Cuti sekolah tamat!

8 06 2008

Dua minggu cuti sekolah sudah berakhir. Esok, saya akan mula kembali mengajar untuk praktikal saya di SMAPK.

Banyak juga perkara yang berlaku dalam dua minggu ini. Dimulakan dengan penglibatan saya bersama-sama kontinjen SMAPK ke HKSBP 2008 di Sek Men Sultan Abd Halim. Suatu pengalaman menarik. Juga bengkel mengajar di Universiti Malaya yang banyak memberikan kebaikan (dan terselit unsur kebosanan). Paling menarik, pergi menonton P Ramlee The Musical bersama rakan-rakan setia. Trimas!

Rezeki saya cukup baik untuk dua minggu ini. Terima kasih buat sesiapa yang banyak membantu saya untuk menumpang kasih dan berteduh; Maisarah, Bobit, Nuar, Amir R (minta maaf kepada yang tidak disebut namanya disini). Saya juga rasa sungguh puas dapat update entri dalam blog ini lebih 6  entri. Sekurang-kurangnya, sawang-sawang telah saya bersihkan. Saya tidak pasti internet di SMAPK sudah pulih ataupun tidak.

Jumpa lagi semua!!!





My Name Is Remy

7 06 2008

Malam tadi saya berkesempatan untuk menonton pementasan Teater Muzikal P.Ramlee untuk kali kedua.

Berbeza dengan musim pertama dahulu, ada beberapa perubahan dari segi produksi kali ini. Antara lain, watak P.Ramlee yang dahulunya disandang oleh Sean Ghazi kini diambil alih oleh Musly Ramlee. Datuk Siti Nurhaliza yang memegang watak Azizah juga tidak dapat kembali, digantikan oleh Emelda Rosmila. Pendapat saya, Musly telah berjaya menjadikan P.Ramlee solah-olah hidup semula di Panggung Sari Istana Budaya, terutama sekali tatkala beliau membawakan lagu ‘Di Mana Kan Kucari Ganti’. Benarlah kata media, Musly memang jelmaan P.Ramlee, begitu juga Liza Hanim yang turut menghidupkan Saloma. Musly jauh lebih baik daripada Sean Ghazi. Namun, berbeza dengan watak Azizah, saya kira Emelda kurang cemerlang dengan watak itu. Mengapa? Ini adalah kerana teater muzikal ini menuntut pelakonnya mempunyai vokal yang baik untuk nyanyian. Ya, memang tidak adil untuk membandingkan nyanyian beliau (atau sesiapa sahaja) dengan nyanyian Datuk Siti, tetapi sekurang-kurangnya letaklah seorang penyanyi sebagai pengganti penyanyi. Tetapi, saya harus nyatakan di sini bahawa lakonan Emelda jauh lebih bagus berbanding Datuk Siti (wajarlah, kan?)

Dari aspek muzik, saya pada mulanya tidak mempunyai expectation yang tinggi terhadap muzik pementasan kali ini. Kenapa? Pada musim pertama, maestro muzik tersohor Erwin Gutawa buat pertama kali membawa sebuah orkestra untuk pementasan teater tempatan. Untuk edisi kali ini, tugas gubahan muzik kali ini disandang oleh Roslan Aziz yang hanya mempunyai sebelas (11) pemuzik sahaja. Apa yang saya sangka ialah muziknya tidak sehebat yang pertama. Namun, saya silap. Dengan 11 pemuzik sahaja, Roslan Aziz berjaya menghidupkan kembali bunyi muzik kumpulan orkestra Erwin dahulu. Kualiti susunan muzik beliau amat cemerlang, ternyata Roslan Aziz seorang yang hebat dalam kelasnya tersendiri. Beliau tidak perlukan sebuat orkestra untuk mencipta masterpiece yang boleh diingati. Tahniah Roslan Aziz!

Lain-lain? Banyak adegan yang ditinggalkan. Namun, pembaharuan yang menarik ialah lebih banyak lagu-lagu Allahyarhan Tan Sri P.Ramlee yang diselitkan dan dinyanyikan dengan baik oleh Musly. Apa-apapun, pementasan kali ini lebih baik daripada yang pertama.

Impian saya, pementasan kali ke-3 dengan Musly sebagai P.Ramlee dan Datuk Siti sebagai Azizah, dengan muzik gabungan kreatif big band Roslan Aziz dan orkestra Erwin Gutawa. Pasti ia menjadi pementasa yang sempurna.

Oh ya, hampir terlupa. Saya menonton bersama rakan-rakan dan sahabat setia. Terima kasih buat Maisarah, Hafishah, Hidayah, Kak Cik dan Bal. Saya berkesempatan berjumpa En Reduan (UMP), abang Azerai (yang sudah kali ke-4 menonton katanya) dan sdr Azhar (pendebat USM yang kini menjalani praktikal di IB).

Rugi kepada sesiapa yang tidak dapat menonton.





Pabila Tun Dr M bersuara

6 06 2008

Ramai memberikan respons terhadap kenaikan harga minyak. Ada yang tidak suka, tidak kurang juga yang pasrah pada polisi kerajaan.

Jujurnya, saya sendiri tidak gembira dengan berita ini (walaupun saya tidak mempunyai kenderaan). Kenaikan harga petrol ini akan mempengaruhi segala-galanya; daripada kos pengangkutan kepada harga makanan.

Saya tertarik dengan kenyataan Tun Dr M dalam blognya yang juga turut mengkritik tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Beliau menyatakan tentang isu yang klise, berkenaan keuntungan Petronas dan lebih cantik lagi beliau juga turut menceritakan tentang kenaikan harga kelapa sawit dan sebagainya yang juga turut memberikan pendapatan kepada kerajaan hasil kutipan cukai.

