Malam tadi saya berkesempatan untuk menonton pementasan Teater Muzikal P.Ramlee untuk kali kedua.
Berbeza dengan musim pertama dahulu, ada beberapa perubahan dari segi produksi kali ini. Antara lain, watak P.Ramlee yang dahulunya disandang oleh Sean Ghazi kini diambil alih oleh Musly Ramlee. Datuk Siti Nurhaliza yang memegang watak Azizah juga tidak dapat kembali, digantikan oleh Emelda Rosmila. Pendapat saya, Musly telah berjaya menjadikan P.Ramlee solah-olah hidup semula di Panggung Sari Istana Budaya, terutama sekali tatkala beliau membawakan lagu ‘Di Mana Kan Kucari Ganti’. Benarlah kata media, Musly memang jelmaan P.Ramlee, begitu juga Liza Hanim yang turut menghidupkan Saloma. Musly jauh lebih baik daripada Sean Ghazi. Namun, berbeza dengan watak Azizah, saya kira Emelda kurang cemerlang dengan watak itu. Mengapa? Ini adalah kerana teater muzikal ini menuntut pelakonnya mempunyai vokal yang baik untuk nyanyian. Ya, memang tidak adil untuk membandingkan nyanyian beliau (atau sesiapa sahaja) dengan nyanyian Datuk Siti, tetapi sekurang-kurangnya letaklah seorang penyanyi sebagai pengganti penyanyi. Tetapi, saya harus nyatakan di sini bahawa lakonan Emelda jauh lebih bagus berbanding Datuk Siti (wajarlah, kan?)
Dari aspek muzik, saya pada mulanya tidak mempunyai expectation yang tinggi terhadap muzik pementasan kali ini. Kenapa? Pada musim pertama, maestro muzik tersohor Erwin Gutawa buat pertama kali membawa sebuah orkestra untuk pementasan teater tempatan. Untuk edisi kali ini, tugas gubahan muzik kali ini disandang oleh Roslan Aziz yang hanya mempunyai sebelas (11) pemuzik sahaja. Apa yang saya sangka ialah muziknya tidak sehebat yang pertama. Namun, saya silap. Dengan 11 pemuzik sahaja, Roslan Aziz berjaya menghidupkan kembali bunyi muzik kumpulan orkestra Erwin dahulu. Kualiti susunan muzik beliau amat cemerlang, ternyata Roslan Aziz seorang yang hebat dalam kelasnya tersendiri. Beliau tidak perlukan sebuat orkestra untuk mencipta masterpiece yang boleh diingati. Tahniah Roslan Aziz!
Lain-lain? Banyak adegan yang ditinggalkan. Namun, pembaharuan yang menarik ialah lebih banyak lagu-lagu Allahyarhan Tan Sri P.Ramlee yang diselitkan dan dinyanyikan dengan baik oleh Musly. Apa-apapun, pementasan kali ini lebih baik daripada yang pertama.
Impian saya, pementasan kali ke-3 dengan Musly sebagai P.Ramlee dan Datuk Siti sebagai Azizah, dengan muzik gabungan kreatif big band Roslan Aziz dan orkestra Erwin Gutawa. Pasti ia menjadi pementasa yang sempurna.
Oh ya, hampir terlupa. Saya menonton bersama rakan-rakan dan sahabat setia. Terima kasih buat Maisarah, Hafishah, Hidayah, Kak Cik dan Bal. Saya berkesempatan berjumpa En Reduan (UMP), abang Azerai (yang sudah kali ke-4 menonton katanya) dan sdr Azhar (pendebat USM yang kini menjalani praktikal di IB).
Rugi kepada sesiapa yang tidak dapat menonton.