PRU-12 : Bukan sekadar politik negara yang berubah

31 03 2008

Umum mengetahui, PRU-12 banyak memberi impak.

UMNO sedang merangka strategi mengukuhkan semula parti.

BA sedang asyik dilena ‘kemenangan’ sedangkan mereka masih belum menang, namun sambutan di serata negera termasuk blog-blog seolah-olah mereka sudah memperoleh 2/3 majoriti Dewan Rakyat.

Selain lanskap politik negara, saya dapat jangkakan yang lanskap politik kampus juga akan berubah. Silent protest yang dicerminkan rakyat mungkin akan menjalar ke seluruh kampus. UM contohnya, mungkin akan memperlihat pertarungan sengit antara calon-calon. Kepada calon-calon lepas yang masih kelihatan gagal menunaikan manifesto anda seperti laluan berbumbung, debat agung tahunan, tangki air gergasi dsb (lain kali jangan tabur janji yang pelik-pelik), selamatkanlah diri dan kumpulan anda selagi ada masa.

Debat intervarsiti juga mungkin akan memperlihatkan perubahan. Jikalau sebelum ini, kesemua pasukan harus menjaga beberapa sentimen yang bersifat real opposition dalam dewan perdebatan, mungkin selepas ini tidak lagi. Kenangan saya semasa berdebatkan tajuk Demokrasi di Malaysia Semakin Subur yang memaksa saya menjadi real oppostion contoh jelas bahawa ada sesetengah tajuk yang memerlukan kritikan terhadap pihak tertentu.

Perbincangan mahasiswa juga semakin berubah. Kini, semakin ramai yang celik politik. Jikalau dahulu, ada yang tidak tahu tentang simple majority ataupun kepentingan majoriti 2/3, namun sekarang tidak lagi. Malahan, isu perlantikan MB beberapa negeri belakangan ini turut menjadi buah mulut.

Baguslah! Perubahan positif sudah bermula…





P.Ramlee the Musical kembali…

26 03 2008

Semalam belek akhbar (di ruang siber), terbaca di ruang hiburan tentang pengumuman Datin Seri Tiara Jacquelina.

P. Ramlee the Musical… The Life, The Loves & The Inspiration (PRTM) akan kembali dipentaskan di Istana Budaya. Tarikhnya, dikatakan bermula 28 Mei, tidak tahulah bila akan berakhir.

PRTM

Terdapat pembaharuan di sana-sini. Paling besar, kerusi pengarah muzik yang diduduki oleh Erwin Gutawa sebelum ini akan digantikan dengan Roslan Aziz. Saya tidak tahu hendak komen apa. Kerana semasa saya menonton pementasan edisi pertama dahulu, orkestra yang ditampilkan Erwin Gutawa cukup menarik. Namun, kredibiliti Roslan Aziz tidak boleh dinafikan. Sungguhpun susunan muziknya untuk AF dahulu kurang menarik, namun hasil kerjanya semasa konsert Datuk Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall dahulu sangat mengkagumkan.

Lain-lain? Tunggu dahulu pengumuman oleh Tiara. Kita lihat siapa yang akan kembali semula ke IB. Ada desas-desus mengatakan Siti Nurhaliza tidak akan kembali kerana sudah berimej baru; bertudung. Apa masalahnya? Seingat saya, Azizah dalam PRTM pun sentiasa berselendang menutup kepala sepanjang pementasan. Kenalah dengan imej Siti kan? Tolonglah Datuk Siti, anda penyeri PRTM!

Apa-apapun, kepada yang tidak dapat menonton dalam edisi pertama dahulu, rebutlah peluang kali ini. Anda tidak akan menyesal!





UMNO dan Istana

24 03 2008

Isu di Perak telah selesai. Mereka sudah ada MB baru.

Isu di Perlis juga selesai, walaupun Dato’ Seri Shahidan bin Kassim tidak dilantik (sungguhpun mendapat watikah perlantikan daripada PM), beliau akur jua dengan tindakan Raja Perlis, melantik orang lain untuk menduduki kerusi menteri besar.

