Salam Idul Fitri

25 09 2008

Kepada semua, salam menyambut lebaran daripada saya. Bak kata Abg Hasril, marilah sama-sama kita meraikan keakraban di bulan Syawal ini. Seribu kemaafan saya pohon kepada semua kenalan saya; keluarga tercinta, keluarga Orator UM, pendebat IPT se-Malaysia, rakan sekolej, Ex-SHAHians, kawan-kawan seperjuangan Sains dgn Pendidikan, pembahas SMAPK, guru-guru SMAPK, 4 Neptun & 4 Iranus SMAPK, serta semua yang mengenali diri ini. Mohon keampunan andai tersilap kata, terkasar bahasa. Moga hidup sentiasa diberkati Tuhan.

Seperti kebanyakan yang lain, saya akan berehat sebentar daripada penulisan blog. Tidak mahu jadi seperti iklan Petronas…

p/s = Kepada sesiapa yang tiada di dalam gambar di atas, jangan terasa. Sukar untuk memuatkan semua kenalan dalam satu gambar. Jangan bimbang, kalian tetap dihatiku…





Majoriti terbesar : Beza 2004 dan 2008

24 09 2008

Ada dua individu yang saya akan bincangkan dalam hal ini. Dua MP yang telah memperoleh mandat daripada rakyat dalam PRU-11 dan PRU-12. Dua MP yang mencatatkan rekod dengan menjadi calon yang memenangi PRI dan memperoleh majoriti tersesar di Malaysia. Dua MP yang datangnya daripada dua pihak berbeza; satu daripada Barisan Nasional, satu daripada Pakatan Rakyat.

2004 menyaksikan Dato’ Shahrir Samad memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru dengan majoriti 46 792, ini merupakan majoriti tertinggi semasa pilihanraya umum ke-11. Pada pilihanraya umum ke-12 lalu pun, Teresa Kok Sum Sim dari Parlimen Seputeh pula memegang gelaran majoriti tertinggi, iaitu 36 492.

Kedua-duanya mempunyai beberapa isu. Untuk entri ini, saya petik satu isu yang melibatkan Dato’ Shahrir iaitu perletakan jawatan sebagai pengerusi BNBBC dan isu ‘Makanan Anjing’ Teresa Kok.

Pada tahun 2006, semasa Dato’ Shahrir memegang jawatan sebagai Pengerusi BN BBC (Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional), beliau telah mencetuskan kontroversi di dalam arena politik apabila permintaan untuk membahaskan usul yang dibawa oleh Lim Kit Siang tidak disokong oleh MP daripada Barisan Nasional. Cerita penuh, anda boleh baca di sini. Peristiwa ini menggambarkan betapa Dato’ Shahrir (selaku pemegang ‘anugerah’ majoriti tertinggi PRU) mempunyai prinsip yang dipegang hingga BN sendiri pun perlu dibetulkan jika tidak selari dengan prinsip perjuangan sejati. Itu belum masuk cerita Dato’ Shahrir bertanding dan mengalahkan calon BN pada awal 90-an.

Lain pula ceritanya dengan 2008. Ya! Saya akui, Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah akta kejam dan zalim. Semua orang tahu ISA ini. Namun, isu yang saya ingin timbulkan bukannya isu kekejaman ISA, tetapi peristiwa selepasnya yang menggambarkan peribadi Teresa Kok. Semasa dalam sidang akhbar selepas dibebaskan oleh ISA, beliau membuat kenyataan betapa makanan di dalam tahanan adalah ibarat makanan anjing. Tidak percaya, tonton sendiri video di bawah. (lihat pada 3:20)

[3:20] “… so I can tell the food is a worse aaa.. maybe similar to dog food (disambut dengan gelak ketawa)… I have been … there was one day they gave me two boiled eggs for lunch, two boiled eggs for dinner… and some kuah… and aaa… and some apa, cucumber… and thats my lunch and my dinner…”

Kemudiannya, selepas berlaku peristiwa ‘terlepas cakap’ ini, YB Teresa menyalahkan Utusan pula kerana memutarbelitkan kenyataannya. Erm… putarbelitkan ke? Kalau isu sekecil dan seobvious ini pun boleh dimain-mainkan oleh YB Teresa Kok, apatah lagi isu-isu besar yang melibatkan negara.

