Mahasiswa Bersama Rakyat

18 02 2008

Ya! Itulah die slogan yang dilaung-laungkan oleh Parti Mahasiswa Negara (PMN). Saya terbaca satu artikel di harakahdaily.net berkenaan keizinan Tok Pa kepada PMN untuk bertanding.

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) – Parti Mahasiswa Negara (PMN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mustapa Mohamed atas kenyataan membenarkan mereka bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

PMN menerusi satu kenyataan akhbarnya yang dihantar kepada Harakahdaily menggambarkan pendirian yang diambil KPT sebagai suatu petanda yang positif kepada perjuangan mahasiswa.

“Ia merupakan petanda baik kepada mahasiswa bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bukan lagi menjadi penghalang utama kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam mencorakkan masa depan negara.

“Kami amat menghormati undang-undang, kerana kemunculan kami dalam pilihan raya kali ini adalah salah satu usaha yang mengikut lunas dan prosedur,” ujar Presiden PMN, Azlan Zainal dalam kenyataan itu.

PMN juga katanya, merasakan AUKU perlu dikaji semula bagi membolehkan pemansuhan kepada beberapa fasal yang mengekang keterlibatan pelajar dengan politik.

“Mana mungkin dapat melahirkan generasi warga negara yang baik jika mereka tidak didedahkan secara menyeluruh dengan pendidikan politik yang akhirnya boleh menimbulkan kesedaran dan bijak memilih pemimpin mereka sendiri,” katanya.

Ujar Azlan lagi, adalah tidak wajar mengenakan tindakan kepada mahasiswa yang prihatin dan peka ini dek kerana keterlibatan mereka secara langsung dalam kancah politik negara kerana ia adalah salah satu proses pembelajaran yang unik dan mematangkan mahasiswa selain membolehkan mahasiswa menunaikan amanah sebagai warga negara yang mewakili suara generasi muda Malaysia.

Pada pilihan raya ke-12 ini, Parlimen Kepala Batas, Parlimen Jeli dan Parlimen Semberong menjadi kawasan sasaran menandakan sikap optimis Parti Mahasiswa Negara (PMN) untuk terlibat secara langsung sebagai representasi Malaysia.

Dengan slogan “Mahasiswa Bersama Rakyat,” generasi baru menuju ke arah Malaysia baru PMN menyatakan hasratnya yang bertujuan untuk memastikan dan mengangkat suara mahasiswa ke Parlimen Malaysia bagi membela hak rakyat dan membawa hasrat generasi muda secara terus kepada mantan pemimpin utama negara ini terutamanya pemimpin yang bertanggungjawab terus terhadap mahasiswa dan pelajar.

Dalam pada itu, PMN turut mencadangkan agar Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran mempunyai sekurang-kurangnya status bertaraf Professor, Professor Madya atau mempunyai PhD sebagai latar belakang pendidikan yang membolehkannya disegani dan dicontohi oleh para pelajar sebagai teladan yang baik.

Semalam, dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, PMN telah menyatakan untuk bertanding di Parlimen Kepala Batas bagi menentang Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi secara satu lawan satu.Begitupun, permintaan mereka untuk mencapai tujuan itu masih belum diberikan jawapan oleh pihak pembangkang yang masih belum menamakan calon di kawasan itu.

Saya sebenarnya masih tidak faham dengan perjuangan mereka. Politik di Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Sekadar bertanding 3 kerusi semata-mata (itupun kalau menang), tidak akan cukup untuk membentuk kerajaan. Maka, apakah motif sebenar bertanding? Sekadar menjatuhkan Datuk Seri Abdullah (parlimen Kepala Batas), Dato’ Mustapha Mohd (Jeli) dan Dato’ Hishamuddin (Semberong). Bertanding di parlimen Semberong lebih kelakar, sedangkan PAS pun sukar untuk menang di Johor, apatah lagi PMN yang sekadar mempunyai 2000 penyokong sahaja di seluruh negara. Kalau kesemua 2000 penyokong PMN menjadi pengundi di Semberong sekalipun, belum tentu memperoleh kemenangan.

