Kembali ke SHAH Pekan

31 07 2008

Ibarat sirih pulang ke gagang, alumni SHAH Pekan atau lebih dikenali dengan SOSA akan mengadakan program kembali ke sekolah dengan kerjasama Kelab Pengguna SHAH di bawah seliaan Cik Salina Daud (gambar), sangat sinonim dengan sejarah semua pelajar di SHAH Pekan.

Aturcara program sudahpun diumumkan di laman web rasmi SOSA iaitu http://www.shahpekan.org/ atau portal rasmi SHAH Pekan di http://shahpekan.edu.my/ untuk membacanya.

Kepada yang baru tahu, maaf lah kerana tarikh tutup pendaftara ialah pada 26 Julai yang lalu. Tidak tahulah jika penganjur masih menerima pendaftaran di saat-saat akhir. Saya sendiri berkira-kira untuk mendaftar, namun di akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi sebahagian daripada acara ini.

Tahniah saya ucapkan buat SOSA dan pihak sekolah atas penganjuran ini. Saya tidak berkesempatan untuk menyertai acara yang saya tahun lalu kerana pertindihan dengan Pertandingan Debat Alam Sekitar 2007.

SHAH – Where Excellence Is Created…





Debat Alam Sekitar 2008

30 07 2008

Semalam, 30 Julai 2008, berlabuhlah tirai Debat Alam Sekitar 2008.

Image Hosted by ImageShack.us

Tidak banyak yang saya mahu tulis. Universiti Teknologi MARA memperoleh johan, memusnahkan harapan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk memperoleh gelaran johan buat kali ke-4 berturut-turut.

Seperti biasa, banyak pengajaran yang saya peroleh untuk edisi kali ini. Apa-apapun, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kontinjen UM untuk kali ini; Zul Fadhli, Azri Zahier, Khairul Asyraf dan Mohd Hidayat. Sekalung penghargaan juga buat konsultan tercinta, Azizul Hakim atas segala tunjuk ajar dan nasihat berguna.

Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) 2008 banyak pro dan kontranya. Saya sendiri begitu kagum dengan kebangkitan pasukan-pasukan yang menampakkan taring mereka seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang bagi saya mempunyai potensi untuk menyerlah dalam arena debat inter-varsiti. Pasukan lain seperti UNITAR, MMU dsb juga semakin memperoleh rentak dalam DAS kali ini. Sebagaimana biasa, UTP merupakan antara IPTS paling cemerlang dalam DAS sejak 2006 lagi.

Dari aspek penganjuran, saya agak terkejut apabila ditempatkan di Hostel Kinabalu, bersebelahan stadium Likas. Bukan niat di hati saya untuk meminta tempat yang hebat, cukuplah sekadar memudahkan peserta untuk benar-benar menikmati bandar Kota Kinabalu yang saya rasa sangat jarang dikunjungi oleh pendebat-pendebat dari semenanjung.

Sebagai seorang pelajar sains, saya ingin menyatakan sesuatu perkara. Bukan niat saya untuk obses pada bidang yang saya ceburi. Ada sesetengah pasukan yang bersifat membohongi fakta dan kajian sains. Seharusnya, penghormatan terhadap sains perlu ada dan tanda menghormatinya ialah dengan tidak menipu tentang isu sains dalam dewan perdebatan. Selain fakta sains, banyak juga teknik pembohongan dan pemfitnahan yang berlaku sepanjang DAS ini yang saya kira tidak akan mencetuskan satu iklim perdebatan yang sihat.

Pertandingan debat bukannya sekadar datang bertanding, lawan, menang dan kalah, kemudian balik ke kampus masing-masing. Debat adalah lebih daripada itu. Apa yang saya ingin katakan ialah hubungan akrab antara semua universiti perlu wujud. Sentimen permusuhan perlu dikekang, semangat menghormati dan bertegur-sapa antara pendebat-pendebat. Bagi saya, keadaan ini sudah baik pada masa ini, namun terdapat beberapa keadaan tidak enak yang saya perhatikan. Contohnya, ada pendebat-pendebat yang lahir dari sekolah yang sama, namun kini berbeza IPT. Tetapi kedua-duanya tidak bertegur-sapa, malah lebih teruk lagi apabila seorang junior bersikap dingin (tidak keterlaluan jikalau saya kata kurang ajar) kepada seniornya. Apa-apapun, saya bersyukur kerana kenalan saya semasa di sekolah dulu bersikap baik dan menghormati. Alhamdulillah! Terima kasih Najmie (UMP), Erny (UMT), Syukri (MMU) dan Siddiq (UTP) atas rasa hormat dan penerimaan kalian.