Kesimpulannya, pemegang majoriti terbesar dalam PRU akan mempunyai kontroversi sendiri. Baik BN, mahupun PR. Namun, berdasarkan entri ini, anda tentukan sendiri mana lebih baik. Pemegang majoriti terbesar BN semasa PRU-11, ataupun penyandang kerusi Seputeh itu.

Pendirian saya, saya tetap mahukan perubahan. Namun, saya tidak mahu berubah arah. Kerana pihak yang kini menjanjikan perubahan, berada dalam keadaan tidak tentu arah.

Terkini : Teresa Kok mengakui bahawa beliau membuat kenyataan bercanggah tentang isu ini. Bagus! Mengakui kesilapannya. Tahniah Teresa Kok. Moga berkhidmat lebih baik untuk Seputeh dan Kinrara!





Makanan lokap dikaji. Makanan sekolah?

21 09 2008

YB Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan di bawah ISA. Tahniah! Bagus! Ini suatu perkembangan politik yang baik.

Namun, yang menjengkelkan saya ialah apa yang berlaku selepas pembebasan beliau. Katanya, makanan yang disajikan ibarat makanan anjing. Saya tersenyum sendiri.

Anjing di dunia ini bukan ada satu jenis sahaja. Ada kurang lebih 800 jenis anjing di dunia ini, seperti Chihuahua, Bulldog, German Shepherd dan macam-macam lagi. Ada juga jenis anjing peliharaan, anjing untuk tujuan kepolisan/tentera, anjing kurap dan banyak lagi. Ada anjing yang diberi makanan formula, ada yang ala kadar sahaja. (maaflah, saya tidak tahu diet anjing, kerana tidak pernah membelanya)

Maka, anjing jenis mana yang dimaksudkan beliau? Pemerhatian saya, beliau terus samakan semua anjing-anjing yang mungkin mewah makanannya dengan anjing kurap jalanan yang makanannya dua biji telur, timun dan kuah. Terus semua anjing yang comel dan gagah menjadi hina seperti anjing kurap lantaran kenyataan media yang dibuat oleh YB Teresa Kok.

Kesimpulan saya: wajar beliau diberi makanan seperti itu, tidur di bilik 6 meter × 8 meter (yang sebenarnya lebih luas daripada kebanyakan bilik rumah kos rendah), beralaskan papan semata-mata. Kerana apa? Kalau anjing yang mulia disamakan dengan anjing yang hina, biar kita samakan sahaja tahanan politik yang berpangkat exco seperti beliau dengan tahanan perogol bersiri yang dikehendaki negara. Pernah anda dengar perogol bersiri tidur berbantal dua?

Namun, bukan itu teras entri saya kali ini.

Setelah YB Teresa Kok membuat aduan tentang makanannya, tidak berlengah lagi Biro Pengaduan Awam (BPA) membuat siasatan. Katanya, YB Teresa sepatutnya mendapat layanan yang baik daripada pihak polis.

Nah! Kalau BPA sibuk berbicara mengenai makanan/layanan yang sepatutnya, biar saya ceritakan tentang makanan yang sepatutnya ada di sekolah.

Saya mulakan dahulu dengan kantin sekolah. Persoalan ini pernah saya timbulkan setahun lepas. Saya telah ceritakan bagaimana makanan-makanan di kantin sekolah hanyalah sekadar mengisi perut yang kosong semata-mata. Menu harian? Nasi goreng kaya MSG, mihun keras yang hanya dihiaskan dengan taugeh ataupun mee kari yang kaya minyak dan santan. Minuman? Air berkarbonat kaya dengan pemanis, ataupun kordial cap singa berganda ditambah air gula.

Kita lihat penjaja-penjaja di sekitar sekolah, baik di dalam mahupun luar kawasan sekolah. Barangan niaganya tidak lain; keropok Super Ring, jambu batu yang terdedah, air kordial pelbagai warna, asam boi dsb.

Dewan makan sekolah berasrama pula? Saya tidak mahu ingat kenangan lama. Roti keras, biskut marie atau krim perisa limau, air suam berkeladak, ikan jacket, ayam kurang segar dan banyak lagi.

