Muzik dan Filem

4 01 2009

Duduk di rumah, peluang menonton TV sentiasa ada.

Baru-baru ini menonton Bujang Senang di salah satu saluran ASTRO, saya terlupa salurannya. Tiba-tiba, dapat satu idea untuk entri di blog ini.

Saya bukanya pakar perfileman, bukan juga seorang yang pernah mengarah atau menulis skrip sesebuah filem. Tetapi, saya begitu hairan dengan kualiti filem tempatan, yang begitu dibanggakan oleh sesetengah pengarah dan produser.

Entri kali ini, saya ingin menyentuh tentang muzik latar yang mewarnai sesebuah filem.

Filem Hollywood, ataupun filem-filem negara lain seringkali tampil dengan muzik tema tertentu. Dengar sahaja muziknya, sudah tahu apa judulnya. Ramli MS pernah memuji tentang kehebatan penyusun muzik handalan seperti John Williams, bagaimana beliau sentiasa mempunyai idea terbaik untuk filem-filem seperti Star Wars, Indiana Jones, Harry Potter, Jurassic Park dsb.

Ya! Tidak adil untuk bandingkan filem kita dengan filem luar. Tetapi, apa salahnya jika aspek muzik juga diberi penekanan supaya filem kita nampak segar.

Bukannya tidak boleh buat. M Nasir pernah memberi sentuhan emas untuk runut bunyi Puteri Gunung Ledang. Adnan Abu Hassan juga telah membuat susunan muzik yang simple tetapi boleh diingati dalam Trauma.

Lain pula ceritanya dengan filem Bujang Senang. Muzik filem ini ada sebahagiannya dipetik daripada runut bunyi filem “The Litte Mermaid” terbitan Disney. Begitu juga filem Jutawan Fakir, ada mengambil muzik daripada filem “Mulan”. Filem dari syarikat Skop Production pula sudah berulang kali menggunakan efek muzik dan bunyi yang sama, sejak Maria Mariana, Janji Diana, Sembilu 2005 dan banyak lagi.

Saya tahu perkara ini, kerana saya sangat berminat mendengar runut bunyi filem, terutamanya filem asing. Dan acapkali saya gunakan muzik dari runut bunyi ini, untuk video/presentation saya semasa di universiti. Maklumlah, masih lagi amatur, tidak mampu karang muzik sendiri.

Maka, saya ingin bertanya, adakah penyusun-penyusun muzik untuk filem di Malaysia ini masih bertaraf amatur seperti saya yang menggunakan muzik import untuk video? Ataupun saya yang sudah professional seperti mereka, pandai crop muzik, kemudian selitkan sahaja dalam filem atau video…

Mungkin penonton yang jarang dengar lagu soundtrack tidak sedar. Tetapi, bagi yang selalu mendengarkannya, rasa amat pelik dan jelik. Buatlah muzik baru, tidak perlu guna orkestra pun. Janji, filem itu dapat memberikan sesuatu yang segar.