Roti John

28 08 2009

john

Semalam, saya makan roti john sebagai juadah berbuka dan bersahur. Terhidang di meja makan pada waktu berbuka, ada 5 keping roti john. (Mengapakah ayat ini seperti ayat Yoda?)

Banyak bukan?

Kerana roti john yang saya makan bukannya roti john yang dibeli di pasar malam, sebaliknya roti john buatan sendiri di rumah. Sedap!

Menurut bacaan saya di wikipedia, roti john ini dinamakan ‘roti john’ kerana bahan-bahannya. Nama ‘john’ berasal dari french loaf ataupun Baguette dan sos tomato yang asalnya digunakan oleh orang barat. Semasa zaman penjajahan British, orang putih ini digelar ‘John’ dan dari situlah roti john mendapat namanya.

Ayah dan ibu saya punyai pengalaman 15 tahun menjual roti john. Bermula di pasar malam dan berakhir di bazar ramadhan dua tahun lepas. Kini tidak lagi meniaga disebabkan faktor kekangan tenaga kerja. Doakan kami mempunyai rezeki untuk berniaga tahun depan, kerana sudah ramai yang bersuara, “Mat, kau tak jual roti lagi ke?”, “Kak Nor, dah tak meniaga roti lagi ek?”.

Tetapi roti john di bazar ramadhan sekarang sudah berbeza. Kurang enak. Untuk dapatkan hasil yang terbaik, adunan telur yang digunakan untuk roti john perlu ditambah dengan bawang secukupnya dan digoreng dengan roti perancis (french loaf). Tetapi, pemerhatian saya di bazar ramadhan sekitar JB ini, tiada roti yang memenuhi resepi asal roti john yang banyak ditulis di blog-blog yang menghuraikan makanan yang popular di Malaysia dan Singapura ini. Mengapa? Bawang tidak dibubuh secukupnya dan roti yang digunakan bukanlah roti perancis, tetapi roti aiskrim yang kecil itu.

Pengalaman saya, selain roti john yang ibu dan ayah saya buat (termasuklah saya, haha!) ialah roti john yang dijual di Kebayan KOMTAR JB, tetapi saya tidak tahu di mana hendak cari semula gerai ini, kerana KOMTAR sudah pun ditutup untuk renovation.