Hepi Burfday Ibu

26 02 2009

Hari ini 26 Februari 2009.

Hari ini istimewa.

Mengapa?

Kerana hari ini adalah ulangtahun kelahiran bondaku tercinta…

bday-ibuUcapan dari anak-anakmu :

ArbaktunHappy birthday! May Allah bless you always. Love you always!

AliSalam ulangtahun kelahiran ke-47! Haha! Moga panjang umur, murah rezeki, bahagia selalu. Moga tak kelip mata lagi kalau amik gambar pasni. Jom layan “Air Crash Investigation” sama-sama! Kui kui… Love you!

AsyiqinFor you mum, my love for you remain unchanged even the sun rises from the west… Terima kasih atas segala pengorbanan ibu… Salam ulangtahun kelahiran ke-47. Salam peluk cium!

AriffSelamat hari jadi kepada ibu yang tersayang…





Geng : A new saga begins…

20 02 2009

Akhirnya, berjaya mendapatkan tiket untuk menonton Geng.

Pengembaraan bermula…

upin-ipin-2

Masa saya belajar KOMSAS di sekolah dulu, setiap cerita ada pendahuluan, konflik, klimaks dan peleraian cerita, barulah menarik cerita tersebut. Saya bukannya pengkritik filem yang bagus, tetapi melalui pengamatan saya, filem ini memang memenuhi elemen-elemen ini dengan baik sekali.

Paling membuat saya teruja ialah kualiti bunyinya. Saya kagum dengan efek bunyi yang digunakan, terutama sekali tatkala adegan dikejar ular raksasa. ”Di Sebalik Tabir Geng’ memaparkan bahawa semua efek bunyi direka sendiri oleh krew Geng. Tabik spring!

Filem Malaysia kebanyakannya menggunakan dubbing suara setelah selesai penggambaran. Kadang-kadang, kualiti bunyinya menjengkelkan. Berbeza dengan filem lain, Geng mempunyai efek suara yang baik. Kalau jauh Upin dari layar, jauhlah efek suaranya. Kalau dekat angsa dengan penonton, dekatlah efek bunyiknya. Sempurna!

Dahulu, semasa filem animasi ‘Silat Legenda’, penerbitnya telah menggunakan khidmat Zainal Abidin untuk lagu tema. Filem ‘Putih’ pula menggunakan nama-nama besar untuk suara. Tetapi filem ini? Saya tidak jumpa. Inilah yang menjadikan filem ini begitu istimewa. Cukup dengan tagline ‘betul betul betul…”

Cuma adegan kejar-mengejar yang begitu menarik bagi saya, mungkin akan menjadi menyeramkan dan menakutkan untuk kanak-kanak. Semasa saya penonton, banyak jeritan boleh didengari. Dari sudut positifnya, filem ini berjaya membuatkan penonton menjiwai penceritaan, seolah-seolah sebahagian daripada watak dalam cerita.

Saya bangga dengan filem ini. Produk graduan Malaysia!

p/s : Semasa entri ini ditulis, Cikgu Maisarah baru keluar dari pawagam. “Bunyi die best! Upin dengan Ipin comel la.”





Penyesalan

17 02 2009

Baru saya tahu hari ini….

Kalaulah Masitah UMP beritahu semasa panggilan telefon sabtu lepas, tentu saya tidak menyesal…





Update, Up-to-date

16 02 2009

The Curious Case of Benjamin Button

404px-benjamin_button_poster

Saya berkesempatan menonton filem ini pada khamis yang lepas, thanks to Hairulanuar sebab sudi teman walaupun penat bekerja. Durasi filem ini yang menjangkau 2 jam45 minit ini sangat menguji kesabaran, lantaran saya tidak membawa jaket ke dalam panggung.

Selesai sahaja filem ini, saya rasa puas! Membayar RM10 untuk menonton filem ini dirasakan sangat berbaloi! Tidak hairanlah jika filem ini telah menerima 13 pencalonan untuk Academy Award tahun ini. Komen saya? Filem ini menarik! Terutama sekali adegan Benjamin Button menghuraikan rantaian peristiwa sehingga Daisy dilanggar sebuah teksi.