Lain pula halnya dengan Terengganu. BN telah mendedahkan kelemahannya yang terbaru untuk terus hanyut dan ditembak BA. UMNO membantah perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar yang mana mereka mahukan Datuk Seri Idris Jusoh kekal sebagai MB untuk penggal kedua.

Analisa saya, BN (khususnya UMNO sendiri) juga setaraf dengan Lim Kit Siang, malah mungkin lebih ekstrem kerana kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan akan menentukan kedudukan Ahmad Said dalam parti kerana telah melanggar perlembagaan parti.

UMNO oh UMNO! Semakin lama, saya sendiri tidak tahu ke mana halatujunya. Dikatakan Lim Kit Siang biadap, diikut pula jejak langkahnya. Janganlah sebuah parti yang sepatutnya memperjuangkan Melayu ini terus layu

Ingatlah, UMNO bukan sebuah parti jalanan. Ia ditubuhkan di istana….





MyMiniCity

21 03 2008

Saya jumpe permainan ini di internet. Nampaknya macam menarik. Bina bandar berdasarkan berapa banyak orang klik pada link kita.

http://neslo-ais.myminicity.com/

Klik la pada link di atas untuk melihat bandar saya (yang baru dibuka pada Jumaat, 21 Mac 2008, jam 8.10 malam).

Kerana setiap klik anda begitu bermakna. Haha!

Free Image Hosting at www.ImageShack.us





DEB Satu Tamparan?

20 03 2008

Tajuk entri ini tidak ubah seperti saya ingin menganalisa lagi isu-isu pasca-pilihanraya. Haha!

Apa yang ingin saya ceritakan ialah tentang perlawanan persahabatan Debat antara UM dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) semalam.

SMAPK UM

Tajuk berat; DEB : Satu Tamparan Politik Untuk Semua. Mencabar juga diskusi semalam. Apa-apapun, saya secara peribadi amat mengkagumi bakat dan kebolehan yang dipunyai oleh pembahas-pembahas dari SMAPK.

Buat rakan-rakan debat UM, lama sudah kita tinggalkan debat, semakin berkarat ya! Buat Azri, anda layak menggantikan Aznil sekiranya beliau ingin bersara daripada rancangan Tom Tom Bak. Haha! Buat adik-adik daripada SMAPK, terima kasih kerana mengundang kami. Semoga anda memperoleh kejayaan yang dihajati pada tahun ini, InsyaAllah.

Ada satu perkara yang ingin saya kongsi. Apa beza bahas dengan debat? Beza yang nyata ialah, di peringkat sekolah menengah digelar bahas, di peringkat universiti dipanggil debat. Haha!

p/s = kepada Mus, Afiq, Hisyam, Otel dan Ali, ade sesiapa yang rasa malu atas perlawanan tu?





Datuk Shahrir Samad kembali…

18 03 2008

Ya! Hari ini Pak Lah mengumumkan kabinet baru beliau. Sebagaimana biasa, kita dapat melihat muka baru diperkenalkan dan muka lama yang digugurkan. Setelah beberapa menteri gugur dalam pencalonan, seterusnya gugur dalam pertandingan (pilihanraya), sudah tentu pengumuman ini menarik perhatian kita.

Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Datuk Seri Azmi Khalid adalah antara yang digugurkan.

Paling saya tertarik, perlantikan Datuk Shahrir Samad sebagai penjaga harga barang yang baru (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Tahniah Datuk!

Shahrir

Bagi saya, perlantikan ini tepat! Datuk Shahrir perlu untuk berada semula dalam kabinet setelah sekian lama menjadi pemerhati. Malah tidak keterlaluan jikalau saya katakan bahawa beliau perlu juga diberi tugas dalam Badan Pencegah Rasuah dalam usaha membanteras rasuah dan membentuk integriti.

Namun, generasi baru tidak berapa kenal Datuk Shahrir. Kenapa? Kali terakhir beliau memegang jawatan dalam kabinet adalah pada tahun 1986.

