Debat Diraja 2008 : Teknikal dan Tajuk

4 12 2008

royal2008

Penganjuran Debat Diraja kali ini memberi satu ruang untuk pembaharuan.

Antara lain, penyertaan yang terlalu banyak, iaitu menjangkau 64 pasukan bagi debat BM menuntut penganjur (khususnya MADUM) untuk melakukan perubahan terhadap teknikal perdebatan.

Penganjuran di UiTM pada 2007 memulakan format baru iaitu setiap universiti boleh menghantar 4 pasukan; 2 utama dan 2 muda (junior). Peluang sebegini memang memberikan peluang untuk penyertaan yang banyak, tetapi beberapa isu akan timbul.

Memang sudah tradisinya, pasukan utama dan muda akan berentap dalam pusingan awal, tanpa mengira pasukan. Kaedah begini memberikan cabaran buat kedua-dua kategori. Pasukan muda akan menghadapi lawan yang berpengalaman, manakala pasukan utama akan dipaksa memerah tenaga menghadapi pasukan muda yang kadangkali mencetuskan perdebatan yang sukar untuk di’layan’. Atau dengan kata lainnya, pendebat muda seringkali tampil dengan idea tidak terduga dan keraguan yang sukar dijawab.

Sebolehnya, untuk penganjuran akan datang, MADUM boleh mengambil langkah untuk menambah jumlah perlawanan peringkat awal, bukan sekadar 6 perlawanan sahaja. Ini perlu bagi memastikan kesahan atau validity ranking pasukan untuk penentuan ke pusingan kalah mati. Kaedah memisahkan kedua-dua kategori utama dan muda, tanpa menambah jumlah perlawanan juga boleh dibuat, namun ini akan mengurangkan keseronokan dan cabaran untuk perdebatan.

Selain itu, kaedah pemilihan usul juga perlu diperhalusi. Tindakan mencampurkan semua usul menyebabkan perdebatan menjadi bertambah bosan. Jika diberikan pilihan, pendebat sudah tentu akan mencari tajuk yang senang didebatkan dan pasukan pembangkang sudah tentu akan membuang tajuk humor/mantik.Ada di kalangan hakim yang bersuara, “pilihlah tajuk yang berlainan dan memberikan unsur kelainan”. Masalahnya, kami juga perlu berfikir strategi berdebat untuk memilih tajuk. Pasukan saya sendiri, daripada 6 perlawanan pusingan awal, 5 daripadanya berdebat atas isu perpaduan rakyat. Agak bosan recycle fakta sebenarnya. Maka saranan saya agar tajuk dipisahkan kategorinya, sebagaimana Interschool Debate anjuran UIAM.

Selain menjadikan perdebatan menjadi bosan, tindakan mencadangkan usul yang terlalu banyak dalam isu yang berat-berat juga memberikan kelebihan kepada kuasa besar debat IPT seperti UIAM untuk mendominasi perlawanan. Ini akan merugikan dan solah-olah meminggirkan pasukan-pasukan lain untuk menyerlah. Pengalaman saya berkongsi ilmu dengan pendebat UMP menyedarkan saya yang universiti-universiti lain punyai kekuatan tersendiri yang akan mampu menewaskan pasukan handalan. Cuba bayangkan UIAM berdepan dengan pasukan lain dalam isu hiburan, ataupun melawan UPM dengan tajuk sains dan teknologi, ataupun UPNM diberi peluang membincangkan isu keselamatan. Baru seimbang, bukan?

Dalam perlumbaan Formula Satu (F1), apabila Ferrari dan Mclaren terlalu mendominasi perlumbaan, badan induk FIA telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan dominasi kedua-duanya, yang akhirnya membolehkan perlumbaan F1 menjadi menarik semula. Barulah kita dapat lihat keseronokannya. MADUM juga boleh melaksanakan usaha yang sama, jangan sehingga satu hari nanti, perdebatan menjadi semakin membosankan.





Debat Diraja 2008

4 12 2008

Debat Diraja 2008 sudahpun melabuhkan tirainya. Sekalian alam sudah maklum, pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menundukkan juara bertahan Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pusingan akhir. Rugi kepada sesiapa yang tidak hadir, kerana perlawanan ini saya sifatkan sebagai satu perlawanan akhir yang berkualiti.

Malam Anugerah MADUM 2008 memberikan kenangan yang begitu manis buat saya. Memperoleh Anugerah Kecemerlangan Individu adalah satu perkara yang tidak akan saya lupakan dalam detik-detik akhir bergelar sebagai seorang pendebat. Anugerah ini saya tujukan buat Ayah dan Ibu; En Mohamed Ali dan Pn Norazan Ibrahim, kerana kalianlah daku di sini. Juga untuk saudara tersayang, Arbaktun Mardiah, Nurul Asyiqin (yang turut menyertai kontinjen UPNM ke Debat Diraja 08) dan Ariff Asyraf. Buat konsultan tercinta, Azizul Hakim Abd Aziz, juga ahli-ahli UM yang lain; Azri Zahier Azmi, Mohd Zul Fadhli a.k.a Otel, Shahrizan Sarbini, Shen Yee Aun, dan banyak lagi nama yang telah membentuk diri ini. Tidak lupa kepada yang berkongsi kesedihan dan kegembiraan, Maisarah Razali.

dsc045531

Paling mengharukan dah penghargaan tidak terhingga, buat rakan-rakan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP). Jujurnya, lebih banyak perkara yang diri ini pelajari daripada kalian berbanding ilmu yang kucurah sekelumit cuma. Thanks to Adzwan, Raja, Syed a.k.a Faiz, Pjoyz, Khairul Afizan, Najmie, Masitah, Khairy, Firdaus, Nadya, Effendy, Jumain, Adam, Suria, Syahrul, Ika, Nurza, Arni, Helmy (ade lagi ke yang tidak ditulis?). Jasa kalian amat kuhargai. Jutaan terima kasih tidak akan dapat membalas segalanya!

dsc01372Terima kasih juga buat Khairul Anuar UKM yang bersama-sama menceriakan diri ini selepasa majlis penutup. Nasib baik ada insan kerdil ini. Jika tidak…?

Saya pasti akan membuat beberapa entri lagi tentang debat, mengenangkan saya sudah berada di penghujung dunia sebagai pendebat…