Mahasiswa tidur lebih peduli!

21 04 2008

Politik negara usah dicerita, memang sentiasa berwarna-warni di sana-sini. Baguslah!

Yang saya tertarik untuk tulis (dalam blog yang berhabuk ini, maklumlah musim peperiksaan) ialah hal politik kampus.

Dua minggu lepas, saya menulis entri tentang desakan untuk YDP MPMUM letak jawatan.

Selepas berlaku isu itu, pelbagai perkara berlaku (di luar pengetahuan warga kampus). Paling saya pasti, MPMUM bermesyuarat membincangkan perkara ini. Sudah tentu isi dan details mesyuarat tersebut dirahsiakan. Tidak kisahlah!

Bukan sekadar itu sahaja, tanda protes muncul di sana-sini. Di bangunan AMCAL, ada pihak melakukan vandalisme (ala-ala di pasar seni) membuat contengan di dinding “ISU KAUM : AFFANDY UNDUR”. Yang menariknya, sekejap sahaja sudah dicat semula, baguslah!

Kemudian, seorang insan penting dalam peristiwa desakan ini menghantar sms kepada saya bertanyakan adakah benar mahasiswa menyokong Affandy, ataupun cerita sokongan itu hanya rekaan semata-mata?

Jawapan saya, mudah. Saya kira lebih ramai yang tidak ambil peduli apakah yang mengalunkan semula gelombang politik kampus di musim peperiksaan ini.

Sebab itu saya katakan, Mahasiswa tidur lebih peduli. Mengapa? Selama ini, pelajar yang tidak ambil pusing politik kampus selalu dilabel oleh pihak tertentu (khususnya golongan yang rajin membuat risalah) sebagai mahasiswa tidur. Maka dalam keadaan musim peperiksaan ini, mahasiswa tidur inilah yang lebih peduli tentang core business di universiti.

Buat kem Aspirasi dan Pro-Mahasiswa (terutamanya), hentikanlah memanaskan isu ini. Tidak salah kalau saya katakan, anda semua hanya syok sendiri.

Lebih berfaedah kalau hal Pertandingan Debat Antara Sekolah 2008 di UIA diberi publisiti oleh semua (termasuklah Harakah yang tiada pun buat liputan hal-hal begini, akhbar ke namanya kalau seperti itu?).

Ada mana-mana pendebat yang bersetuju dengan saya?

Oh, terlupa! Kini, dua bekas MB Selangor telah mempunyai blognya sendiri, media alternatif penting katanya. Bilalah YDP dua penggal berturut-turut ataupun Presiden Kolej Kediaman dua penggal berturut-turut hendak mula menulis? Ingin juga semua orang mendengar kalimah dan isi bicara anda…





Congkak

18 04 2008

Saya berkesempatan menonton congkak sebentar tadi. Trimas kepada yang mengajak.

Hmm… saya memiliki expectation yang tinggi terhadap filem ini. Maklumlah, dengan reputasi Jangan Pandang Belakang ditambah dengan promosinya yang hebat, saya mengharapkan sesuatu yang luarbiasa.

Malangnya, menonton filem congkak ibarat masuk ke sebuat rumah hantu secara beramai-ramai. Unsur kejutan sahaja yang mampu membuatkan penonton terkejut. Yang lain? Cuma adegan klise yang kadang-kadang tidak perlu ada.

Beberapa keraguan saya. Adakah menjadi budaya masyarakat melayu meletakkan gambar orang yang sudah mati di kedai? Ini bukan cerita bollywood rasanya. Keraguan lain, Nanu membeli ikan kembung dan memasak Kari Kepala Ikan?

Paling penting, tajuk Congkak nampaknya tidak menggambarkan keseluruhan cerita. Lebih baik berikan tajuk Percutian Menyeramkan ataupun Akibat Silap Rumah dan sebagainya.

Namun, di sebalik kelemahan yang saya ceritakan, kredit perlu diberi kepada produser dan pengarah kerana kualiti bunyinya sangat bermutu tinggi.

Penonton bukannya pakar filem, tetapi semua orang tahu menilai filem itu menarik ataupun tidak.





Sekitar Interschool Debate 2008

17 04 2008

Tamat sudah Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah Malaysia 2008 semalam.

Tahniah kepada pendebat Sek Men Agama Persekutuan Kajang atas kejuaraan yang diperoleh. Begitu juga dengan kontinjen Sek Tuanku Abdul Rahman Ipoh atas kemenangan selesa mereka di pentas final Bahasa Inggeris.

