Terlebih dahulu, untuk Pn Fadzleen, saya pinjam tajuk blog anda.
Saya sangat suka ungkapan itu. Learn. Teach. Love.
Maklumlah, sekarang ini musim keputusan PMR, dan sudah hendak mulakan penggal persekolahan baru, maka tema-tema pendidikan/persekolahan kian berlegar di kepala.
Tulisan kali ini saya tulis dari kaca mata seorang guru baru. Seorang pendidik yang baru 8 bulan menjengah alam kerjaya sebagai seorang cikgu. Saya beruntung. Cukup beruntung. Dahulu bersekolah di sekolah berasrama penuh (SBP), menjalani praktikal di SBP dan akhirnya ditempatkan di sebuah sekolah premier, sekolah kawalan.
Hakikat ‘budak sekarang sudah berubah’ pasti kita dengari. Dari penoreh getah di ceruk kampung di tepi gunung, sehinggalah ke taman-taman perumahan elit di ibukota.
Dan, setelah 8 bulan saya belajar (learn) untuk mengajar (teach), saya mengakui akan kebenarannya. Budak sekolah sekarang sudah berubah. Pandangan seorang pelajar juga sudah berubah terhadap guru. Berbeza dengan guru zaman 50-an atau 60-an dahulu.
Mungkin kerana pandangan guru dan masyarakat terhadap profesyen itu sendiri telah menyebabkan berlaku sedemikian. Jikalau dahulu, seorang ayah akan berkata pada anaknya, “belajarlah rajin-rajin, nanti dah besar boleh jadi cikgu.” Tetapi ayat seorang ayah zaman sekarang boleh jadi, “belajarlah rajin-rajin, kalau tidak, kamu akan jadi seorang cikgu”. Malahan, ada guru-guru sendiri berkata, “biasa la ada student yang kurang pandai tu. Kalau semua orang pandai, siapa hendak jadi cikgu.”
Mungkin juga kerana pandangan ibu bapa terhadap sekolah sudah berubah. Sekolah ibarat nursery, tempat dihantar anaknya bagi memastikan anaknya itu terjaga. Malah, tidak kurang juga yang menjadikan guru sebagai sasaran andai anaknya gagal memperoleh kecemerlangan. Lebih menyedihkan, ada ibu bapa yang terdiri daripada golongan pendidik mahupun professional dalam kementerian bersikap lepas tangan dan meletakkan sepenuh tugas didikan kepada guru.
Berubah
Ya, berubah. Bukan hendak dikatakan saya ini sempurna dan muluk. Kelak tidaklah guru yang cekap kerja pengkeranian sahaja bisa dipandang tinggi grednya. Juga tidaklah penggunaan ICT itu hanya untuk guru muda dan menjadi keajaiban andai guru senior mampu format sebuah komputer. Tidak juga seorang pelajar berkata “ala… apa yang cikgu tahu pasal benda ni semua, zaman dah berubah la cikgu”. Dan pastinya perubahan ini tidak dilabel dengan putar belit label ‘transformasi’.
Saya akan berubah, cuma terkadang tertanya-tanya, adakah saya berada di landasan yang betul?
Saya cinta. (love)