Beliau pernah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen JB dan bertanding semula atas tiket bebas dalam pilihanraya kecil parlimen JB pada tahun 1988 yang mana menyaksikan beliau menang mengalahkan calon BN dan Pesiden PRM (Allahyarham Razak).

Akhirnya, pada tahun 1990, beliau menyerahkan kerusi parlimen Johor Bahru kepada Datuk Seri Khaled Nordin dan menyepi daripada dunia politik sehinggalah bertanding semula di parlimen Johor Bahru pada tahun 2004.

Tahun 2006 juga menyaksikan untuk kali ke-2 beliau meletakkan jawatan, kali ini sebagai pengerusi BBC atas isu integriti dalam parlimen.

Kepada menteri yang lain, jadilah seperti beliau. Saya kira, beliaulah antara segelintir ahli politik Barisan Nasional yang mempunyai blog sendiri yang up-to-date, serta laman web khas untuk beliau. Tahniah! Sebab itulah pernah seorang penganalisis memberikan komen ini…

Within BN, Johor Baru MP Datuk Shahrir Samad, of Umno, has perhaps the most committed online presence. He has faithfully, if irregularly, posted entries and news on his weblogs and kept an online itinerary of events since 2006.
Claiming the honour in 2005 of being the only BN leader to maintain a blog, Shahrir has even updated his online journal with pictures taken at the counting centre on Saturday night.

The BN component parties will need many more people with his kind of savvy if it is to make headway in this new world.

Biarlah entri ini kelihatan seperi berkempen untuk Datuk Shahrir. Saya mahu rakan sebaya saya kenal siapakah dia Datuk Shahrir Samad, ahli parlimen Johor Bahru….





SPM 2007

17 03 2008

(dedikasi buat adikku)

Selepas kisah pilihanraya, keputusan SPM pun keluar.

Tahniah pada yang berjaya.

Asyiqin

Antaranya termasuklah adik saya, adik perempuan saya, Nurul Asyiqin Mohamed. Beliau antara ribuan calon SPM yang memperoleh keputusan SPM tempoh hari.

Saya berbangga dengan keputusan beliau, 4 1A (BM, BI, PI, Mat), 2 2A (Fiz, EST), 3 3B (Sej, Mat Tamb., Kimia) dan 1 4B (Bio).

Sasaran beliau, ingin sangat menjejakkan kaki ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Baguslah jika begitu!

p/s = blog ini sudah berhabuk, maaf kerana dua tiga hari lepas saya bz entertain family yang bercuti di KL. Seronok!





BA gagal di Perak

14 03 2008

Ya! Itulah impression saya terhadap isu yang berlaku.

Ramai bloggers yang menulis tentang perkara ini. Tuduhan biasa, DAP biadap, tidak menghormati institusi beraja. Jikalau selama ini bloggers gemar mengambil kartun Senyum Kambing di Utusan dan mengubahsuaikannya, saya juga ingin memetik Senyum Kambing edisi 13 Mac 2007.

Senyum Kambing 13/03/08

Awalnya, saya cukup pelik dengan tindakan Raja Dr Nazrin Shah, Pemangku Raja Perak yang memilih perwakilan PAS, Ir. Mohd Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang baru. Bukan kerana apa, PAS mempunyai jumlah kerusi paling kecil di negeri ini dengan hanya 5 kerusi berbanding DAP (18 kerusi), PKR (7 kerusi) dan BN (28 kerusi). Apa rasional memilih perwakilan PAS sebagai MB? Hendak menegakkan daulah islamiyyah ke? Jikalau hendakkan MB Melayu sekalipun, mengapa tidak diambil wakil daripada PKR?

Analisa saya, tindakan Raja Dr Nazrin Shah hanyalah suatu ujian untuk menguji sejauh mana keberkesanan pakatan Barisan Alternatif (BA) untuk membina sebuah kerajaan di Perak, maka dipilihlah perwakilan PAS untuk menguji kesetiaan DAP dan PKR dalam pakatan tersebut. Nyata, BA telah gagal dalam ujian tersebut apabila DAP bertindak memboikot majlis angkat sumpah MB baru Perak.

