi titik permulaan kepada pendidikan Sains di seluruh dunia terutamanya di Soviet dan Amerika Syarikat. Mungkin, kejayaan program angkasawan ini juga sebagai suatu permulaan kepada era baru Sains dan Teknologi negara tercinta.