Apa-apapun, secara peribadi, saya sangat suka berdebat dengan pasukan UMS. Bukan kerana pasukan saya menang jika melawan mereka, tidak! Tetapi setiap perlawanan dengan UMS, saya merasakan yang perlawanan debat sebenar berlangsung. Tidak perlu fitnah-memfitnah, tidak perlu melanggar santun perdebatan, dan tidak perlu membuat pendekatan menjengkelkan.

Di akhirnya, saya impikan keadaan yang lebih baik untuk Debat Kemerdekaan 2008 di UMT nanti, baik untuk UM mahupun keseluruhan komuniti debat yang terbabit. Moga berjumpa lagi!





Transformers II : Revenge of the Fallen

19 07 2008

Pergi ke mana-mana blog, meriahnya bercerita tentang isu hangat masa kini.

Blog saya? Saya ingin alihkan perhatian pembaca pada perkara menarik yang baru saya jumpa pagi ini. Lambat juga sebenarnya.

Micheal Bay, pengarah filem yang saya kagumi akan kembali mengarahkan filem Transformers, kali ini sequelnya yang bertajuk Revenge of The Fallen.

Setelah bersiar-siar di internet tentang filem ini, banyak juga spekulasi tentang watak dan jalan cerita filem ke-9 arahan Micheal Bay ini. Ada pihak yang meramalkan kemunculan semula Megatron yang dihidupkan semula oleh Scorponox, ataupun kembalinya Starscream ke bumi dengan bala tentera Decepticons dari Cybertron.

Apa-apapun, filem ini akan ditayangkan pada Jun 2009, jadi kepada semua peminat Transformers, bersabar la ya! Tinggalkan komen anda di entri ini.

Oh. ya! Saya berkesempatan menonton Wanted tempoh hari. Tidak rugi saya pergi sejauh Jusco Cheras Selatan di Balakong…





Debat : Perlu diperhebat

18 07 2008

Saya tertarik dengan entri yang ditulis di blog YDP MPMUM tentang respons beliau tentang debat yang berlangsung tempoh hari serta dikaitkan dengan mahasiswa. Tajuknya mudah, Debat!!! Bagaimana dengan mahasiswa??

Debat yang berlangsung tempoh hari benar-benar memberi kesan tidak kira lapisan masyarakat sekalipun. Di peringkat mahasiswa contohnya, ramai yang mula membuka mata dan telinga akan ketokohan pemimpin kita berpidato dan membuat pengucapan umum. Mungkin ada juga antara mahasiswa yang tidak pernah melihat pidato DSAI sebelum ini.

Seruan sdr Affandy cukup baik, budaya perdebatan ini harus diteruskan tidak mengira tempat asalkan kena pada masanya. Harus diingat, debat itu ada batasnya. Adalah tidak wajar sekiranya debat itu dijadikan kehidupan lantaran ia boleh membawa kemudaratan. Pertimbangan rasional adalah perlu agar debat yang dianjurkan tidak dibaluti elemen emosional yang boleh merosakkan debat itu sendiri.

Di sini juga, saya juga ingin memberikan sedikit teguran kepada semua pihak (khususnya pengurusan kolej kediaman) kerana seringkali menjadikan pertandingan Debat NC anjuran Kelab Orator UM sebagai aktiviti kelas kedua (SUKMUM dan FESENI selalu diangkat martabatnya), lantas menjadikan Debat NC semakin sepi, ibarat hidup segan mati tak mahu lantaran kegagalan memperoleh sokongan yang menyeluruh khususnya dari aspek kewangan.

Saya sendiri seolah-olah memperoleh nafas baru apabila ada calon MPM sebelum ini memberikan idea untuk penganjuran debat di peringkat intravarsiti. Namun, hampanya sehingga kini tiada sebarang khabar berita.

Mungkin juga mahasiswa kita tidak sedar akan wujudnya satu majlis antara universiti selain sukan (MASUM_ dan kebudayaan (MAKUM) iaitu Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) yang begitu aktif menganjurkan pelbagai kejohanan debat intervarsiti yang menyaksikan pertembungan idea bernas (yang mana pertandingan ini juga acapkali dipandang sepi oleh mahasiswa). Contoh mudah, kolej kediaman pertama UM setiap tahun menganjurkan Debat ASTAR yang menjadi medan pertarungan pasukan handalan, namun berapa ramai sahaja mahasiswa UM yang ingin menontonnya?

