Merajuk

30 11 2007

Seringkali orang merajuk kerana dia kecil hati orang
lain tidak mengendahkannya. Sama ada orang tidak memuliakannya dengan
memberikannya satu kedudukan atau tempat yang istimewa, atau tidak menerima
pandangannya, atau tidak menunaikan permintaannya.

Siapa yang kena penyakit merajuk? Penyakit merajuk ini boleh kena pada
siapa-siapa sahaja, tidak kira lelaki atau perempuan, tidak kira tua atau pun
muda, orang yang besar atau pun kecil, anak boleh merajuk dengan emak, emak
boleh merajuk dengan anak.

Merajuk ini berpunca dari hati yang kurang ada rasa
kehambaan
. Bila tidak rasa diri
hamba, dia akan merasakan yang dirinya itu tuan. Sebagai ‘tuan’, dia perlulah
dimuliakan. Kata-katanya perlu didengar dan dikotakan.

Sebenarnya, hatinya marah kerana tidak diberi perhatian. Tetapi mungkin
kerana malu atau tidak ada kuasa, ataupun mungkin kerana beranggapan yang
marah-marah itu satu sikap yang lebih tidak baik, marahnya pun tidak
dilepaskan. Sebaliknya, dia mengalihkan marahnya kepada merajuk
. Dengan
merajuk, orang akan faham yang dia sebenarnya marah walaupun dia sekadar
mendiamkan diri sahaja.

Apakah merajuk lebih baik dari marah? Kedua-duanya adalah sifat
terkeji yang mesti diungkai
. Kedua-duanya timbul dari rasa diri mulia
yang mesti dihormati
. Lebih ditakuti lagi kalau orang yang merajuk itu menyangka
yang sikapnya itu tidak salah atau dirinya itu lebih baik daripada orang yang
marah-marah
. Dia sebenarnya sudah tertipu. Dan kalau dia tidak bertaubat
atas dosanya ini, dia akan dihukum di akhirat kelak.

Maka untuk mengubatinya, kita perlulah tanamkan sifat-sifat kehambaan.
Sifat ini ialah merasakan yang Tuhan itu Maha Berkuasa. Dia boleh
timpakan apa sahaja ke atas kita sama ada perkara yang kita suka ataupun tidak.
Kalau kita membantah sama ada dengan cara marah-marah atau merajuk, kita bukan
sahaja marah atau merajuk kepada orang yang “menyakiti hati” kita itu, tetapi
kita juga sebenarnya menentang takdir Tuhan ke atas diri kita.
Kalau Tuhan
tidak izinkan perkara itu berlaku ke atas kita, tentu ia tidak akan berlaku. Berlakunya
ia ke atas kita ialah kerana Tuhan memang hendakkan perkara itu berlaku
.

Sifat kehambaan juga ialah merasakan yang kita ini hamba yang lemah dan
tidak berkuasa. Siapalah kita yang hendak menolak takdir Tuhan. Kita harus
terima apa sahaja yang Tuhan timpakan ke atas kita. Kalau orang tidak muliakan
kita, memang kita pun tidak layak untuk dimuliakan
.

Sebagai hamba, kita juga merasakan yang diri kita banyak berdosa.
Justeru itu, layak sangatlah kalau hati kita disakiti, moga-moga dengan kita bersabar,
Tuhan akan hapuskan dosa-dosa kita. Kita juga mungkin sudah lebih banyak
menyakiti hati orang lain. Lantaran itu, kita patutlah bersabar bila hati kita
sedikit sebanyak disakitkan pula…

Wallahu a’lam……..

 

 





Debat Diraja 2007

30 11 2007

Sudah setahun sejak post saya yang lepas mengenai Debat Diraja 2006.

Kini, Pertandingan Debat Diraja 2007 sudahpun melabuhkan tirainya. Gelaran naib johan yang disandang oleh pasukan UM (Utama) amat disyukuri, walaupun gagal mempertahankan kejuaraan.

Benar, banyak yang saya pelajari dalam edisi debat diraja kali ini. Pendebat tidak boleh hadir dengan otak yang kosong. Subjek perdebatan serta isu untuk penghujahan perlu dikuasai agar perdebatan berlangsung secara intelek dan bukannya atas retorik semata-mata. Itulah kelemahan yang saya kira perlu untuk diperbaik untuk kejohanan akan datang.

Img_5902
Pengalaman digandingkan dengan Zul Fadhli dan Haris Mohd Ghazali (untuk kali pertama dan terakhir) merupakan pengalaman yang bermakna. Juga pertama kali diletakkan di posisi pendebat pertama sepanjang kejohanan memberi satu paradigma dan tanggungjawab baru untuk digalas. (Baru saya tahu betapa sukarnya tugas ini berbanding menjadi pendebat ke-2). Terima kasih pada Otel kerana pimpinan ke atas team berjaya ke pentas final untuk kali ke-n dan kepada Haris, sebagai newcomer dalam debat intervarsiti, anda sangat bagus. Selepas ini, tumpukan pada buku, jadikan debat sebagai kenangan terindah yang tidak akan dilupa sepanjang hayat.

Img_5875edited_1
Kepada yang lain, terima kasih daun keladi saya ucapkan. Buat Azizul, Azerai n Hasril, kalian amat bermakna buat kami. Pada yang lain; John, Dayat, Shen, Acap, Shahid, Shahril, Mazuin, Zati, Luqman, Zahid dan Fairus, terima kasih kerana menerima orang tua ini dengan baik sekali. Ingat pada anugerah yang kita kecapi pada malam tersebut, amat sukar untuk mencapainya, lagi sukar untuk mengekalkannya. Maka tanggungjawab yang anda pegang amatlah besar sekali.

Buat keluarga; ibu, ayah dan semuanya, terima kasih atas doa anda.