Bukan Pak Lah sahaja yang didesak…

9 04 2008

Saya telah nyatakan sebelum ini, pasti PRU-12 membawa angin perubahan pada politik kampus.

Namun saya tidak menyangka seawal ini.

Baca ini, saya petik mutakhir daripada Berita Harian online.

Majlis Perwakilan Mahasiswa UM desak YDP letak jawatan ekoran isu perkauman

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mahu Yang Dipertuanya meletak jawatan berikutan kenyataannya yang dikatakan bersifat perkauman.

MPMUM berpendapat, Afandy Sutrisno Tanjung tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan selain mengetepikan pendapat anggota kabinet majlis itu dalam menyuarakan pandangan untuk faedah warga universiti, kata seorang anggota Majlis Tertinggi MPMUM, Ahmad Shahir Abdul Aziz kepada pemberita di sini, hari ini.

Afandy yang memegang jawatan itu sejak dua penggal lalu dikatakan mengeluarkan kenyataan melampau sehingga menimbulkan sentimen perkauman di kalangan warga universiti dalam perutusannya melalui satu risalah dalaman, baru-baru ini.

Ahmad Shahir berkata, beberapa siri kenyataan Afandy termasuk perutusannya itu seolah-olah menunjukkan majlis itu berkiblat kepada kepentingan Melayu saja dan tidak peka kepada sentimen kaum lain.

“Sebarang kenyataan daripada Afandy sepatutnya berasaskan kepada polisi dan objektif majlis itu untuk memperjuangkan nasib mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya (UM) tanpa mengira latar belakang kaum.

“Daripada bantahan yang kami terima, kami (anggota kabinet MPMUM) sedang berusaha untuk mengadakan EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) sebelum akhir semester ini,” kata Exco Kebajikan MPMUM, Mohamad Hilman Nordin.

Mohamad Hilman berkata, undi tidak percaya adalah resolusi terakhir sekiranya Afandy gagal meletak jawatan walaupun pilihan raya MPMUM hanya dijadualkan selepas September depan. – Bernama

Saya tidak tahulah, di mana dia kenyataan berbaur perkauman yang dinyatakan oleh saudara Shahir tersebut. Mungkin saya kurang mengambil tahu tentang isu dalaman kampus yang hanya hangat semasa pilihanraya kampus sahaja.

Namun, jika benarlah perkara tersebut berlaku, Shahir hanyalah membuka pekung di dada sendiri kerana menggambarkan MPMUM mempunyai konflik dalaman. Saya takut, nanti bukan undi tidak percaya bukan sekadar untuk saudara Affandy, tetapi juga undi tidak percaya warga UM kepada majlis ini (selama ini, wujud kepercayaan ke?)

Dan Shahir juga bakal menghadapi suatu cabaran besar. Kabinet MPMUM kebanyakan dianggotai oleh wakil Aspirasi dan bukannya Pro-Mahasiswa seperti beliau. (nampak sangat kedua-dua entiti ini melanggar undang-undang pilihanraya kampus). Tidak mustahil jika undi tidak percaya terhadap beliau lebih tinggi berbanding untuk saudara Affandy.

Namun, memang benarpun Affandy (malah hampir seluruh exconya sendiri) dikatakan tidak menjalankan tugasnya dengan berkesan. Tidak percaya? Anda selak kembali manifesto setiap calon dan cari semula sama ada janji tertunai atau tidak. (saudari *****, mana tangki air dan laluan berbumbung anda?)

Pengajaran untuk Aspirasi, janganlah kita berpecah-belah. Kerana masalah dalaman itulah yang membolehkan orang-orang seperti Shahir dan penyokongnya bersorak-sorai dalam DTC semasa pengumuman keputusan pilhanraya lepas.

Persoalan di fikiran saya, saya lihat UM ini tenang sahaja, mengapa perlu ada kenyataan akhbar ini?