Gerudi otak!

22 10 2008

Diri ini masih kurang stabil, maka entri ini hanya dikhususkan untuk satu soalan teka-teki.

Ada seekor beruang. Beruang ini berjalan satu kilometer ke arah selatan, kemudian satu kilometer ke arah barat, diikuti satu kilometer ke arah utara. Akhirnya, beruang ini kembali ke titik asal tempat ia mula berjalan.

Soalannya : Apakah warna beruang itu?





Diriku Pasca Debat Kepenggunaan 2008

22 10 2008

Entri ini mengambil masa yang sangat lama untuk ditaip.

Mengapa? Kerana sepanjang entri ini ditulis, diri ini berada dalam keadaan yang tidak stabil. Maka, walaupun idea untuk ditulis itu sungguh banyak, empangan minda ini tetap menghalangnya daripada mengalir keluar.

Debat Kepenggunaan telah diadakan di MMU Melaka pada 17-20 November lepas. Debat ini penuh kekangan, lantaran minggu-minggu akhir ini menuntut penumpuan terhadap 1001 perkara.

Setelah tamat majlis penutup tempoh hari, perasaan saya bercampur baur. Natijahnya, saya dilanda keadaan kemurungan. Tidak seronok untuk murung dan sedih sebenarnya.

Sekali lagi kem UM dilanda kesedihan. Kali ini, buat kali ke-3 berturut-turut, pasukan UM terkandas di pusingan separuh akhir. Pertama dengan UiTM di Debat Alam Sekitar, kemudian UTP di Debat Kemerdekaan, kali ini UIAM melenyapkan impian kami. Yang menariknya, pasukan yang mengalahkan kami, pasti menggondol gelaran juara kejohanan.

Diri ini sudah tidak larat sebenarnya menanggung kekalahan. Penat! So close but so far! Tetapi, jika difikirkan kembali, saya perlu bersyukur atas banyak perkara. Paling penting, percapaian UM begitu konsisten di separuh akhir. Saya juga perlu bersyukur kerana pernah dianugerahkan peluang yang begitu banyak di pentas final. Ada pasukan yang baru sekali merasa pentas itu, ada yang tidak pernah langsung, malah ada yang tidak berkesempatan menjengah pusingan suku akhir.

Edisi kali ini juga membenarkan aku menikmati detik-detik terakhirku sebagai seorang pendebat. Inilah peluangnya untuk mengecapi kemanisan berinteraksi dengan seluruh komuniti debat; pegawai MADUM, hakim, pendebat universiti lain. Setelah sekian lama berada dalam arena ini, aneka ragam pendebat yang sudah saya jumpa. Ada yang positif, tidak kurang yang negatif. Ragam inilah yang memberikan tafsiran kepada saya, yang mana kawan, yang mana sahabat.

Penghargaan tidak terhingga atas pengorbanan tanpa hadnya oleh Maisarah sepanjang Debat FOMCA kali ini. Saya ajak die berkongsi dunia debat ini, dan moga ia memberikan pengalaman berharga buatnya. Yang pasti, kek coklat ‘GOOD LUCK’ yang dikongsi bersama dengan ‘kontinjen itu’ telah memberikan tuah. Terima kasih, kerana tatkala diri ini terlalu terluka, awak ada sebagai pengubatnya. Entah apa yang saya nak buat kalau awak tak bawa saya jalan-jalan malam tu. Syukran jazilan.

Tidak puas sebenarnya, 4 hari di Melaka. Biasanya, hari Isnin, baru tamat pusingan separuh akhir. Namun, kali ini, tengah hari Isnin adalah waktu perpisahan semua pendebat. Laju benar masa berlalu. Berminggu-minggu detik ini dinantikan, setiap saat dinikmati, kesudahannya kesedihan yang diperoleh.

Saat paling manis bagai terpadam, apabila melihat senyum di muka insan-insan tersayang luput, dek perjuangan yang tamat begitu rupa. Sudah saya katakan, saya sudah penat dengan kekalahan. Saya sudah penat melihat muka kecewa Azizul Hakim dan Zul Fadhli. Saya sudah penat melihat wajah sedih Azri Zahier, yang bersama-sama saya menempuh ketiga-tiga kekalahan ini. Penat!

Namun, benar kata Maisarah. Tatkala saya di tahap sebegini hina, saya perlu bersyukur kerana masih ada insan yang menjulang saya tatkala saya dalam kesedihan. Terima kasih kepada sahabat setia dalam dunia debat, sokongan kalian amat diperlukan dan dihargai. Benar juga kata-kata ini:

WINNING DOESN’T ALWAYS MEAN BEING FiRST, WINNING MEANS YOU’VE DONE BETTER THAN YOU’VE DONE BEFORE

Rangkuman edisi Debat FOMCA kali ini, saya seperti tidak mahu meninggalkan MMU, saya tidak mahu tinggalkan bumi Melaka, saya tidak mahu meninggalkan semuanya sebagai satu memori. Namun, itu ibarat mengejar fatamorgana; semakin dikejar, semakin ia tiada. Cukuplah Tuhan kurniakan ia sementara, agar ia menjadi detik-detik manis yang dihargai…