Debat : Perlu diperhebat

18 07 2008

Saya tertarik dengan entri yang ditulis di blog YDP MPMUM tentang respons beliau tentang debat yang berlangsung tempoh hari serta dikaitkan dengan mahasiswa. Tajuknya mudah, Debat!!! Bagaimana dengan mahasiswa??

Debat yang berlangsung tempoh hari benar-benar memberi kesan tidak kira lapisan masyarakat sekalipun. Di peringkat mahasiswa contohnya, ramai yang mula membuka mata dan telinga akan ketokohan pemimpin kita berpidato dan membuat pengucapan umum. Mungkin ada juga antara mahasiswa yang tidak pernah melihat pidato DSAI sebelum ini.

Seruan sdr Affandy cukup baik, budaya perdebatan ini harus diteruskan tidak mengira tempat asalkan kena pada masanya. Harus diingat, debat itu ada batasnya. Adalah tidak wajar sekiranya debat itu dijadikan kehidupan lantaran ia boleh membawa kemudaratan. Pertimbangan rasional adalah perlu agar debat yang dianjurkan tidak dibaluti elemen emosional yang boleh merosakkan debat itu sendiri.

Di sini juga, saya juga ingin memberikan sedikit teguran kepada semua pihak (khususnya pengurusan kolej kediaman) kerana seringkali menjadikan pertandingan Debat NC anjuran Kelab Orator UM sebagai aktiviti kelas kedua (SUKMUM dan FESENI selalu diangkat martabatnya), lantas menjadikan Debat NC semakin sepi, ibarat hidup segan mati tak mahu lantaran kegagalan memperoleh sokongan yang menyeluruh khususnya dari aspek kewangan.

Saya sendiri seolah-olah memperoleh nafas baru apabila ada calon MPM sebelum ini memberikan idea untuk penganjuran debat di peringkat intravarsiti. Namun, hampanya sehingga kini tiada sebarang khabar berita.

Mungkin juga mahasiswa kita tidak sedar akan wujudnya satu majlis antara universiti selain sukan (MASUM_ dan kebudayaan (MAKUM) iaitu Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) yang begitu aktif menganjurkan pelbagai kejohanan debat intervarsiti yang menyaksikan pertembungan idea bernas (yang mana pertandingan ini juga acapkali dipandang sepi oleh mahasiswa). Contoh mudah, kolej kediaman pertama UM setiap tahun menganjurkan Debat ASTAR yang menjadi medan pertarungan pasukan handalan, namun berapa ramai sahaja mahasiswa UM yang ingin menontonnya?

Di akhirnya, usaha untuk mewujudkan kembali speakers corner adalah usaha murni yang perlu disokong. Namun, adakah benar mahasiswa (khususnya mahasiswa UM) bersedia untuk mempunyai speakers corner tersebut? Pada hemat saya, adalah wajar kita bentuk budaya berfikir secara kritis dan analitikal di kalangan mahasiswa dahulu, sebelum kita dirikan semula sudut pidato itu.

Kerana saya teringat, e-village gagal kerana perfileman Malaysia belum bersedia. Saya bimbang speakers corner yang dicadangkan menerima nasib yang sama.