Mengapa ini tidak mahu ditimbulkan? Ya! Banyak usaha dilakukan oleh pihak kerajaan, saya tahu, terutamanya dewan makan sekolah, semakin berkualiti hidangannya. Namun, bagaimana pula dengan kantin? Penjaja? Adakah sesiapa pernah membuat usaha proaktif tentang itu?

Berbincang dengan makanan sepatutnya, saya cuba mencari garis panduan kantin sekolah oleh Kem Pelajaran Malaysia. Sayangnya, tidak berjumpa. Apa yang saya peroleh, garis panduan di Australia. Tidak mengapalah, kalau YB Teresa boleh samakan semua anjing, saya ibaratkan keperluan semua manusia (dan kanak-kanak) adalah sama.

Merujuk kepada Australian Dietary Guidelines for Children & Adolescent,

  1. Makanan di sekolah perlu kaya nutrien dan zat. Contohnya bijirin, sayuran, pasta, serat, buah-buahan serta banyak lagi. Adakah ini dipenuhi di kantin sekolah kita?
  2. Makanan deep-fried seperti kentang goreng, hot dog, sosej, kek, biskut, confectionery, air berkarbonat perlu dihindari. Adakah ini berlaku di kantin kita?
  3. Kebersihan perlu diutama; makanan perlu ditutup, pekerja dilarang merokok, tempat penyediaan makanan perlu bersih dan merupakan kawasan larangan binatang (sedangkan kucing suka berada di sini). Adakah ini dipenuhi?
  4. Makanan sejuk di bawah 5°C, makanan panas di atas 60°C, ini untuk mengelakkan suhu 5°C – 60°C yang merupakan zon pembiakan bakteria. Adakah ini dijaga?

Mungkin, kalau YB Teresa Kok ditahan di SHAH Pekan, SMAP Kajang atau mana-mana sekolah yang ada di Malaysia selama seminggu, perkara ini akan terus menjadi perhatian semua.

p/s : Dalam rancangan Bersamamu, ada rakyat kita makan siput babi panggang. Kalau telur dan timun itu makanan anjing, siput babi pula makanan apa?





Ayam melintas jalan…

19 09 2008

Ada satu blog yang bersawang menarik telah memberikan saya cetusan idea baru.

Why did the chicken cross the road? Soalan ini saya kira semua orang faham, dan mungkin ramai juga pernah dengar. Untuk pengetahuan semua, ini merupakan antara satu koleksi lawak yang popular dalam bahasa inggeris.

Apa yang lawaknya dengan soalan ini? Kerana jawapan-jawapan yang diberikan pastinya tricky, kompleks dan bijak sedangkan jawapan mudah yang paling tepat ialah to get to the other side.

Lawak ini terus berkembang, dengan pengubahsuaian-pengubahsuaian yang sesuai dengan keadaan semasa. Contohnya, jawapan di bawah ini saya petik dari blog Tuan Walid.

Aristotle:
It is the nature of chickens to cross roads.

Bill Gates:
I have just released the new Chicken Office 2000, which will not only cross roads, but will lay eggs, file your important documents, and balance your checkbook.

Karam Singh Walia:
Seperti yang saudara dapat lihat, kelihatan ayam-ayam itu sedang melintas jalan. Mereka bukan sahaja melintas jalan, malah membuang najis di atas jalan dan ini adalah pencemaran yang paling hebat di maya ini. Bapa-bapa dan ibu-ibu ayam haruslah mengambil inisiatif untuk melatih ayam-ayam agar menahan najis sewaktu melintas jalan, sekian saya sudahi dengan………Ayam di jalan di lintaskan; Ayam di reban mati tak makan.

Sammy Vellu:
Ayyooyoo… belakang cerita lain kali, kita sude bikin banyak jembatan, itu ayam musti guna jembatan untuk lintas itu jalan lagi pun kalu itu ayam mau pigi jalan-jalan, beritau sama saya juga, saya bolley buat lebbey banyak toll……..

Wan Kamarudin (edisi siasat):
Ape kejadahnyer ini semua, KL dah jadik reban ayam, mak bapak ayam asyik menganga saje…

Saya ingin berkongsi jawapan-jawapan yang mungkin diberikan oleh ahli-ahli fizik atau saintis terkemuka.

Albert Einstein:
The chicken did not cross the road. The road passed beneath the chicken.

Isaac Newton:
Chickens at rest tend to stay at rest. Chickens in motion tend to cross roads.