Juga ucapan tahniah kepada semua jawatankuasa penganjur. Saya difahamkan kekangan kewangan menjadi masalah utama, namun semangat yang ditunjukkan oleh semua AJK sangat saya kagumi. Sukar rasanya saya ingin mencari sebuah pasukan penganjur seperti mereka. Tahniah!

Kepada semua pendebat yang menyertai pertandingan tersebut, moga dapat perbaik segala kekurangan. Jangan putus asa, bak kata Puan Mazleena (K.Hakim pus. Akhir), cuba lagi, jikalau tidak di peringkat ini, teruskan di peringkat universiti.

Buat juniorku kontinjen SHAH Pekan, teruskan usaha. Jangan sangka kejayaan itu datang bergolek pada kita. Juga buat guru pengiring, berilah bimbingan yang sebaiknya. Untuk berjaya, sesebuah pasukan itu lebih perlukan sokongan dan dorongan oleh guru, dan bukannya bersandarkan kepada jurulatih, trainer dan sebagainya.

Buat Cikgu Dahlia, Cikgu Shimah, rakan seperjuangan saya, saudara M. Zul Fadhli (Otel), tahniah atas kejayaan kalian! Moga terus bersemangat untuk kejohanan PPM nanti.





Kali pertama ke UPNM

11 04 2008

Alhamdulillah, adik saya memperoleh tawaran untuk ‘temuduga’ pengambilan ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Selepas solat Jumaat, saya dan keluarga menghantar beliau ke UPNM di Kem Sg Besi. Sungguh teruja kerana inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke UPNM. Selama ini hanya mendengar nama sahaja.

Besar harapan saya, biarlah beliau layak ke UPNM. Dah niat dan cita-citanya ke sana, dengan reputasi cemerlang beliau di sekolah menengah dahulu, saya begitu yakin dengan beliau. No yang diperoleh ialah 414 (sudah tempah nombor ke? haha!)

Syabas Iqin, perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama…





Bukan Pak Lah sahaja yang didesak…

9 04 2008

Saya telah nyatakan sebelum ini, pasti PRU-12 membawa angin perubahan pada politik kampus.

Namun saya tidak menyangka seawal ini.

Baca ini, saya petik mutakhir daripada Berita Harian online.

Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mahu Yang Dipertuanya meletak jawatan berikutan kenyataannya yang dikatakan bersifat perkauman.

MPMUM berpendapat, Afandy Sutrisno Tanjung tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan selain mengetepikan pendapat anggota kabinet majlis itu dalam menyuarakan pandangan untuk faedah warga universiti, kata seorang anggota Majlis Tertinggi MPMUM, Ahmad Shahir Abdul Aziz kepada pemberita di sini, hari ini.

Afandy yang memegang jawatan itu sejak dua penggal lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau sehingga menimbulkan sentimen perkauman di kalangan warga universiti dalam perutusannya melalui satu risalah dalaman, baru-baru ini.

Ahmad Shahir berkata, beberapa siri kenyataan Afandy termasuk perutusannya itu seolah-olah menunjukkan majlis itu berkiblat kepada kepentingan Melayu saja dan tidak peka kepada sentimen kaum lain.

“Sebarang kenyataan daripada Afandy sepatutnya berasaskan kepada polisi dan objektif majlis itu untuk memperjuangkan nasib mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) tanpa mengira latar belakang kaum.

“Daripada bantahan yang kami terima, kami (anggota kabinet MPMUM) sedang berusaha untuk mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) sebelum akhir semester ini,” kata Exco Kebajikan MPMUM, Mohamad Hilman Nordin.

Mohamad Hilman berkata, undi tidak percaya adalah resolusi terakhir sekiranya Afandy gagal meletak jawatan walaupun pilihan raya MPMUM hanya dijadualkan selepas September depan. – Bernama

Saya tidak tahulah, di mana dia kenyataan berbaur perkauman yang dinyatakan oleh saudara Shahir tersebut. Mungkin saya kurang mengambil tahu tentang isu dalaman kampus yang hanya hangat semasa pilihanraya kampus sahaja.

Namun, jika benarlah perkara tersebut berlaku, Shahir hanyalah membuka pekung di dada sendiri kerana menggambarkan MPMUM mempunyai konflik dalaman. Saya takut, nanti bukan undi tidak percaya bukan sekadar untuk saudara Affandy, tetapi juga undi tidak percaya warga UM kepada majlis ini (selama ini, wujud kepercayaan ke?)