Namun, saya sedikit kecewa Ahad lepas, setelah beratur 25 minit untuk membeli tiket Geng: Pengembaraan Bermula, saya dimaklumkan bahawa tiket habis a.k.a sold out a.k.a full house. Apa-apapun, ini petunjuk baik untuk filem animasi ini!

Debat Ditangguhkan

Berita penangguhan debat sudah pasti diketahui semua. Kita bersangka-baik sahajalah; IIM sedang sibuk menyediakan laporan TEKAD 2008 dan penganjur UTM memikirkan yang terbaik untuk pelawat dan tetamu. Secara peribadi, saya beranggapan bahawa penganjuran pertandingan debat oleh UTM (merujuk kepada Debat Alam Sekitar 2005) merupakan antara penganjuran paling cemerlang yang pernah saya sertai. Buat pendebat IPT sekalian, masa yang banyak ini bolehlah digunakan untuk latihan, thesis, dsb. Saya difahamkan, semasa tarikh penganjuran debat ini nanti (sekitar bulan Mei)  ada IPT (seperti UTP) yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester ketika itu. Tidak kurang juga ada yang akan menjalani latihan industri atau praktikal semasa semester khas nanti. Inilah yang dinamakan rezeki; kalau ada rezeki, ada la. Dan memang setahu saya, Debat PIN pada asalnya memang diadakan pada semester khas, cuma bermula tahun 2007 penganjurannya dianjak ke bulan Februari.

PGL The Musical

Mungkin sudah tercatat, bukan menjadi rezeki saya untuk menonton Puteri Gunung Ledang The Musical. Walaupun sudah musim ketiga dipentaskan, saya masih lagi tidak berkesempatan menyaksikan aksi Gusti Putri di pentas bertaraf dunia itu. Namun, saya harus bersyukur kerana dengan izinNya, saya telah menonton P Ramlee The Musical untuk dua musim.

Politik Perak

Isu politik di Perak masih belum berakhir. Di hati saya, cuma satu harapan. Bunyinya agak idealistik, tetapi marilah kita bersatu. Sudah penat sebenarnya melihat semua orang berbalah tentang isu ini. Lebih sudu dari kuah jadinya! Semua orang ada pendapat, dan ada point masing-masing, baik di pihak BN, mahupun Pakatan Rakyat. Saya seru kepada semua, jangan heret debat ke dalam kehidupan, kerana ia akan jadi satu perbalahan yang tidak berpenghujung.

p/s : Mohon maaf kepada Masita UMP kerana tidak dapat penuhi permintaan…





Tangguh!

11 02 2009

(def. pertandingan debat = pertandingan debat yang melibatkan MADUM)

Setiap semester pengajian di universiti, pasti ada pertandingan debat.

Semester lepas sungguh meriah. Bermula di Pertandingan Debat Alam Sekitar pada bulan Julai di UMS, Pertandingan Debat Kemerdekaan (Ogos – UMT), Pertandingan Debat Kepenggunaan (Oktober – MMU) dan Pertandingan Debat Diraja (Nov/Dis – UIAM). Meriah sangat!

Namun, saya boleh katakan tiada pertandingan debat di semester ini. Mengapa? Kerana Pertandingan Debat Perdana Integriti ditangguhkan oleh penganjur. Saya kurang pasti rasional penangguhannya. Yang saya tahu, saya sedikit kecewa…

Inilah yang dikatakan tiada rezeki.

p/s : Jangan sekadar vote ya! Kalau boleh, tinggalkan komen sekali. Teringin hendak dengar pendapat kalian…





Ada Apa Dengan Demonstrasi?

10 02 2009

Kini, kebanyakan blog di ruang maya ini bercerita tentang pertukaran kerajaan di Perak.

