Cuti lagi?!

21 01 2008

Awal tahun 2008, warga WP Kuala Lumpur begitu mewah dengan cuti. Bermula dengan tahun baru, kemudian diikuti Maal Hijrah. Baru semalam PM mengumumkan bahawa WP Kuala Lumpur akan juga bercuti untuk sambutan Thaipusam. 1 Feb nanti pun cuti juga; Hari Wilayah pula. Minggu berikutnya, Tahun Baru Cina akan menyusul. Seronok duduk di Malaysia, cuti begitu banyak.

(dipetik daripada Berita Harian, 21 Jan 2007)

Putrajaya, KL cuti Thaipusam

KUALA LUMPUR: Thaipusam diisytiharkan sebagai cuti umum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula pada perayaan tahun ini, yang disambut lusa.

Mengumumkannya pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri anjuran MIC Wilayah Persekutuan, di sini, semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan membuat keputusan itu sebagai menghormati permintaan masyarakat India dan penganut Hindu.

“Lagipun, setiap kali sambutan Thaipusam, jalan raya di Kuala Lumpur sesak sehingga menyukarkan orang ramai hendak pergi kerja. Namun kita bersabar atas dasar saling menghormati upacara sambutan kaum lain,” katanya.

Ketika ini, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum.