YB Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan di bawah ISA. Tahniah! Bagus! Ini suatu perkembangan politik yang baik.
Namun, yang menjengkelkan saya ialah apa yang berlaku selepas pembebasan beliau. Katanya, makanan yang disajikan ibarat makanan anjing. Saya tersenyum sendiri.
Anjing di dunia ini bukan ada satu jenis sahaja. Ada kurang lebih 800 jenis anjing di dunia ini, seperti Chihuahua, Bulldog, German Shepherd dan macam-macam lagi. Ada juga jenis anjing peliharaan, anjing untuk tujuan kepolisan/tentera, anjing kurap dan banyak lagi. Ada anjing yang diberi makanan formula, ada yang ala kadar sahaja. (maaflah, saya tidak tahu diet anjing, kerana tidak pernah membelanya)
Maka, anjing jenis mana yang dimaksudkan beliau? Pemerhatian saya, beliau terus samakan semua anjing-anjing yang mungkin mewah makanannya dengan anjing kurap jalanan yang makanannya dua biji telur, timun dan kuah. Terus semua anjing yang comel dan gagah menjadi hina seperti anjing kurap lantaran kenyataan media yang dibuat oleh YB Teresa Kok.
Kesimpulan saya: wajar beliau diberi makanan seperti itu, tidur di bilik 6 meter × 8 meter (yang sebenarnya lebih luas daripada kebanyakan bilik rumah kos rendah), beralaskan papan semata-mata. Kerana apa? Kalau anjing yang mulia disamakan dengan anjing yang hina, biar kita samakan sahaja tahanan politik yang berpangkat exco seperti beliau dengan tahanan perogol bersiri yang dikehendaki negara. Pernah anda dengar perogol bersiri tidur berbantal dua?
Namun, bukan itu teras entri saya kali ini.
Setelah YB Teresa Kok membuat aduan tentang makanannya, tidak berlengah lagi Biro Pengaduan Awam (BPA) membuat siasatan. Katanya, YB Teresa sepatutnya mendapat layanan yang baik daripada pihak polis.
Nah! Kalau BPA sibuk berbicara mengenai makanan/layanan yang sepatutnya, biar saya ceritakan tentang makanan yang sepatutnya ada di sekolah.
Saya mulakan dahulu dengan kantin sekolah. Persoalan ini pernah saya timbulkan setahun lepas. Saya telah ceritakan bagaimana makanan-makanan di kantin sekolah hanyalah sekadar mengisi perut yang kosong semata-mata. Menu harian? Nasi goreng kaya MSG, mihun keras yang hanya dihiaskan dengan taugeh ataupun mee kari yang kaya minyak dan santan. Minuman? Air berkarbonat kaya dengan pemanis, ataupun kordial cap singa berganda ditambah air gula.
Kita lihat penjaja-penjaja di sekitar sekolah, baik di dalam mahupun luar kawasan sekolah. Barangan niaganya tidak lain; keropok Super Ring, jambu batu yang terdedah, air kordial pelbagai warna, asam boi dsb.
Dewan makan sekolah berasrama pula? Saya tidak mahu ingat kenangan lama. Roti keras, biskut marie atau krim perisa limau, air suam berkeladak, ikan jacket, ayam kurang segar dan banyak lagi.
Mengapa ini tidak mahu ditimbulkan? Ya! Banyak usaha dilakukan oleh pihak kerajaan, saya tahu, terutamanya dewan makan sekolah, semakin berkualiti hidangannya. Namun, bagaimana pula dengan kantin? Penjaja? Adakah sesiapa pernah membuat usaha proaktif tentang itu?
Berbincang dengan makanan sepatutnya, saya cuba mencari garis panduan kantin sekolah oleh Kem Pelajaran Malaysia. Sayangnya, tidak berjumpa. Apa yang saya peroleh, garis panduan di Australia. Tidak mengapalah, kalau YB Teresa boleh samakan semua anjing, saya ibaratkan keperluan semua manusia (dan kanak-kanak) adalah sama.
Merujuk kepada Australian Dietary Guidelines for Children & Adolescent,
- Makanan di sekolah perlu kaya nutrien dan zat. Contohnya bijirin, sayuran, pasta, serat, buah-buahan serta banyak lagi. Adakah ini dipenuhi di kantin sekolah kita?
- Makanan deep-fried seperti kentang goreng, hot dog, sosej, kek, biskut, confectionery, air berkarbonat perlu dihindari. Adakah ini berlaku di kantin kita?
- Kebersihan perlu diutama; makanan perlu ditutup, pekerja dilarang merokok, tempat penyediaan makanan perlu bersih dan merupakan kawasan larangan binatang (sedangkan kucing suka berada di sini). Adakah ini dipenuhi?
- Makanan sejuk di bawah 5°C, makanan panas di atas 60°C, ini untuk mengelakkan suhu 5°C – 60°C yang merupakan zon pembiakan bakteria. Adakah ini dijaga?
Mungkin, kalau YB Teresa Kok ditahan di SHAH Pekan, SMAP Kajang atau mana-mana sekolah yang ada di Malaysia selama seminggu, perkara ini akan terus menjadi perhatian semua.
p/s : Dalam rancangan Bersamamu, ada rakyat kita makan siput babi panggang. Kalau telur dan timun itu makanan anjing, siput babi pula makanan apa?