Wolfgang Pauli:
There was already a chicken on this side of the road.

Blaise Pascal:
The chicken felt pressure in this side of the road. However, when it arrived on the other side it felt the same pressure.

Werner Heisenberg:
Because I made darn sure it was standing right next to me on this side.

Charles Coulomb:
The chicken found a similar chicken on this side of the road to be repellent.

Max Planck:
It appears to be a white chicken. Sorry, I deal only with black bodies.

Amadeo Avogadro:
What, just one? I deal only with very large chicken numbers.

Willebrod Snell:
I’m not sure, but I did notice that when it stepped onto the road, it changed its direction.

Idea nakal saya, jawapan ini mungkin diberikan oleh Farhan Nor Diyana… (maaf ya Kajol, jangan marah!)

Farhan Nor Diyana:
Memang la ayam-ayam melintas jalan. Takkan la ayam itu hendak kekal di suatu tempat sahaja. Teori ayam ini, siapa yang ajar?

Atau jika Affandy Sutrisno Tanjung menjawabnya

Affandy Sutrisno:
Kita semua harus mendokong aspirasi ayam-ayam ini, jangan sampai dipengaruhi oleh anasir-anasir luar. Chicken is one!

Kalau anda dapat risalah daripada pro-mahasiswa?

Pro-Mahasiswa 1:
Chicken Power! We unite for the chickens, we love chickens.

Pro-Mahasiswa 2:
Kami selaku mahasiswa yang peka akan adakan satu perhimpunan aman bagi memastikan ayam-ayam ini dapat melintas dengan selamat tidak kira di jalan mana sekalipun. Untuk itu, kami akan tubuhkan Gerakan Ayam Melintas Malaysia (GAMM) dan akan menghantar memorandum kepada menteri berkenaan, agar suara mahasiswa ini didengari…

Anda ada idea lain? Tinggalkan di ruang komen ya! Btw, minta maaf kepada yang berkenaan. Bukan niat untuk mempersenda, sekadar bergurau-mesra di bulan mulia. Andai kata ada yang terasa, jangan malu beritahu saya…





Anwar : belum gagal, belum berjaya

18 09 2008

Hari ini 18 September.

Setelah lawak jenaka Anwar berlaku, ada juga peristiwa yang berlaku semalam.

PM dan TPM bertukar portfolio kementerian yang masing-masing pegang; Kem. Kewangan dan Kem. Pertahanan. Motifnya, untuk persediaan peralihan kuasa katanya. Banyak juga spekulasi yang dicetuskan oleh semua, tetapi saya tidak mahu cetuskan spekulasi di blog yang suci ini.

Akhbar hari ini, banyak berbicara tentang 16 September tempoh hari. Saya tertarik dengan satu artikel di Utusan Malaysia, tentang pendapat ahli akademik berkenaan isu itu. Untuk memudahkan semua, saya ringkaskan sahaja point-point penting yang ada.

  1. Penubuhan kerajaan sudahpun selesai pada 8 Mac lepas, kini hanyalah proses mentadbirnya sahaja. Mengapa perlu Anwar membuat kacau kepada pentadbiran negara?
  2. Anwar sudahpun dilantik menjadi ketua pembangkang. Mengapa tidak dibuktikan keberkesanan pakatan pembangkang yang dipimpinnya. Hina sangatkah kedudukan ketua pembangkang dalam sistem demokrasi Malaysia?
  3. Sekalipun Anwar berjaya membentuk kerajaan, kerajaan yang dibentuk adalah rapuh dan lemah, yang hanya akan menyusahkan rakyat. Cuba anda bayangkan kabinet pimpinannya, bagaimana hendak diisi ya?!
  4. Kegagalan Anwar mengambilalih kerajaan pada 16 September hanya akan menjadi bahan ketawa, bukan sahaja oleh rakyat Malaysia, malah media seluruh dunia.

Namun, sekali lagi saya ingatkan, Anwar mengambilalih kerajaan ini tidak mustahil akan berlaku.

Anda setuju dengan saya atau tidak, terpulanglah…





Apa dah jadi. Apa tak jadi?

