Dua bulan lepas saya sudah membuat entri sebegini dengan tajuk Debat Perpaduan : The moral of the story… Kali ini saya juga ingin menggunakan tajuk yang lebih kurang sama, kerana yang baik boleh dijadikan tauladan, yang tidak dijadikan sempadan.
Digandingkan dengan Azri Zahier Azmi dan Shen Yee Aun (sebenarnya saya menggantikan Hidayat dalam pasukan UM Muda 1 ini) memberi satu lagi pengalaman baru untuk saya. Pasukan kedua pula dibarisi pendebat muda yang dilabel belum baligh oleh konsultan kami. Jangan kecil hati ya kalian!
Awal pemergian, saya sangat khuatir dan resah dengan pasukan ini. Persediaan tidak rapi, masalah keluarga, perselisihan pendapat dan krisis persembahan yang tidak menentu memberi amaran seolah-olah pasukan ini tidak akan ke mana dalam debat kali ini. Jujurnya, saya amat kesal apabila fakta untuk debat kali ini tidak dikaji dengan baik oleh semua ahli kontinjen UM dengan hanya bersandarkan pada pendebat tertentu dan suapan daripada konsultan semata-mata.
Selain pasukan UM, satu perkara yang menarik perhatian saya ialah bagaimana kesungguhan seorang pendebat yang menjadi observer yang baik dan akhirnya berjaya mempertingkat persembahan. Beliau yang saya maksudkan ini pernah meredah kesesakan jalanraya semata-mata untuk memerhatikan perlawanan persahabatan UM dan UKM, menaiki skuter jauh ke UiTM Shah Alam menyaksikan Debat Diraja 2007 dan menyertai Debat Perpaduan dan Debat IKIM serentak. Akhirnya, kerajinan dan kesungguhan ini terbalas dengan kejayaan mengungguli pentas perdana Debat PIN baru-baru ini dan pendebat yang saya maksudkan ialah sahabat baik saya, sdr Mohd Khaidzir Farhan daripada UNITEN.
Ada juga kisah duka yang saya dengar di USM tempoh hari seperti kegagalan pasukan UKM layak ke pusingan kalah mati dsb. Tidak mengapa, cuba lagi lain kali ya! Jangan terlalu bersedih dengan kekalahan ini kerana hidup ini ibarat roda. Saya sendiri percaya bahawa pasukan saya sendiri pernah dan akan mengalami kegagalan kerana kejayaan akan melalaikan kita dan kekalahan akan memberi tamparan dan ransangan untuk menjadi lebih baik.
Buat sekalian delegasi UM, tolonglah sedar bahawa kejayaan kita tempoh hari bukannya atas kekuatan pasukan kita. Perlu diingat! Jangan berasa selesa lantas terus mengekalkan sikap lama yang memualkan dan menyakitkan hati semua. Belajar menghormati orang lain, jangan sentiasa heret orang lain untuk mendengar celoteh kosong kita dan menyelami kehidupan kita yang kononnya sempurna agar kita dipandang tinggi, mulia dan sentiasa diberi perhatian. Belajarlah untuk mengaku kesilapan dan kelemahan diri. Sudah penat mulut ini menasihati, namun ibarat air dicurah ke daun keladi. Bantulah diri dan tidak sentiasa mengharapkan orang lain. Kerana mengharapkan usaha orang lain menyuap segala-galanya untuk kita. Bayangkan seorang OKU yang sentiasa mengharap bantuan orang lain, namun gah mengatakan diri bukannya seorang OKU, itulah pengibaratannya. (no offense pada Orang Kurang Upaya, niat di hati hanya untuk menyedarkan yang alpa).
Kepada bekas rakan-rakan sekolah yang sudah menjengah ke arena debat intervarsiti ini, jangan mengundur diri. Usah beri seribu satu alasan kerana sebagai orang lama, saya amat malu jika kalian bertindak begitu. Jangan harapkan penglibatan awal ini terus memberikan pulangan dan balasan emas. Dakilah puncak kejayaan sedikit demi sedikit, InsyaAllah akan tiba juga ke destinasinya.
Saya ulangi pesanan saya kepada semua sahabat di arena perdebatan, ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Sesungguhnya, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Pada yang lain, contohilah kesungguhan sahabat saya Khaidzir Farhan yang bersungguh-sungguh sejak tahun lepas untuk memperbaiki kelemahan. Secara peribadi, saya kagumi dan tabik kepada beliau kerana menunjukkan peningkatan yang cemerlang untuk edisi ini. Congratz bro!
Terima kasih tidak terhingga buat keluarga tercinta; Ayah, Ibu, Kaklong, Iqin, Ariff and Atuk. Kalianlah tunjang pada usaha Ali ini! Juga tidak dilupakan kepada En Azizul, Zul Fadhli, yang setia bersama di USM. Kepada yang lain, terima kasih tidak terhingga.