Debat Perpaduan : The moral of the story…

15 12 2007

Setelah tamat edisi Debat Diraja 2007, terus memulakan latihan untuk Debat Perpaduan dan Integrasi Nasional 2007 yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan.

Unity
Saya berpeluang mengemudi pasukan, diletakkan bersama-sama orang pendebat muda iaitu Mohd Shahid (asasi), Shen Yee Aun (tahun 1) dan Luqman Hakim (tahun 1). Terima kasih kepada konsultan terhormat UM, En Azizul Hakim atas kepercayaan mengemudi pasukan muda yang saya kira jarang dilakukan oleh mana-mana pendebat tahun ke-4 seperti saya.

Atas kepercayaan tersebut, harapan saya cukup besar; menjengah ke pentas final. Namun, saya harus akur dengan takdir dan kesilapan diri sendiri kerana gagal ke pentas perdana, sekadar menamatkan perjuangan di pusingan separuh akhir.

Pengajaran paling berharga yang saya peroleh ialah sesungguhnya usaha sesama ahli (teamwork) adalah asas kepada kejayaan sesuatu pasukan. Pasukan perlu seimbang, ada sefahaman dan elakkan permasalahan.

Teguran untuk mana-mana pendebat, baik UM mahupun universiti lain, setiap kemenangan perlu dilihat sebagai kejayaan bersama, walaupun anda acapkali diiktiraf sebagai pendebat terbaik perlawanan. Kekalahan pula dinilai sebagai kesilapan bersama yang harus dimuhasabah agar pengajarannya dapat dicontohi oleh orang lain. Ingat! Orang yang pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan, dan orang yang bijak pandai ialah orang yang belajar daripada kesilapan orang lain.

Juga buat adik-adik juniorku yang baru menapak di arena perdebatan, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Sesungguhnya, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Sekalung tahniah buat kalian atas usaha bersama kita, meletakkan pasukan kita di tangga teratas liga, membawa pasukan ke separuh akhir dan meletakkan diri sebaris dengan pendebat lebih berpengalaman merupakan kejayaan buat kalian.

Buat pendebat muda IPT (terutamanya UM), banyakkan belajar dari pengalaman. Jangan takut untuk kalah, jangan ghairah untuk menang, kerana kekalahan menguatkan dan kemenangan bisa melemahkan. Allah itu Maha Adil. Rezekinya luas dan berpadanan dengan usaha kita, InsyaAllah.

Buat yang bertanggungjawab, pikul dan galas amanah anda sebaik mungkin. Jangan dibuat sambil lewa, pabila gagal menuding jari dan melepaskan diri. Ingat bahawa segala amanah yang anda pikul akan dipersoal kelak, baik oleh Tuhan mahupun sesama manusia.

Buat rakan, kawan, juga sahabat, kelmarin yang luput manjadi kenangan, semalam yang hilang menjadi suatu memori dan pengalaman, yang ada cuma hari ini, kerana esok belum pasti milik kita, sedangkan satu minit berlalu akan pergi buat selamanya. Perjuangan bersamamu akan terpahat seumur hidup, biar perit jerih dan manisnya bercambur-baur, kerana itulah yang menjadi rencah kehidupan.

Buat kesemuanya, marilah sama-sama kita memupuk semangat perdebatan yang tinggi. Buangkan sengketa, elakkan hasad, semaikan persaingan sihat dan kerjasama antara satu dengan lain harus dipertingkat, demi memastikan arena perdebatan IPT terus gemilang.

Definisikanlah kesilapan sebagai pengalaman, ia akan mengajar kita…