Persoalan, jikalau sebelum ini begitu bersemangat pemimpin agung BA melaung-laungkan manifesto negara berkebajikan, baik Lim Kit Siang (DAP), Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang (PAS) mahupun Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PKR). Kini, semuanya ibarat “… kau, kau. Aku, aku…”.

Isu ini terus memberi peluru kepada BN untuk terus menembak BA atas segala kelemahan yang terjadi.

Pakatan BA masih rapuh. Kerana apa? Dalam sorak-sorai gembira menawan negeri-negeri baru, mereka sebenarnya tidak bersedia untuk menang, tidak bersedia untuk membina kerajaan…

Bukan BN sahaja yang terkejut kerana kalah, BA juga terkejut kerana mampu menang!





Mari bongkar ‘Aduh Saliha’

12 03 2008

Saya peroleh artikel ini dari buletin friendster saya, namun saya terlupa siapa yang postkan buletin tersebut.

Menyentuh tentang lagu Aduh Saliha. Adakah benar lagu ini rintihan rindu seorang lelaki kepada seorang wanita bernama Saliha?

Sama-sama kita bongkar….

ADUH SALIHA
Rintihan ku kepada orang-orang yang soleh dan solehah

Mana rayuanku hendak kusampaikan
Bagaimana mungkin ku hendak sampaikan kata-kata nasihat
rindu berahiku pada kasih yang jauh
Aku amat mendambakan kasih Tuhan tetapi aku masih jauh dari-Nya
jauh bukan jarak dan tempat
Aku amat mendambakan kasih Tuhan tetapi aku masih jauh dari-Nya
jauh bukan jarak dan tempat
bukan jarah aku jauh atau di mana aku berada
jauh nama dan pangkat
tapi jauh dari segi kedudukanku dan amalanku di sisi-Nya

Mana penggantimu hendak ku dakapkan
Di mana aku hendak mencari penggantimu untuk ku bergantung
dendam asmaraku pada cinta yang luruh
Aku inginkan cinta yang menyerahkan sepenuh jiwa dan jasad
luruh bukan daun dan bunga
Bukan menyerahkan harta dan wang ringgit
luruh jiwa dan badan
tetapi menyerahkan seluruh jiwa dan jasad

Bertahun ku sandar percaya
Sudah lama kita menjadi seorang muslim dan mengamalkan suruhan-Nya
tak mungkin padam cahaya
dan kasih dan cinta Tuhan tidak akan terhenti terhadap hamba-Nya
cintamu bagai rembulan
Kasih sayang para solihin dan solehah sesama mukmin sentiasa terpancar dan ada
hilang dipandangan
kala langit dilindung awan
Namun, kekadang terlindung juga apabila ada yang menghalang (atau kita sendiri yang tidak mahu menerima)

Aduh mahkota terhempas
Kekuasaan kita sebenarnya hampir musnah, raja-raja hilang kuasa, maruah anak-anak bangsa tiada (zina, maksiat dan hedoisme berleluasa)
barulah ku sedar
yang ku sangkakan intan oh hanyalah kaca
Barulah kita perasan apa yang kita sangkakan baik selama ini adalah sebaliknya

Sesudah berdarah
barulah ku sedar

Apabila mengalaminya sendiri dan mendapat bala/musibah baru kita tersedar dari angan
jiwa ku tercalar ohhh.. sakitnya
bukan kepalang

Akhirnya jiwa kita tersiksa dan hati semakin gelap tanpa pedoman

Kau biarkan aku sendiri menderita susah – nasib hidupku saliha
Orang-orang yang soleh dan solehah semakin jauh dari kita (kita yang menjadikanya begitu, bukan ?) Hidup kita susah (jiwa yang muflis) walaupun senang (harta bertimbun tanpa berkat)
Kau biarkan aku sendiri melewati sepi – dalam hidupku saliha
Kita sudah kesepian kerana meninggalkan nasihat dan kata-kata orang-orang yang soleh
kau biarkan aku sendiri meratapi nasib – dalam derita saliha

Akhirnya kita terpaksa meratapi nasib kita yang penuh derita buatan kita sendiri
ohh……… saliha
Tolonglah aku orang-orang yang soleh

Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada saudara Rosli Khamis a.k.a Loloq. Semoga rohnya dicucuri rahmat.