Sana-sini riuh hendak berkumpul. Ada yang menggunakan label perhimpunan aman. Ada juga yang tegas melaungkan reformasi. Tidak kurang juga yang menyatakan akan melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan. Malah, istilah lebih berat digunakan seperi rusuhan dan sebagainya.

Asasnya sama. Sesetengah pihak tidak puas hati, lantas berkumpul di sesuatu tempat yang dirancang dan mengadakan tunjuk perasaan. Maka, akan wujudlah sepanduk-sepanduk, baik dari semurah kertas A4 bercetak kepada banner yang berharga ratusan ringgit.

Apabila…

Apabila kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditukar dengan kerajaan BN, pengikut Pakatan Rakyat berang. Sambil berikrar taat setia kepada Nizar, mereka nekad melakukan demonstrasi, sehingga ke tahap berbaring menghalang kenderaan diraja.

Apabila Nizar dan exconya memboikot majlis angkat sumpah, maka pengikut BN pula tidak puas hati. Dijajanya isu ini dalam tunjuk perasaan amannya di seluruh Perak, mencanangkan betapa derhakanya Nizar kepada Tuanku Sultan.

Apabila Karpal Singh nekad ingin menyaman Tuanku Sultan, seluruh rakyat khusus bangsa Melayu tercabar, lantas mengadakan siri tunjuk perasaan di sana-sini, dengan menyelar niat Pengerusi DAP ini.

Apabila canselor universiti dicabar, warga Universiti Malaya juga bertekad mengadakan perhimpunan raksasa untuk menyatakan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Canselor.

Bukan sekadar isu di Perak…

Di PJ, sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan tol NPE juga turut mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan menggambarkan betapa terbebannya mereka dengan kadar tol NPE.

Penduduk Kg Tunku di PJ juga turut mencerminkan rasa tidak puas hati dengan kerosakan yang dilakukan oleh kontraktor pemaju kawasan pembinaan berdekatan, dengan mengadakan demontrasi aman kecil-kecilan yang menjadi perhatian media.

Di UM juga, semasa pihak universiti mengadakan program untuk pelajar, sekumpulan pelajar turut bersama-sama menggembleng usaha melakukan demonstrasi di hadapan kawasan letak bas UM, walaupun sekadar disertai puluhan peserta sahaja.

Kenapa demonstrasi?

Yang saya peliknya, mengapa ia menjadi trend masa kini? Jika tidak puas hati, adakan sahaja demonstrasi. Semuanya sama sahaja; parti pemerintah, parti pembangkang, NGO, persatuan penduduk, Penggerak Mahasiswa, Pro-Mahasiswa, semuanya kini begitu gemar melakukan perhimpunan seperti ini.

Kelihatannya seperti perangai budak kecil, yang jika keinginannya tidak dipenuhi, tunjuk perasaan adalah jalan mudah yang efektif. Kenapa mencemar imej diri, terpekik-pekik di tepi jalan, kadangkala disulami ayat-ayat kasar, biadap yang provokatif? Kenapa jalan ini yang dipilih?

Sudah-sudahlah berdemonstrasi. Jangan ikut jejak demon….





Perak : Nilaikan sendiri

8 02 2009

(Mungkin) Semua orang sudah tahu tentang kerajaan negeri di Perak sudah bertukar wajah. Pakatan Rakyat ‘digulingkan’ oleh Barisan Nasional. Macam-macam cerita sudah kita dengar. Ada yang kata TPM guna kekerasan, ada yang kata ADUN sudah ‘dibasuh’, tidak kurang juga yang kata Nizar macam budak kecil.

Saya tidak mahu komen banyak tentang ahli politik yang terlibat. Lucas dalam filemnya Star Wars telah menyampaikan mesej “… politicians cannot be trusted…”. Maka, saya tidak mahu komen lebih isu Nizar mahu berlumba ke pejabat ataupun Karpal yang mula bersuara lantang.

Saya lebih tertarik untuk menyeru kepada penyokong-penyokong fanatik Pakatan Rakyat di seluruh negara. Isu di Perak ini perlu diperhalusi semua agar tidak terus berada di landasan kurang bijak.

