Menilai orang atasan

5 05 2009

boss-and-staff

Kerajaan begitu sibuk dengan slogan baru, termasuklah ‘…prestasi diutamakan’.

Dalam perjumpaan yang telah saya hadiri minggu lepas, dicadangkan supaya guru-guru mengambil inisiatif untuk membuat sedikit soal selidik kepada pelajar, menilai guru yang mengajar kelas tersebut.

Ini perlu untuk memperbaik segala kekurangan di pihak guru yang ditanggung dan dihadapi oleh para pelajar.

Sistem ini perlu diperluas.

Bagaimana?

Saya rasa, sistem menilai pihak atasa juga perlu diperkenalkan dan diamalkan. Contohnya semasa saya belajar di Universiti Malaya dahulu. Pensyarah diberi kuasa untuk membuat penilaian ke atas pelajar; kuiz, peperiksaan, tutorial, lab report dan sebagainya. Dalam masa yang sama, di hujung semester, pelajar diberi borang soal selidik yang perlu dilengkapkan, berkenaan pensyarah tersebut dan keberkesanan serta kelemahan pengajarannya.

Dan hasil soal selidik akan terus ke unit jaminan kualiti universiti.

Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) juga pernah mengamalkan konsep yang sama. Selama ini, panel hakim diberi kuasa untuk menilai perdebatan. Namun, semasa edisi Debat Diraja lepas, pendebat diedarkan borang kajiselidik berkenaan keberkesanan dan keputusan hakim. Bagus bukan?

Kaedah ini perlu digunakan di mana-mana. Pelajar menilai guru, guru menilai pengetua dan guru penolong kanan, staf menilai boss, rakyat menilai wakil rakyat dan sebagainya. Sedangkan makmum boleh membetulkan bacaan imam, apatah lagi situasi di luar solat berjemaah.

Jangan sampai orang atas sibuk memantau dan menilai orang bawahan sahaja, sedang diri tidak menyedari diperhatikan orang di bawahnya…

p/s : Entri ini dibuat, idea daripada konsultan debat UM, lama dahulu…




AF dan muzikal

3 05 2009

Malam tadi, konsert AF menampilkan tema yang menarik.

Semua pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu dari 3 muzikal teater; Puteri Gunung Ledang, P.Ramlee dan Impak Maksima. Tiada pula terselit Sirah Junjungan, muzikal juga kan?!

Mungkin ramai di luar sana yang tidak pernah menonton muzikal-muzikal ini. Saya pun hanya menonton P.Ramlee The Musical, mendengar soundtrack PGL, dan tiada berminat menonton Impak Maksima.

Persembahan pelajar-pelajar AF memberikan satu impression baru. Pelakon-pelakon muzikal di Malaysia memang hebat dalam nyanyian.

Ambil Akim sebagai contoh, lagu ‘Titah Sultan’ lebih sedap dinyanyikan penyanyi asalnya iaitu Adlin Aman Ramlie. Begitu juga lagu ‘Katakan’ oleh Claudia, versi asalnya oleh Tiara Jacquelina jauh lebih enak didengar.

Lagu yang paling menarik perhatian saya ialah ‘Mulanya Cinta’. Lagu ini pada asalnya dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza, dengan diiringi orkestra pimpinan Erwin Gutawa semasa P.Ramlee The Musical musim pertama. Hasilnya, sangat mengujakan! Namun, semasa musim kedua pementasan muzikal ini, lagu ini dan watak Azizah dipegang oleh Emelda, yang saya rasanya nyanyiannya biasa sahaja. Namun, setelah mendengar Isma menyanyikan lagu ini, saya merasakan yang Emelda jauh lebih baik daripada Isma, atau dengan kata lain, saya tidak suka ‘Mulanya Cinta’ versi Isma.

Hafiz menyanyikan lagu P.Ramlee. Tidak berani saya ingin komen tentang masterpiece ini. Yazid dan Aishah pula biasa-biasa sahaja.

Kepada principal Tiara, bila hendak pentaskan muzikal lagi?