Graffiti. Kena atau tidak pada tempatnya?

29 12 2007

Kebanyakan pengguna LRT Rapid KL Aliran Kelana (saya lebih suka memanggilnya PUTRAline), pasti pernah melalui stesen Pasar Seni, antara stesen paling sibuk di rangkaian pengangkutan awam tidak berpemandu ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah lukisan graffiti yang terdapat di dinding sungai Klang, betul-betul berhadapan dengan stesen ini.

Grafiti1

Grafiti2

Hasil lukisannya sangat menarik. Ada not RM50, ayat merintih pada Tuhan, Optimus Prime dan Transformers dsb. Tidak dinafikan, manusia-manusia yang menghasilkan graffiti ini sangat kreatif dan bakatnya boleh dikembangkan.

Permasalahannya, adakah ia kena pada tempatnya? Walaupun graffiti yang dihasilkan cantik, saya masih lagi merasakan bahawa ia telah mencacatkan pemandangan ibukota Kuala Lumpur. Mengapa saya berkata demikian? Kerana lukisan tersebut yang tidak ada tema atau keseragaman, jelas-jelas mencerminkan bahawa graffiti tersebut merupakan hasil vandalisma oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Apa salahnya jika DBKL mengambil langkah bijak, memastikan kekreatifan manusia-manusia ini tidak disia-siakan. Ambil contoh seperti di Penjara Pudu, membuat mural di dinding penjara. Namun kali ini, membuat graffiti di tebing sungai agar lebih indah dan cantik.

Walaupun saya katakan ia merupakan suatu vandalisma, ia tetap menarik. Haha!





Debat Perpaduan : The moral of the story…

15 12 2007

Setelah tamat edisi Debat Diraja 2007, terus memulakan latihan untuk Debat Perpaduan dan Integrasi Nasional 2007 yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.

Unity
Saya berpeluang mengemudi pasukan, diletakkan bersama-sama orang pendebat muda iaitu Mohd Shahid (asasi), Shen Yee Aun (tahun 1) dan Luqman Hakim (tahun 1). Terima kasih kepada konsultan terhormat UM, En Azizul Hakim atas kepercayaan mengemudi pasukan muda yang saya kira jarang dilakukan oleh mana-mana pendebat tahun ke-4 seperti saya.

Atas kepercayaan tersebut, harapan saya cukup besar; menjengah ke pentas final. Namun, saya harus akur dengan takdir dan kesilapan diri sendiri kerana gagal ke pentas perdana, sekadar menamatkan perjuangan di pusingan separuh akhir.

Pengajaran paling berharga yang saya peroleh ialah sesungguhnya usaha sesama ahli (teamwork) adalah asas kepada kejayaan sesuatu pasukan. Pasukan perlu seimbang, ada sefahaman dan elakkan permasalahan.

Teguran untuk mana-mana pendebat, baik UM mahupun universiti lain, setiap kemenangan perlu dilihat sebagai kejayaan bersama, walaupun anda acapkali diiktiraf sebagai pendebat terbaik perlawanan. Kekalahan pula dinilai sebagai kesilapan bersama yang harus dimuhasabah agar pengajarannya dapat dicontohi oleh orang lain. Ingat! Orang yang pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan, dan orang yang bijak pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan orang lain.

Juga buat adik-adik juniorku yang baru menapak di arena perdebatan, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Sesungguhnya, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Sekalung tahniah buat kalian atas usaha bersama kita, meletakkan pasukan kita di tangga teratas liga, membawa pasukan ke separuh akhir dan meletakkan diri sebaris dengan pendebat lebih berpengalaman merupakan kejayaan buat kalian.

Buat pendebat muda IPT (terutamanya UM), banyakkan belajar dari pengalaman. Jangan takut untuk kalah, jangan ghairah untuk menang, kerana kekalahan menguatkan dan kemenangan bisa melemahkan. Allah itu Maha Adil. Rezekinya luas dan berpadanan dengan usaha kita, InsyaAllah.

Buat yang bertanggungjawab, pikul dan galas amanah anda sebaik mungkin. Jangan dibuat sambil lewa, pabila gagal menuding jari dan melepaskan diri. Ingat bahawa segala amanah yang anda pikul akan dipersoal kelak, baik oleh Tuhan mahupun sesama manusia.

Buat rakan, kawan, juga sahabat, kelmarin yang luput manjadi kenangan, semalam yang hilang menjadi suatu memori dan pengalaman, yang ada cuma hari ini, kerana esok belum pasti milik kita, sedangkan satu minit berlalu akan pergi buat selamanya. Perjuangan bersamamu akan terpahat seumur hidup, biar perit jerih dan manisnya bercambur-baur, kerana itulah yang menjadi rencah kehidupan.

Buat kesemuanya, marilah sama-sama kita memupuk semangat perdebatan yang tinggi. Buangkan sengketa, elakkan hasad, semaikan persaingan sihat dan kerjasama antara satu dengan lain harus dipertingkat, demi memastikan arena perdebatan IPT terus gemilang.

Definisikanlah kesilapan sebagai pengalaman, ia akan mengajar kita…





I Am Legend

14 12 2007

Entri ini bukan mengenai diri saya. Jauh sekali terdetik hendak menganggap diri ini legenda kerana tidak mahu jadi seperti watak dalam filem ini…

Khamis lalu (13 Disember), saya berkesempatan menonton di pawagam bersama-sama rakan debat yang lain. Awalnya merancang untuk menonton filem The Golden Compass,  namun niat terbantut kerana waktu kurang sesuai.

Maka dipilih pula filem I Am Legend. Untuk menyedapkan hati, saya berkata, "…filem lakonan Will Smith tiada yang mengecewakan. Merujuk kepada filem-filem beliau sebelum ini, memang tiada satu pun yang tidak mencapai box-office.

I_am_legend
Hampir dua jam di pawagam, tekaan saya memang tepat. Filem ini sangat hebat. Awal cerita, filem ini berjaya mencetuskan beberapa persoalan yang menarik untuk dijawab oleh penonton. Apa yang hendak diceritakan? Apa yang berlaku? Mengapa tiba-tiba bandar Manhattan kosong? Mana pergi manusia lain? Persoalan ini mula terjawab satu persatu sepanjang cerita ini yang mana diselitkan dengan flashback yang saya kira sangat baik susunannya. Kebiasaannya, filem-filem sebelum ini tidak berapa menarik sehingga saya sendiri boleh menumpukan perhatian pada skor muziknya semata, namun saya tidak sempat berbuat demikian pada filem ini kerana unsur suspens dan persoalannya memaksa saya berfikir dan bersedia untuk menghadapi kejutan. Zul Fadhli (Otel) di sebelah saya bertindak baik, menambah unsur kejutan dengan bertindak sebagai penggegar kerusi panggung apabila terkejut melihat Darkseeker yang muncul secara tiba-tiba.

Saya tidak begitu pandai komen tentang filem. Namun, saya syorkan pada semua, bacalah mana-mana review tentang filem ini (contohnya di Yahoo! Movies) dan tontonilah filem ini di pawagam. Bukan niat untuk terlalu taksub dengan Hollywood, namun kalau tidak mahu rugi beratur atau membayar harga tiket, tontonilah filem ini.

Korang (Otel, Luqman, Shahid, Acap, John, Zati, Zami), lengkali leh menonton sama lagi ek…