Azlan Zainal dan PMN

Kemudiannya mengutarakan cadangan supaya Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pelajaran mempunyai status tinggi dalam pendidikan. Mempunyai PhD umpamanya. Hujahnya? Agar dihormati oleh pelajar dan dijadikan contoh. Persoalannya, dengan berpolitik ditopengkan PMN, adakah ini menunjukkan mereka menghormati pensyarah mereka yang mempunyai PhD? Contohnya, adakah Azlan Zainal (Presiden PMN) menunjukkan rasa hormat kepada pensyarah-pensyarahnya di UM yang rata-rata sudah bergelar Prof? Malahan, Tan Sri Musa Mohamad (bekas naib canselor USM) suatu masa dahulu pernah dilantik menjadi Menteri Pendidikan. Tidak peka akan pekakkan telinga?

Kepada mahasiswa yang boleh mengundi, fikirkan!





Kaji semula PPSMI : Jangan Sekadar Gimik Pilihanraya

18 02 2008

kelas.jpg

Akhbar melaporkan Pak Lah nak kaji semula Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Baguslah, sudah lama dan ramai yang minta perkara ini.

Memang PPSMI ini banyak kontroversinya. Paling selalu, isu keciciran pelajar yang dibincangkan. Hujah klise: bangsa Jepun boleh sahaja maju tanpa menggunakan BI (tidak adil letakkan perbandingan dengan negara yang pernah terlibat dengan perang dunia ini). Hujah lebih segar, angkasawan kita pun lahir daripada sistem P&P Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.

Cuma janganlah pengumuman Pak Lah semasa musim pilihanraya ini sekadar gimik semata-mata. Kajilah betul-betul, nilai semula pro dan kontranya.

Seorang penyair–failasuf, Maulana Muhammad Iqbal pernah bermadah: “Bangsa-bangsa lahir di tangan para penyair, tapi mereka boleh jatuh dan bangun di tangan para politikus …”





Meraikan Keakraban

18 02 2008

Tajuk entri ini sama dengan yang ada di blog Kelab Orator UM, cuma ia ditulis dari perspektif berbeza.

Rasa sedih dan terharu apabila jamuan yang sekian lama saya idamkan terlaksana jua. Malah lebih manis lagi, mendapat kerjasama dari sahabat saya dari UNITEN. Terima kasih Farhan. Jamuan yang meraikan Hasril, Haris dan kecemerlangan UM-UNITEN itu sungguh bermakna.

Ali, Hasril

Saya masih ingat kali pertama saya mengenali sdr Hasril. Saya dilatih memberi ucapan di hadapannya dengan tajuk yang cukup pelik; Bola Tidak Perlu Bulat. Saya akan ingat. Mock dan sparing yang memenatkan sehingga ada yang membaling kertas. Saya akan ingat. Memang meletihkan tatkala mendengar cerita debatnya hingga lewat malam namun itu yang menjadi rencah ucapan debat saya. Saya akan ingat. Percutian ke Melaka dan sesi karaoke hujung minggu juga meninggalkan kenangan pada saya. Saya akan ingat. Paling terharu ialah semasa Pertandingan Debat Diraja 2007, sepanjang perdebatan, beliaulah orang yang paling setia mengikuti dan menganalisa persembahan pasukan UM (Utama) 1. Saya akan ingat.

Ali, Haris, Hasril, Fadhli

Orang yang kedua diraikan ialah Haris. Siapa dia ni? Haha! Terima kasih kepada Haris yang walaupun sibuk dengan persediaan ke Jepun, masih sudi menjadi sebahagian daripada keluarga kecil ini. Moga terus cemerlang di dunia baru yang lebih mencabar nanti ya!

Buat keluarga UM dan UNITEN, tahniah dan kita harus berusaha lebih selepas ini. Walaupun akan berehat sebentar daripada arena perdebatan, sekali-sekala kalau hendak makan bersama tu, calling-calling la ya!