KKTAZ Kebanggaan Kita

26 01 2008

Ya! Seluruh penduduk Kolej Kediaman Tun Ahmad Zaidi iaitu Kolej Ke-10 Universiti Malaya telah mendengar pengumuman rasmi di corong pembesar suara kolej petang semalam. Khabar angin kurang gembira yang telah sekian lama didengari akhirnya disahkan sendiri oleh suara wahyu yang berkumandang.

“… kepada semua penghuni kolej, perkhidmatan internet akan diberhentikan sementara waktu mulai 1 Februari 2008. Perkhidmatan ini akan disambung semula pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak…”

Persoalannya, apakah motif pemberhentian perkhidmatan internet? Tidak ada wang untuk selenggara? Apakah server kolej (yang baru diganti sem lepas) perlukan minyak pelincir setiap bulan? Sedangkan belanja perkhidmatan telahpun dipungut dari penghuni kolej sendiri sebanyak RM60. Apakah kolej tidak menyedari yang jika 200 orang mendaftar, wang kutipan berjumlah RM12000?

Untuk menangani isu ini, mana letaknya orang-orang yang boleh kita sandarkan? Sedangkan surat keraguan projek OPKIM boleh difotostat dan dipaparkan seantero kolej? Tidakkah mereka mendengar rungutan setiap orang di kolej? Apakah fungsi borang soal selidik yang telah kami isi?

Paling utama, tidak pernah dinyatakan apakah motif pemberhentian perkhidmatan ini. Tidak juga muncul mana-mana pihak, baik yang tertinggi, hinggalah kepada terendah, semuanya menyembunyikan jawapan dan menimbulkan teka-teki. Akhirnya? Penghuni kolej dibiarkan terkontang-kanting, terkulat-kulat dan hanya berlandaskan jawapan Swee Meng dan seangkatan dengannya.

Tidak pula dijelaskan bilakah mahu disambung semula. Kalau rosak, tunggu pulih baru sambung semula. Kalau tidak mampu selenggara, tunggu peruntukan, sambung semula.  Kesimpulan mudah, tidak ada sebab perkhidmatan ini diberhentikan, maka tidak ada tarikh dan sebab untuk ia disambung semula.

Saya amat dukacita andaikata perkhidmatan ini ditamatkan. Ketepikan isu muat turun berlebihan. Kasihankan penghuni yang tiap hari membaca akhbar, membuat assignment, menggunakan perkhidmatan e-banking, hatta semudah chatting dengan rakan. Kasihan juga kepada penghuni yang rajin mengupdate blog masing-masing yang penuh info dan suara.

Kepada semua, mungkin blog ini akan menjadi lebih pasif selepas ini. Udah muak dengan pengurusan kolej. Budaya dan wajahnya sudah tiada. Slow Rock sudah lama berkubur.  Pentas entah ke mana. Tempat letak motosikal dan kereta tidak terurus. Petempatan umpama kapal buruh kasar dari negara Afrika. Kafe yang hidupnya segan matinya tidak mahu. Festival Seni yang hilang warnanya. Jikalau dahulu, KK10 cukup meriah. Sebagaimana laungan saya dalam Minggu Haluansiswa empat tahun lepas, KKTAZ Kebanggaan Kita. Sekarang, kurang perkara yang boleh dibanggakan. Namun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.