Penderhaka

Semua orang kena Hang Jebat. Ada yang menganggapnya sebagai penderhaka, tidak kurang juga yang mengangkatnya sebagai hero. Laksama Bentan juga pernah berkata, “…raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah…”. Asas kedua-keduanya sama; tidak bersetuju dengan titah perintah sultan.

Begitulah yang berlaku di Perak. Hakikatnya, Tuanku Sultan telah perkenan perlantikan MB yang baru. Bukan calang-calang Sultan, DYMM Sultan Azlan Shah merupakan seorang yang bijak dalam selok-belok perundangan. Namun, yang menyedihkan saya, tindak-tanduk rakyat yang derhaka ini telah mencerminkan kedangkalan mereka sendiri.

Bantahan dijelmakan dengan melakukan demonstrasi di Masjid Ubudiah. Malah, media harakahdaily begitu bangga dengan demontrasi ini, yang disifatkan sebagai mengulangi reformasi 98. Hari ini, di dalam akhbar Berita Harian bertajuk 9 Direman Dua Hari, polis sedang memburu suspek-suspek yang diharap dapat membantu siasatan. Yang memeranjatkan saya, salah seorang dari suspek tersebut adalah mahasiswa UM yang tidak asing lagi di arena demonstrasi di UM.

Demonstrasi di Perak diburukkan dengan perbuatan melampau menghalang pergerakan kenderaan Raja Dr Nazrin. Tidak melampau kah itu? Tidak derhaka kah itu?

Nilaikan Semula

Saya seru semula kepada semua, nilaikan kembali sokongan anda. Usah ikutkan hati dan emosi, jangan terus tegakkan benang yang basah. Bukan sekadar sokongan kepada Pakatan Rakyat, malah sokongan kepada Pro-M juga perlu difikirkan semula, kena sudah terang dan jelas, mereka memang terlibat dengan politik luar yang tidak bermaruah.

Motif Ayuni datang ke majlis penutup Debat Terbuka ASTAR 2009?





Coret Debat Terbuka ASTAR 09

5 02 2009

Debat Terbuka ASTAR (DTA) ke-13 sudah melabuhkan tirainya. Pengalaman indah menjalankan tugas sebagai ketua hakim akan menjadi satu pengajaran yang berguna untuk saya. Alhamdulillah, hampir semua pengalaman pernah saya rasa. Menjadi pendebat sudah, menjadi AJK pun sudah, menjadi hakim pun pernah, bergelar ketua hakim pun udah diredah.

Seperti kebiasaan, DTA akan menjadi medan setiap IPT membariskan pendebat-pendebat junior untuk menimba ilmu dan pengalaman. Medan perdebatan dijadikan satu peluang terbaik untuk semua mengasah bakat masing-masing. Sekalung tahniah buat kontinjen UM, dibarisi Munirah, Azzairi, Firdaus, Siti, Syazwan, Sara, Adeline dan Hasyim yang telah mempamerkan persembahan yang membanggakan. Untaian tahniah dan terima kasih juga buat Azizul, Zul, Azri dan Shen atas usaha tidak kenal jemu untuk membantu adik-adikmu.

Tahniah dan terima kasih juga buat mereka yang membantu saya untuk menjalankan tugas; Hazren, Zati, Fairuz dan Syam. Tanpa kalian, apalah makna diri ini. Chewah! Juga buat pendebat-pendebat senior yang banyak membantu saya dan memberi tunjuk ajar sepanjang DTA baik dari UM, mahupun dari IPT-IPT lain. jasa dan tunjuk ajar anda amat saya hargai.

Juga kepada semua panel hakim yang banyak memberikan kerjasama untuk DTA ini, andalah nadi DTA! Jujurnya, saya begitu terharu dengan komitmen beberapa pendebat yang begitu komited menjadi hakim sepanjang keenam-enam perlawanan awal, dan pusingan kalah mati bermula di peringkat octo-final.

Mohon mencadang.