Dan Shahir juga bakal menghadapi suatu cabaran besar. Kabinet MPMUM kebanyakan dianggotai oleh wakil Aspirasi dan bukannya Pro-Mahasiswa seperti beliau. (nampak sangat kedua-dua entiti ini melanggar undang-undang pilihanraya kampus). Tidak mustahil jika undi tidak percaya terhadap beliau lebih tinggi berbanding untuk saudara Affandy.

Namun, memang benarpun Affandy (malah hampir seluruh exconya sendiri) dikatakan tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan. Tidak percaya? Anda selak kembali manifesto setiap calon dan cari semula sama ada janji tertunai atau tidak. (saudari *****, mana tangki air dan laluan berbumbung anda?)

Pengajaran untuk Aspirasi, janganlah kita berpecah-belah. Kerana masalah dalaman itulah yang membolehkan orang-orang seperti Shahir dan penyokongnya bersorak-sorai dalam DTC semasa pengumuman keputusan pilhanraya lepas.

Persoalan di fikiran saya, saya lihat UM ini tenang sahaja, mengapa perlu ada kenyataan akhbar ini?





Hidup BMW!

7 04 2008

Ya! Saya penyokong setia pasukan BMW-Sauber F1.

Perlumbaan di Bahrain, Kubica memperoleh pole position. Akhirnya, memperoleh podium.

Tiga perlumbaan telah berlalu. Namun, BMW sudah mula melakukan kejutan.

Setelah sekian lama pole position dikuasai Ferrari dan McLaren, BMW memecahkan rekod itu. Tahniah!

Nick Heidfeld juga sedang memberikan amaran. Pemandu ini selalunya dilabel dengan pemanduan bersih dan berhati-hatinya. Namun, dalam perlumbaan di Malaysia, beliau mencatatkan pusingan terpantas dan hampir melakukan perkara yang sama di Bahrain.

Walau tidak pernah mendapat kemenangan dalam ketiga-tiga perlumbaan awal ini, BMW telahpun mendahului pungutan mata.

Tahniah! Biar rentak ini kekal!





Annual Dinner Kolej ke-10 : MGS ke-XI

7 04 2008

Saya telah janjikan entri ini.

Ya! MGS ke-XI banyak menerima reaksi positif dan negatif daripada pelbagai pihak. Baguslah…

Saya juga ingin beri respons.

Hotel Istana yang letak di segitiga emas KL itu agak mendukacitkan. Ini bukan salah AJK ya! Makanan biasa sahaja. Service, hurm… Food presentation? haha!… saya teringat dua tahun lepas, hotel Mandarin Oriental sahaja mengambil masa sejam untuk membuat rehearsal. Haha!

Satu isu yang banyak kedengaran ialah emcee. Ya! Inilah tunjang kepada MGS kali ini. Saya dikhabarkan, mereka ini masih baru dalam pengacaraan majlis. Biarlah, jadi medan latihan katanya. Saya masih ingat kali pertama saya mendengar Ashraf (nates) membaca skrip, huiyoo… Tetapi, kemudiannya semasa rehearsal, saya boleh katakan yang emcee berada di atas par untuk mengendalikan majlis. Dan semasa MGS, walaupun terdapat kucar-kacir di sana sini, majlis berjalan dengan lancar. Cuma lebih menarik jika sesi pengumuman cabutan bertuah, serta prom king and queen dibuat dengan lebih dramatik. Apa-apapun, tahniah!

Buat AJK, dalam tempoh yang sekejap, majlis ini berjalan dengan baik. Saya sendiri melihat AJK menggelupur di belakang pentas setelah menyedari bahawa majlis bukan sekadar lancar, malah terlebih lawas. Haha! Tetapi, usaha untuk mengatasi masalah itu sangat baik. (Sehinggakan saya sendiri terpaksa menjadi bidan terjun untuk menyanyi buat kali ke-2, haha!)

Pelbagai ragam baju boleh dilihat. Luar biasa juga penangan tema kali ini. Boleh dikatakan 98% mengikut tema. (Tok Putih, baju apa ko pakai tuh?) Cuma, janganlah terlalu melampau atau over, nanti jadi bahan bualan orang. Pada pendapat saya, Kak Cik boleh menggondol anugerah malam itu, tiada rezeki la pulak!

