Tadi, selepas saya merdeka daripada menjawab mengawas SPM, saya berkesempatan bermain bowling. Dengan anak didik sekolah, mereka kepingin hendak lawan cikgunya. Tidak mengapalah. Memang inilah dunia baru saya. Bila naik cuti nanti, lagi meriah melayan warga sekolah, baik suka mahupun duka.
Maka, saya ingin mengimbas kenangan dunia yang telah saya tinggalkan. Dunia ketika masih menuntut di UM. Atau lebih tepat, semasa bergelar pendebat.
Kerana mulut
Saya berkesempatan berada di UM semasa Pertandingan Debat Diraja tempoh hari. Saya redha terima caci-maki andai dikatakan UM penganjur paling teruk dalam sejarah Debat Diraha. Inilah akibatnya, mem’bakar jambatan’ antara diri dengan pengurusan universiti setelah bergelar graduan.
Tetapi, saya cukup tidak berkenan dengan satu situasi.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih buat alumni debat IPT seluruh Malaysia, sekalung apresiasi buat kalian atas sumbangan tenaga menjayakan debat sebagai hakim. Tanpa anda, pastinya Debat Diraja yang tempang itu akan terus lumpuh. Terima kasih.
Hadirnya alumni pendebat ini sebagai tetamu, maka wajib bagi tuan rumah untuk melayan. Namun, harus diingat, tetamu juga perlu untuk menjaga hati tuan rumah. Andai kata kita sebagai tetamu datang ke rumah yang kecil, lantas berkata, “eh, ko tak mampu nak beli rumah besar sikit ke?”, apa pula rasa hati tuan rumah.
Itulah yang berlaku kepada saya. Saya tidak kisah andai kata-kata biadap lazer ini berkenaan penganjuran. Makanan tidak segar, bilik tidak selesa. Tidak mengapa. Tetapi andai bait-bait kata lancang berbaur emosi dilemparkan, pasti penghormatan saya terhadap pendebat alumni ini akan luput. Malah, ada sebahagiannya pernah menjulang Anugerah Kecemerlangan Individu daripada MADUM.
Ada seorang pendebat alumni berkata kepada saya, “Ali, kertas di meja hakim tak cukup la.” Terima kasih daun keladi, kerana maklumkan kepada saya. Tetapi, amat sakit hati pabila ayat itu disambung “… takkan nak conteng kat meja, kerusi, tangan, semuanya… kan?”
Satu lagi situasi, apabila saya berkata kepada sekumpulan alumni pendebat yang sedang sibuk bersidang. “Minta maaf, nak maklumkan yang hakim-hakim boleh tuntut elaun di dewan sebelah dewan utama tu ya.” Ayat lancang yang saya dapat ialah “La… macam budak sekolah pulak nak gerak-gerak ni ek, macam rombongan sekolah pula.” Disambut pula dengan “La, lupa pulak. Cikgu la katakan.”
Sesungguhnya, bergelar sebagai pendebat itu hanyalah sebagai pertandingan. Maka, sindiran sinis, melazer, ayat lancang sekadar semasa perlawanan sahaja. Tetapi, inilah jadinya kalau debat itu sebagai kehidupan.
Tetapi, bukan semua pendebat begitu. Banyak lagi pendebat yang menjaga tutur bicara. Maka kepada alumni pendebat, fikirkanlah. Hormatilah. Kadangkala kita anggap itu gurau biasa, tetapi batasannya perlu dijaga, kerana kita semakin berusia, tutur bicara elok dijaga.
Apresiasi buat warga debat. Dunia debat itu kecil sahaja…