17 09 2008

Mengambilalih kerajaan sesebuah negara bukanlah suatu perkara kecil. Sudah tentu tidak kecil. Proses yang perlu dilalui cukup sukar. Tatkala pemimpin-pemimpin terdahulu berjuang bermati-matian, yang akhirnya memperlihatkan mandat memimpin kerajaan diperoleh daripada penjajah.

Tatkala Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen akan mengambilalih pentadbiran negara di bawah Pakatan Rakyat, ia bukan suatu propaganda kecil. Ia bukan seperti orang kampung memukul canang bahawa anaknya memasuki universiti. Ia bukan seperti pengumuman kecil ketua kampung dengan kebajikan anak buahnya.

Betapa besarnya janji dan kata-kata yang ditabur oleh bekas Timb Perdana Menteri Malaysia ini. Mengambilalih pentadbiran dengan membeli memujuk barisan MP dari BN untuk menyertai Pakatan Rakyat, itu satu kes liwat kejam ke atas sistem demokrasi Malaysia.

Jika benar Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berpengaruh, mengapa tidak ditunggu sahaja PRU-13 untuk mengambilalih kerajaan. Jika benar propaganda ala Jepun yang mengatakan rakyat sudah menolak BN, mengapa perlu dirampas diambilalih kerajaan dengan cara begitu, bukannya melalui pilihanraya. Jika benar beliau inginkan perubahan, mengapa tidak ingin menjadi ketua pembangkang pertama yang berjaya merubah kerajaan dalam dewan rakyat.

Maka seantero Malaya menunggu tarikh keramat 16 September 2008. Penantian satu penyeksaan sebenarnya.

Namun, tamat sudah tarikh itu malam tadi.

Apa yang berlaku? Nyata janji yang saya kira bukan suatu perkara kecil telah dilanggar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. BN kekal menjadi kerajaan (sekurang-kurangnya untuk sehari lagi). Datuk Seri Anwar kekal dengan titlenya sebagai ketua pembangkang di dewan rakyat. Kesimpulan, Datuk Seri Anwar tidak mengotakan kata-katanya.

Ya! Mungkin penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar boleh berkata, bukankah semalam Datuk Seri Anwar sudah mengumumkan pelan mengambilalih kerajaan? Saya sudah baca kenyataan penuh beliau, termasuk4 tuntutannya kepada PM Malaysia. Persoalannya, ini satu lagi cubaan menutup kelemahan. Datuk Seri Anwar umumkan dahulu, bahawa 16 September merupakan tarikh mengambilalih kerajaan, bukannya tarikh memulakan pelan mengambilalih kerajaan. Setuju?

Namun, memang semua orang tahu 16 September 2008, Pakatan Rakyat tidak mengambilalih kerajaan. Tetapi, BN harus sedar yang mereka tidak boleh duduk selesa, lantaran tanda-tanda peralihan kuasa itu seperti akan berlaku.

Saya tertarik untuk menamatkan entri ini, dengan memetik senikata lagu ‘Bila Tuhan Tak Ditakuti’ oleh kumpulan Mawaddah.

Ada juga yang sibuk bercakap dengan emosinya sekali
Mengelilingi seluruh negeri
Kadang-kadang berbohong sesuka hati
Berkata tidak mengota
Mengecam orang tak usah dikira
Sudah jadi makan minumnya





Anwar pencetus huru-hara

15 09 2008

Sekalung tahniah dan penghargaan buat Anwar Ibrahim. Beliau memang layak mendapat anugerah antara tokoh berpengaruh oleh majalah TIMES.

Namun, pengaruh yang saya kira tidak digunakan dengan betul.

Segala-galanya bermula sejak pilihanraya yang lalu. Sebagai pemimpin de facto PKR katanya, beliau sudah mencanangkan tentang janji Pakatan Rakyat sehingga akhirnya menafikan majoriti 2/3 BN dan menjadikan PKR sebagai pembangkang paling banyak memenangi kerusi.

Setelah beliau bebas berpolitik sekitar April lalu, beliau tidak menoleh ke belakang. Dengan mengumumkan bahawa beliau akan membentuk kerajaan pada 16 Sept, beliau sudahpun mencabar demokrasi di negara kita. Seluruh rakyat memberi kepercayaan untuk MP mewakili suara mereka di dewan rakyat, namun MP-MP ini dibeli dengan bangganya oleh Anwar. Kata-kata keramat “kita sudah ada bilangannya” menggambarkan betapa angkuhnya DSAI ini.

