Runut bunyi asal, skor muzik filem. Saya seorang sahaja ke?

26 10 2007

Baru lepas belek blog favourite, ada terbaca entri tentang ulasan filem. Tiba-tiba terlintas di fikiran tentang suatu kegemaran saya yang rasanya jarang (bukannya tiada) dikongsi dengan orang lain, iaitu mendengar runut bunyi asal (Original Sountrack (OST) kalau dalam bahasa antarabangsanya) ataupun skor muzik daripada filem. Sekurang-kurangnya, blog ini terisi, tidak terbiar macam Plaza Rakyat sebelah Puduraya. Haha.

Johnwilliams
Entah bila bermula kegemaran ini, saya pun tidak pasti. Walau gemar sekalipun, saya agak memilih juga dalam mendengar OST ini. Setakat ini, paling digemari adalah hasil kerja John Williams (Star Wars, Harry Potters dsb, banyak sangat!), Patrick Doyle (Harry Potter 4, Eragon), Howard Shore (The Lord of The Rings) dan berbagai lagi. Namun, bak kata Ramli MS (sudah lupa BiPop keluaran bila), entah bila filem Malaysia mampu untuk mempunyai skor muzik yang dimainkan oleh orkestra. Yalah, belanja mahal untuk pasaran yang kecil, siapa sanggup kan?

Oh ya, cubalah juga dengar-dengar koleksi lagu-lagu kartun Disney yang cukup asyik didengar seperti A Whole New World (Aladdin), Beauty and The Beast, Can You Feel The Love Tonight (The Lion King), Colours of The Wind (Pocahontas), Reflection (Mulan), If I Didn’t Have You (Monsters Inc) dan berbagai lagi. Walau sekadar dari cerita animasi, namun saya kira setanding dengan lagu My Heart Will Go On (Titanic) atau sekurang-kurang lagu My Heart (Heast OST).

Saya seorang sahaja ke? Kepada semua, kalau rajin, dengarlah sama ya! (Kasihan roomateku yang kadangkala terpaksa mendengar gesekan biola dan tiupan brass yang tiada penyanyinya, haha!)





Pulang ke sekolah…

26 10 2007

Shahpekan_4
22 Nov 2007, saya berkesempatan untuk kembali ke bekas sekolah saya yang tercinta. Atas undangan Miss Ann, majlis sambutan raya yang disifatkan sederhana tetapi meriah telah saya hadiri. Tujuan utama, berjumpa kembali dengan guru-guru lama yang telah banyak mengajar diri ini tentang erti kehidupan yang sebenar.

Nametag_shah
Hati rasa gembira bertemu dengan semua guru, ramai juga yang masih mengajar di sana. Lawatan ke kawasan sekitar sekolah juga sedikit demi sedikit menyebabkan kotak memori saya seakan dibuka dan ibarat wayang; terpapar satu demi satu. Teringat zaman dahulu; seorang pembahas, suka bernasyid, pengawas yang pemalas, tidak rajin belajar di kelas prep, itulah dia Ali Asyraf. Huhu…

Namun, sebagaimana biasa, perubahan telah berlaku. Budaya pelajar amat berbeza. Agak kesal juga, namun kita tidak mampu mengelak daripada perubahan. Cuma biarlah ke arah yang lebih positif.

Tekad saya, suatu hari nanti, saya ingin kembali ke tempat yang mana telah banyak mengubah hidup saya. Bukan sebagai pelawat semata-mata, tetapi sebagai seorang warganya. Amin. Moga impian akan tercapai.