Semalam, 30 Julai 2008, berlabuhlah tirai Debat Alam Sekitar 2008.
Tidak banyak yang saya mahu tulis. Universiti Teknologi MARA memperoleh johan, memusnahkan harapan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) untuk memperoleh gelaran johan buat kali ke-4 berturut-turut.
Seperti biasa, banyak pengajaran yang saya peroleh untuk edisi kali ini. Apa-apapun, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kontinjen UM untuk kali ini; Zul Fadhli, Azri Zahier, Khairul Asyraf dan Mohd Hidayat. Sekalung penghargaan juga buat konsultan tercinta, Azizul Hakim atas segala tunjuk ajar dan nasihat berguna.
Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) 2008 banyak pro dan kontranya. Saya sendiri begitu kagum dengan kebangkitan pasukan-pasukan yang menampakkan taring mereka seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang bagi saya mempunyai potensi untuk menyerlah dalam arena debat inter-varsiti. Pasukan lain seperti UNITAR, MMU dsb juga semakin memperoleh rentak dalam DAS kali ini. Sebagaimana biasa, UTP merupakan antara IPTS paling cemerlang dalam DAS sejak 2006 lagi.
Dari aspek penganjuran, saya agak terkejut apabila ditempatkan di Hostel Kinabalu, bersebelahan stadium Likas. Bukan niat di hati saya untuk meminta tempat yang hebat, cukuplah sekadar memudahkan peserta untuk benar-benar menikmati bandar Kota Kinabalu yang saya rasa sangat jarang dikunjungi oleh pendebat-pendebat dari semenanjung.
Sebagai seorang pelajar sains, saya ingin menyatakan sesuatu perkara. Bukan niat saya untuk obses pada bidang yang saya ceburi. Ada sesetengah pasukan yang bersifat membohongi fakta dan kajian sains. Seharusnya, penghormatan terhadap sains perlu ada dan tanda menghormatinya ialah dengan tidak menipu tentang isu sains dalam dewan perdebatan. Selain fakta sains, banyak juga teknik pembohongan dan pemfitnahan yang berlaku sepanjang DAS ini yang saya kira tidak akan mencetuskan satu iklim perdebatan yang sihat.
Pertandingan debat bukannya sekadar datang bertanding, lawan, menang dan kalah, kemudian balik ke kampus masing-masing. Debat adalah lebih daripada itu. Apa yang saya ingin katakan ialah hubungan akrab antara semua universiti perlu wujud. Sentimen permusuhan perlu dikekang, semangat menghormati dan bertegur-sapa antara pendebat-pendebat. Bagi saya, keadaan ini sudah baik pada masa ini, namun terdapat beberapa keadaan tidak enak yang saya perhatikan. Contohnya, ada pendebat-pendebat yang lahir dari sekolah yang sama, namun kini berbeza IPT. Tetapi kedua-duanya tidak bertegur-sapa, malah lebih teruk lagi apabila seorang junior bersikap dingin (tidak keterlaluan jikalau saya kata kurang ajar) kepada seniornya. Apa-apapun, saya bersyukur kerana kenalan saya semasa di sekolah dulu bersikap baik dan menghormati. Alhamdulillah! Terima kasih Najmie (UMP), Erny (UMT), Syukri (MMU) dan Siddiq (UTP) atas rasa hormat dan penerimaan kalian.
Apa-apapun, secara peribadi, saya sangat suka berdebat dengan pasukan UMS. Bukan kerana pasukan saya menang jika melawan mereka, tidak! Tetapi setiap perlawanan dengan UMS, saya merasakan yang perlawanan debat sebenar berlangsung. Tidak perlu fitnah-memfitnah, tidak perlu melanggar santun perdebatan, dan tidak perlu membuat pendekatan menjengkelkan.
Di akhirnya, saya impikan keadaan yang lebih baik untuk Debat Kemerdekaan 2008 di UMT nanti, baik untuk UM mahupun keseluruhan komuniti debat yang terbabit. Moga berjumpa lagi!