Kemahiran oratorinya digunakan sehingga ke tahap maksimum. Benar, aspek pidatonya begitu memukau. Lawannya bukan Shabery Chik. Tetap juga dibuat debat tentang harga minyak, yang hampir seluruhnya melihat akan kemenangan Anwar, sedangkan bibit-bibit keangkuhan mula bercambah.

Pilihanraya Permatang Pauh berlangsung. Ya! Kaedahnya halal. Saya tidak nafikan. Tetapi, wajarkah Datin Seri Wan Azizah meletakkan jawatan semata-mata memberi laluan kepada Anwar memperoleh kerusi di dalam dewan rakyat. Undi rakyat pada PRU-12 digugurkan, dibuat pula pilihanraya kecil yang tidak merupakan keperluan negara pun.

Kini, sampai ke Taiwan mengejar mimpi yang tak sudah. Ya! Selagi belum berlaku apa-apa, saya tidak boleh membuat justifikasi yang Anwar sudah gagal. Tetapi, cukuplah usahanya yang cukup desperate dan struggle dalam menunaikan kata-katanya menggambarkan keterdesakannya.

Berbalik kepada tajuk entri ini, memang benar Anwar pencetusnya. Pergolakan 98, Anwar punca huru-hara UMNO. Kini, pergolakan dalam UMNO, Anwarlah tukang pasang bom jangka itu. Menjelang 16 September (atau apa-apa sahaja tarikh yang beliau rasa bersejarah, seolah-olah tiap hari ada sejarahnya), banyak juga desas-desus mengatakan kejadian seperti Reformasi 98 akan berulang. Tolonglah, orang semua hendak berpuasa dan beraya, jangan menyusahkan rakyat!

Teringat semasa Sukan Komanwel 1998. Seluruh dunia berkumpul di Bukit Jalil, Anwar sibuk berucap dan melaungkan reformasi di Masjid Negara.

p/s : Entri ini ditulis kerana saya rasa tidak selamat untuk berjalan-jalan di KL seminggu ini…





Pemegang rekod ‘termuda’

15 09 2008

Tempoh hari, semasa saya di majlis berbuka, ayah saya membuat panggilan telefon.

Pole postion milik Vettel, team Toro Rosso”

Respons saya, biar betul! Untuk rekod, pasukan Toro  Rosso merupakan pecahan daripada pasukan Minardi, yang pernah disertai oleh Alex Yoong serta terkenal dengan pencapaian corotnya.

Sebastian Vettel merubah dan mencatat sejarah. Tahun lalu, ketika Robert Kubica (BMW Sauber) berehat setelah mengalami kemalangan di Grand Prix Kanada, Vettel membuat penampilan sulung pada umur 19 tahun 349 hari, sekaligus mencatatkan sejarah menjadi pemandu termuda mencatatkan mata setelah menamatkan perlumbaan di tempat ke-8.

Sejarah yang dilakar tidak terhenti setakat itu sahaja.

Semalam, setelah mencatat sejarah dengan menjadi pemandu termuda memperoleh petak pertama pada umur 21 tahun 73 hari, beliau tidak menoleh belakang dengan mencatatkan satu lagi rekod sebagai pemandu termuda memperoleh kemenangan tempat pertama.

Saya juga begitu gembira dengan pencapaian Robert Kubica. Bermula dari petak ke-11, beliau masih menampakkan keunggulan apabila menamatkan perlumbaan di podium (tempat ke-3).

Moga BMW Sauber terus cemerlang!

p/s : Terkilan tidak dapat sertai PERAMAH…





Bujang Pekan berbuka puasa

14 09 2008

Semalam, antara hari-hari menarik saya untuk bulan ramadhan kali ini.

Setelah lebih sebulan penganjur bermesyuarat dan membuat perancangan, akhirnya majlis berbuka puasa Bujang Pekan, warga SHAH 9802 akhirnya terlaksana sudah. Secara jujurnya, saya amat berbangga dengan adanya reunion seperti ini, yang rasanya jauh lebih berjaya daripada penganjuran reunion oleh SHAH Old Student Association (SOSA).