Pendapat tentang PRU-12

10 03 2008

Kini, bukan sekadar undian AF ataupun One In A Million sahaja yang boleh membuat kejutan. Pilihanraya Umum ke-12 membuktikan pangkahan kertas undi juga mampu memberi kezzzutan (bak kata Aznil)

Banyak keputusan luar dugaan yang kita dengar. Saya tidak mahu komen kesemuanya. Sudah banyak bloggers membincangkan perkara tersebut. Yang menarik saya untuk memberikan sedikit pandangan hanya beberapa isu.

D Shahrir

Dato’ Shahrir Samad (Parlimen Johor Bahru)  gagal mempertahankan rekod majoriti tertinggi yang dicatatnya pada 2004. Dalam edisi kali ini, beliau hanya memperoleh majoriti sebanyak 25,349 undi berbanding 46,792 yang dicatatkan pada 2004. Untuk rekod, setakat yang saya peroleh, Teresa Koh (DAP, Parlimen Seputeh) memperoleh majoriti terbesar dengan catatan 36,492.
 Nenek Maimun hilang wang pertaruhannya setelah hanya mencatatkan  685 undi.Kasihan, namun saya tetap kagum dengannya. Biarlah katanya sudah serik, tetapi mungkin itulah kenangan indah sepanjang hidup. Pada masa ini, ramai pihak sedang berusaha membantu Tok Mon untuk memperoleh semula perbelanjaannya untuk berkempen tempoh hari. Klik di sini untuk mengetahui caranya.

Kekalahan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengecewakan saya. Benar, BN perlu wake-up call. Namun gara-gara Pak Lah, Shahrizat terkena tempiasnya. Bukannya beliau tidak membawa apa-apa perubahan pada Lembah Pantai ini, malah banyak yang telah beliau lakukan. Isu golongan bawahan setinggan, beliau turun padang. Isu golongan elit Bukit Bandaraya, beliau turut serta. Kesudahannya? Kalah dengan Nurul Izzah, muka baru yang belum berbuat apa-apa perubahan di L.Pantai, namun sudah diangkat menjadi wakil. Jelas, undian rakyat Malaysia bukannya berdasarkan prestasi individu, tetapi lebih kepada sentimen terhadap parti. Ayat Shahrizat yang perlu direnungi bersama, “… dengan ini secara rasminya saya serahkan kawasan ini kepada beliau…“. Ternyata beliau sayang akan kawasan yang diwakilinya selama tiga penggal ini. Kepada Nurul Izzah, jangan sia-siakan kepercayaan rakyat!

Sikap parti bertanding cukup menjengkelkan saya. Kerana apa? Apabila BA sudah berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri, seluruh media dan pemimpin BN sendiri melabelkan parti pembangkang membentuk kerajaan. Hello?! Parti-parti tersebut sudahpun menjadi kerajaan di negeri terbabit, usah lagi label mereka sebagai parti pembangkan, gelaran Barisan Alternatif lebih tepat rasanya. Juga kepada BA, setelah berjaya menguasai 5 negeri termasuk 4 negeri baru, terus terlupa isu pengundi hantu. Inilah dia BA, jika kalah dituduh SPR menipu, jika menang dikatakan mereka berjaya. Huh?!

Dalam analisa di Bernama TV, saya tertarik dengan kata-kata Dato’ Azman Ujang, pengerusi Bernama. Beliau berkata, keputusan PRU kali ini bukan sekadar pengajaran kepada parti BN. Ia juga merupakan pengajaran kepada semua  pengamal media. Kata beliau, “…. rakyat memberikan petunjuk bahawa mereka sudah muak dengan kempen di media…”.

Yang lain? Anda boleh baca di blog-blog lain. Saya tidak mahu ulang. Cuma harapan saya, tamparan ini boleh membuatkan BN yang terlena bangun dari tidurnya.