Keseluruhannya, memang MGS kali ini banyak kelemahannya. Namun, jikalau kita tahu bagaimana usaha dan perit-jerih orang disebalik tabirnya, kita akan bersyukur dengan penganjuran tersebut.

Bagi pihak saya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan semeja; Maisarah, Intan, Aireen, Is, Yan, Zu, Ija, Meksu. Tidak lupa juga kepada barisan puteri-puteri yang menyampaikan bunga semasa saya menyanyi di pentas, bobit & safwan yang juga mencelah untuk mengambil gambar. Juga kepada semua AJK Teknikal dan AJK Protokol yang banyak membantu saya menjayakan nyanyian-tidak-ingat-lirik-dan-bidan-terjun saya itu. Haha!

Di sini saya selitkan beberapa gambar. Klik untuk besarkan ya!






Petak hadapan pertama buat BMW-Sauber

6 04 2008

Tahniah Robert Kubica!

Ini petak hadapan (pole position) pertama untuk BMW-Sauber…

Moga lebih cemerlang dalam perlumbaan nanti ya!

Kepada semua, nanti saya akan update tentang annual dinner tempoh hari. Meriah!





MGS ke-XI

4 04 2008

hitam-merah-putih

 Hari ini 4 April 2008.

Kolej Kediaman ke-10 UM akan mengadakan annual dinner pada malam ini. Sekali lagi, tarikh di bulan April menjadi pilihan. Untuk rekod, MGS ke-IIX diadakan pada 31 Januari 2005 di JW Marriott, MGS ke-IX (31 Disember 2005, Mandarin Oriental) dan MGS ke-X pada 7 April 2007 (Genting Internation Convention Centre)

Tema malam ini? Haha! Warna hitam-merah-putih menjadi pilihan penganjur. Lebih mudah rasanya menjadi baju yang bersesuaian. Ingat satu masa dahulu, penganjur tetapkan tema Alam Sekitar. Mana nak dicari baju yang sesuai?!

Tempat? Hotel Istana. Saya tidak pernah sampai ke hotel berkenaan. Apa yang tahu, letaknya di Jalan Sultan Ismail.

Maka, tunggu dan lihat sahaja malam ini. Kepada yang akan hadir, enjoy ya!

p/s = burung di atas tidak ada kena-mengena sangat dengan dinner, tapi warna die kena dgn tema dinner

(buat pertama kalinya tahun ini, tiada sesi clamping besar-besaran dibuat. Tahniah! Kolej ber-kebajikan katanya…)





Senyum…

3 04 2008
kambing

Kali ini, saya ingin berkongsi satu cerita yang mungkin boleh membuatkan anda tersenyum. Kredit untuk rakan saya dari MMU, sdr Myer Iyeman atas cerita ini yang saya petik dari blog beliau.

Temubual seorang pemuda dengan pakcik gembala kambing biri-biri.

Pemuda : Baguslah ternakan biri-biri pakcik. Boleh saya tanya beberapa soalan tak?
Pakcik : Boleh aje…
Pemuda : Berapa jauh biri-biri ni berjalan setiap hari?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?
Pemuda : Yang putih.
Pakcik : Kalau yang putih berjalan lebih kurang enam kilometer setiap hari.
Pemuda : Yang hitam?
Pakcik : Yang hitam pun sama…
Pemuda : Berapa banyak plak rumput biri-biri ni makan setiap hari?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?
Pemuda : Yang putih?
Pakcik : Ah, yang putih makan lebih kurang empat kilo rumput setiap hari.
Pemuda : Dan yang hitam? Pakcik : Yang hitam pun sama…
Pemuda : Berapa banyak bulu yang mereka hasilkan setiap tahun?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?
Pemuda : Yang putih?
Pakcik : Aaa…yang putih menghasilkan sekitar enam kilo bulu setiap tahun.
Pemuda : Dan yang hitam?
Pakcik : Yang hitam pun sama…
Pemuda : Kenapa pakcik membezakan biri-biri pakcik yg putih dgn yg hitam, padahal jawapan semuanya sama aje?
Pakcik : Mestilah…sebab biri-biri yang putih itu pakcik yang punye.
Pemuda : Ooo, gitu ke…abis tu yang hitam tu sapa punye?
Pakcik : Yang hitam pun sama….
Pemuda : Arghhh… tensionyaaa..