Di akhirnya, usaha untuk mewujudkan kembali speakers corner adalah usaha murni yang perlu disokong. Namun, adakah benar mahasiswa (khususnya mahasiswa UM) bersedia untuk mempunyai speakers corner tersebut? Pada hemat saya, adalah wajar kita bentuk budaya berfikir secara kritis dan analitikal di kalangan mahasiswa dahulu, sebelum kita dirikan semula sudut pidato itu.

Kerana saya teringat, e-village gagal kerana perfileman Malaysia belum bersedia. Saya bimbang speakers corner yang dicadangkan menerima nasib yang sama.





SMAPK : Apakah hadiah yang saya peroleh?

15 07 2008

Tamat sudah latihan mengajar saya di Sek Men Agama Persekutuan Kajang pada 11 Julai 2008. Pada penghujungnya, saya bertanya pada diri saya, apakah hadiah yang saya peroleh daripada warga SMAPK?

Nyata, hadiah paling besar yang telah saya peroleh adalah memori indah dan kenangan manis sepanjang 10 minggu praktikal saya di SMAPK ini.

The Debaters

Paling memberi makna besar dalam LM kali ini ialah pembahas-pembahas komited SMAPK. Terima kasih buat kalian! Paling terharu ialah apabila kamu semua sudi menerima cikgu yang tiada kaitan langsung dengan sekolah ini. Tahniah juga atas kejayaan yang kamu semua peroleh sepanjang penglibatan dalam dunia perbahasan ini. Walau pertolongan cikgu hanya sekelumit dan kehadiran cikgu hanya fragmen kecil perjuangan kamu dalam mengejar kejayaan, cikgu akan sentiasa ingat! Kepada rakan seperjuangan, Zul Fadhli ; terima kasih kerana mengizinkan aku berkongsi pahit manis perjuangan ini. Terima kasih Mustaqim, Afiq, Hisyam, Rashid, dan Izlan. Tidak lupa kepada Naim, Pyan, Wan, Faris and Syahmi.

The Teachers

Saya juga amat berterima kasih kepada guru-guru di SMAPK, khususnya penghuni-penghuni bilik guru lelaki (yang lelakinya hanya 4 org itu). Pengalaman, tunjuk ajar dan nasihat cikgu-cikgu akan saya ingat sampai bila-bila. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian menerima saya dan memberikan tunjuk ajar berguna.

4 Neptun

Saya mengajar Mat Moden untuk kelas ini. Apa-apapun, tahniah dan terima kasih kepada kalian kerana memberikan kerjasama terbaik kepada cikgu. Cikgu akui akan kelemahan dan kekurangan cikgu, namun sifat kamu yang lebih penyabar terhadap kelambatan cikgu mengajar itu amat dikagumi. Kepada 4 Neptun, teruskan perjuangan untuk tahun ini dan SPM. Kalau nak jadi nakal pun, jangan menyusahkan orang sudah!

4 Uranus

Awal praktikal, saya diberitahu yang kelas ini perlu ‘dipegang’ dengan betul. Saya terbayang akan kesukaran dan kepayahan mengajar Fizik kelas ini. Nyata sangkaan saya meleset sama sekali. Seluruh penghuni kelas ini memberikan kerjasama terbaik kepada PNP saya, walaupun ada seorang dua yang nakal, walaupun ada seorang dua yang kelam-kabut, walaupun ada seorang dua yang tidak ade modul pelajaran. Haha! Apa-apapun, jangan give up dalam belajar matapelajaran ini ya!

Kenangan Terindah

Tidak salah jika saya katakan bahawa praktikal latihan mengajar saya di Sek Men Agama Persekutuan Kajang adalah kenangan terindah di sebalik pahit getir yang terpaksa saya harungi untuk tahun ini. Saya bersyukur, kerana saya ditakdirkan untuk menjadi seorang guru dan lebih manis, menjalani praktikal di sekolah yang banyak memberi pengajaran kepada saya, baik positif mahupun negatif.

Now we’re back to the beginning
It’s just a feeling and no one knows yet
But just because they can’t feel it too
Doesn’t mean that you have to forget

Let your memories grow stronger and stronger
‘Til they’re before your eyes
You’ll come back
When they call you
No need to say goodbye