Mengapa saya kata begitu, kerana sasaran utama perhimpunan ini berjaya, menemukan yang terpisah, merapatkan ukhwah. Walaupun pada hemat saya, makanan Restoran Nelayan tidaklah seberapa, namun suasana beramai-ramai itu yang tidak ternilai harganya.

Bermula sejak petang lagi, berkumpul beramai-ramai di perkarangan restoran. Terima kasih Ahmad Shauqi kerana mengizinkan saya menumpang teduh dalam Honca Civicnya (jangan tuding jari kat aku je ek! haha!). Asalnya, petang itu ingin adakan sesi bergambar, tetapi sudah lama tidak bersua, haruslah berborak sepanjang masa sebelum berbuka.

Selesai berbuka, selesai solat maghrib, hendak menonton Man U – Liverpool katanya. Sekali lagi, agenda beramah mesra membuatkan kami semua leka. Ramai juga yang sudah berkerjaya, tidak kurang juga yang masih mengisi ilmu di dada, seperti saya. Yang mengharukan, ada yang sanggup datang dari jauh; sejauh Perlis demi majlis yang tidak seberapa ini.

Nanti saya upload gambar lagi. Sebenarnya, saya sedang menunggu gambar-gambar dari sahabat yang lain, kamera saya kurang berkualiti.

Apa-apapun, terima kasih untuk semua: Adi Budiman, Ahmad Zamani, Amir, Azfar Arif, Azahar Ahmad, Azman Suah, Azmi Md Noor, Fadli Ahmad, Farisul (thanks a lot!), Hafiz Latib, Hidayat Idris, Khirol Izam, Nafis Mohaizi, Faiz Maarof, Shahir CJ, Ahmad Shauqi (syukran jazilan!), Syazwan Rerah, Iqbal Fauzi, Hafiz Omar, Zainul Asyraf, Fariz Tajuddin, Indera Fikri, Naazli Masri, Syed Naim, Azly Norzan, Aina Aziz, Azhani Manan, Baizura Razali, Intan Azleena, Fatimah Joharry, Rabiatul Raihan, Raja Nur Alya, Suzzana Amir Mohd, Syikin Wahid, Afniza, Zafirah Salim

p/s : nama-nama di atas saya petik dati bujangpekan.blogspot.com. Maaf la kalau ada yang tidak ada dalam senarai…





RX-8 Merah

12 09 2008

Peristiwa ini sudah agak lama berlalu, bulan Julai lepas rasanya, tetapi apabila saya membaca akhbar hari ini, saya tersenyum sendiri.

Sedang saya memandu di sebuah kawasan di UM, saya ternampak sebuah kereta Mazda RX-8 selang sebuah kereta di hadapan saya. Mazda RX-8 merah tersebut ingin dipandu masuk ke petak parking di tempat tersebut. Maka, seperti biasa, orang belakang (termasuk saya) terpaksa bersabar untuk beri ruang kepada pemandu tersebut membetulkan kedudukan keretanya dalam petak yang disediakan.

Nak dijadikan cerita, pemandu tersebut mengambil masa yang sangat lama! Go ahead, go astern, go ahead, go astern…. dalam 30 saat tak siap-siap. Saya yang sedang memandu Honda Accord milik Zulfadhli masih bersabar.

Akhirnya, kesabaran saya agak memuncak. Ingin sahaja menekan hon kereta. Tidak sempat saya tekan hon kereta yang saya pandu, saya sudahpun mendengar hon lain. “takpe la, tak payah hon, org lain dah honkan“. Saya lihat, kenderaan yang membunyikan hon tersebut adalah jenama Honda. Tetapi, bukan Honda Civic, Honda Accord, mahupun Honda Jazz, tetapi hanya Honda EX-5…

Mazda RX-8 dihon Honda EX-5. Gempak bukan?

Setelah selesai, saya terus berlalu. Sempat juga menjeling ke arah RX-8 tersebut, dalam hati “cantik juga no platnya!”. Dan sejak itu, ada la beberapa kali saya terjumpa Mazda RX-8 tersebut di tempat parking tersebut.

Menariknya, akhbar hari ini melaporkan, kereta itu milik seorang artis, yang juga merupakan mahasiswa UM, Fazren namanya. Saya tersenyum sendiri. Maaf ya kepada artis berkenaan! Saya takkan lupa Honda EX-5 dan Mazda RX-8 tersebut.