Semalam belek akhbar (di ruang siber), terbaca di ruang hiburan tentang pengumuman Datin Seri Tiara Jacquelina.
P. Ramlee the Musical… The Life, The Loves & The Inspiration (PRTM) akan kembali dipentaskan di Istana Budaya. Tarikhnya, dikatakan bermula 28 Mei, tidak tahulah bila akan berakhir.
Terdapat pembaharuan di sana-sini. Paling besar, kerusi pengarah muzik yang diduduki oleh Erwin Gutawa sebelum ini akan digantikan dengan Roslan Aziz. Saya tidak tahu hendak komen apa. Kerana semasa saya menonton pementasan edisi pertama dahulu, orkestra yang ditampilkan Erwin Gutawa cukup menarik. Namun, kredibiliti Roslan Aziz tidak boleh dinafikan. Sungguhpun susunan muziknya untuk AF dahulu kurang menarik, namun hasil kerjanya semasa konsert Datuk Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall dahulu sangat mengkagumkan.
Lain-lain? Tunggu dahulu pengumuman oleh Tiara. Kita lihat siapa yang akan kembali semula ke IB. Ada desas-desus mengatakan Siti Nurhaliza tidak akan kembali kerana sudah berimej baru; bertudung. Apa masalahnya? Seingat saya, Azizah dalam PRTM pun sentiasa berselendang menutup kepala sepanjang pementasan. Kenalah dengan imej Siti kan? Tolonglah Datuk Siti, anda penyeri PRTM!
Apa-apapun, kepada yang tidak dapat menonton dalam edisi pertama dahulu, rebutlah peluang kali ini. Anda tidak akan menyesal!