Pendapat tentang PRU-12

10 03 2008

Kini, bukan sekadar undian AF ataupun One In A Million sahaja yang boleh membuat kejutan. Pilihanraya Umum ke-12 membuktikan pangkahan kertas undi juga mampu memberi kezzzutan (bak kata Aznil)

Banyak keputusan luar dugaan yang kita dengar. Saya tidak mahu komen kesemuanya. Sudah banyak bloggers membincangkan perkara tersebut. Yang menarik saya untuk memberikan sedikit pandangan hanya beberapa isu.

D Shahrir

Dato’ Shahrir Samad (Parlimen Johor Bahru)  gagal mempertahankan rekod majoriti tertinggi yang dicatatnya pada 2004. Dalam edisi kali ini, beliau hanya memperoleh majoriti sebanyak 25,349 undi berbanding 46,792 yang dicatatkan pada 2004. Untuk rekod, setakat yang saya peroleh, Teresa Koh (DAP, Parlimen Seputeh) memperoleh majoriti terbesar dengan catatan 36,492.
 Nenek Maimun hilang wang pertaruhannya setelah hanya mencatatkan  685 undi.Kasihan, namun saya tetap kagum dengannya. Biarlah katanya sudah serik, tetapi mungkin itulah kenangan indah sepanjang hidup. Pada masa ini, ramai pihak sedang berusaha membantu Tok Mon untuk memperoleh semula perbelanjaannya untuk berkempen tempoh hari. Klik di sini untuk mengetahui caranya.

Kekalahan Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mengecewakan saya. Benar, BN perlu wake-up call. Namun gara-gara Pak Lah, Shahrizat terkena tempiasnya. Bukannya beliau tidak membawa apa-apa perubahan pada Lembah Pantai ini, malah banyak yang telah beliau lakukan. Isu golongan bawahan setinggan, beliau turun padang. Isu golongan elit Bukit Bandaraya, beliau turut serta. Kesudahannya? Kalah dengan Nurul Izzah, muka baru yang belum berbuat apa-apa perubahan di L.Pantai, namun sudah diangkat menjadi wakil. Jelas, undian rakyat Malaysia bukannya berdasarkan prestasi individu, tetapi lebih kepada sentimen terhadap parti. Ayat Shahrizat yang perlu direnungi bersama, “… dengan ini secara rasminya saya serahkan kawasan ini kepada beliau…“. Ternyata beliau sayang akan kawasan yang diwakilinya selama tiga penggal ini. Kepada Nurul Izzah, jangan sia-siakan kepercayaan rakyat!

Sikap parti bertanding cukup menjengkelkan saya. Kerana apa? Apabila BA sudah berjaya membentuk kerajaan di beberapa negeri, seluruh media dan pemimpin BN sendiri melabelkan parti pembangkang membentuk kerajaan. Hello?! Parti-parti tersebut sudahpun menjadi kerajaan di negeri terbabit, usah lagi label mereka sebagai parti pembangkan, gelaran Barisan Alternatif lebih tepat rasanya. Juga kepada BA, setelah berjaya menguasai 5 negeri termasuk 4 negeri baru, terus terlupa isu pengundi hantu. Inilah dia BA, jika kalah dituduh SPR menipu, jika menang dikatakan mereka berjaya. Huh?!

Dalam analisa di Bernama TV, saya tertarik dengan kata-kata Dato’ Azman Ujang, pengerusi Bernama. Beliau berkata, keputusan PRU kali ini bukan sekadar pengajaran kepada parti BN. Ia juga merupakan pengajaran kepada semua  pengamal media. Kata beliau, “…. rakyat memberikan petunjuk bahawa mereka sudah muak dengan kempen di media…”.

Yang lain? Anda boleh baca di blog-blog lain. Saya tidak mahu ulang. Cuma harapan saya, tamparan ini boleh membuatkan BN yang terlena bangun dari tidurnya.