Tun Dr M juga mengkritik tindakan kerajaan untuk mengapungkan Ringgit Malaysia (RM) kerana tindakan ini hanya merugikan rakyat kerana tiada faedah dari segi kos import.  Semasa krisi ekonomi 1997 dahulu, Tun Dr M lah yang mengambil tindakan untuk melakukan tambatan matawang. Ini satu lagi ‘projek’ Tun Dr M yang dihentikan oleh kerajaan.

Kata beliau, tindakan kerajaan terlalu tergesa-gesa. Benar! Ketika Datuk Shahrir mengumumkan bayangan kenaikan harga seawal Ogos, sudah terdengar keluh-kesah di sana-sini. Namun, secara tiba-tiba, PM umumkan kenaikan harga minyak terbesar dalam sejarah negara.

Kesimpulannya, isu minyak memang isu yang sensitif. Kadangkala, rajuk radang kita itu hanyalah berlandaskan emosi dan atas sentimen politik semata-mata, sedangkan krisis dunia kini semakin tidak tertanggung. Zaman selesa dunia sudah lama berlalu. Makanan, minyak, cuaca, keamanan, semuanya perlu kita hadapi dan tangani.

Apa-apapun, salam ulangtahu€n kelahiran ke-11 untuk adik saya, Ariff Asyraf b Mohamed dan rakan saya, Amir Ramzani Borhan (untuk ulangtahun kelahiran ke-23).





Subsidi bukan untuk besi

4 06 2008

Satu negara terkejut. PM mengumumkan harga baru petrol di pasaran Malaysia.

RM2.70 seliter. Kenaikan paling besar dalam sejarah negara kita.

Di sana-sini sudah kecoh. Caci-maki terhadap kerajaan dan PM sendiri sudah kedengaran. Keluh-kesah golongan berpendapatan sederhana semakin berat dek harga bahan api yang membebankan.

Lantas PM mengumumkan kaedah baru pemberian subsidi kepada rakyat; rebat tunai apabila membayar cukai jalan. Pada hemat saya, ini langkah yang boleh diterima lantaran duit yang diberikan sama rata, tidak mengira penggunaan oleh rakyat. Maka, untuk merasai rebat dengan optimum, jimatkanlah penggunaan ya!

Kenaikan harga minyak memang tidak boleh dielakkan. Harga minyak dunia memang meningkat pada kadar yang membimbangkan. Saya kira, kini sudah tiba masanya untuk meneroka sumber tenaga alternatif.

Namun, ada juga timbul isu lain tentang tenaga bentuk baru, iaitu Food VS Fuel. Alternatif terbaik, nuklear! Tetapi, bila hendak dikomersilkan pun tidak tahu!

Oh ya! Tentang tajuk entri ini. Semasa memandu tadi, di kiri dan kanan saya, hampir semua kereta yang dipandu hanyalah terdapat seorang penumpang, iaitu pemandu itu sendiri. Inilah yang merugikan, subsidi yang kerajaan beri, bukan digunakan untuk mengangkut manusia, tetapi besi. Huhu!

Kepada semua (terutamanya rakan-rakan sebaya), hentikanlah caci-maki terhadap kerajaan kita. Sedarlah, kita dalam krisis petroleum di peringkat global. Secara kasarnya, harga sebelum ini iaitu RM1.92/liter adalah semasa harga petroleum pada tahap USD70/tong. Kini, harga petroleum sekitar USD130/tong, maka sebarang kenaikan harga adalah tidak dapat dielakkan.

Fikirkan. Subsidies make transport of people and goods cheaper, but discourage fuel efficiency





Subsidi bukan untuk mereka

3 06 2008

Langkah bijak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menguatkuasakan peraturan larangan penjualan minyak petrol kepada kenderaan asing adalah suatu langkah yang perlu, walaupun agak lambat.

Manakan tidak, saya selaku rakyat Johor cukup sakit mata apabila melihat kereta Singapura mengisi minyak sepenuh-penuhnya sehingga sanggup menggoncang-goncangkan kereta mereka. Jelek bukan?

Setelah kaedah baru ini diperkenalkan, pengusaha minyak pula merana. Pendapat saya, kita terpaksa korbankan keuntungan mereka demi kebajikan berjuta-juta yang lain.

Dato’ Shahrir juga membayangkan kenaikan harga minyak dan penstrukturan semula subsidi bahan api kepada rakyat Malaysia Ogos nanti.

Baguslah! Keadaan harga minyak yang meningkat naik tidak dapat dielakkan lagi. Cukup mahal harganya.

Teringat pula kempen pilihanraya PKR yang memuji-muji DSAI yang berjaya kekalkan harga minyak pada tahap RM1.10 semasa beliau menjadi Menteri Kewangan. Itu dahulu semasa harga minyak di bawah USD40 setong. Kini harga sudah meningkat tiga kali ganda (USD130/tong), harga minyak petrol tidak pula mencecah RM3.30 di pasaran. Baguslah….





YDP MPMUM maju selangkah

3 06 2008

Pagi semalam, semasa menyemak mesej-mesej dalam jaringan sosial Friendster saya, saya mendapati ada sesuatu yang menarik di situ.

Mesej untuk saya lawati blog YDP MPMUM sesi ini iaitu saudara Affandy Sutrisno. Pendapat saya, beliau akhirnya mengambil langkah bijak mempunyai sebuah blog, agar buah fikirnya dapat disampaikan dengan mudah dan berkesan. Tahniah.

Lawatlah ke http://afandytanjung.blogspot.com/