Tidak Bersentuh Tangan

30 12 2009

Orang kata, pentas Istana Budaya bertaraf dunia. Maka, persembahan yang dipentaskan di sana juga bertaraf dunia.

Itu orang kata.

Kalau disebut hiburan orang kampung, kita mungkin terbayang hiburan yang biasa-biasa. Tetapi, siapa sangka. Kalau dahulu nelayan di Mersing hanya menari zapin tenglu pada petang hari, kini zapin tenglu sudah bertaraf antarabangsa.

Kerana zapin dipentaskan di Istana Budaya. Gema Zafana.

Saya berpeluang menonton Gema Zafana. Ini ialah pementasan kedua setelah pementasan pertama pada 2004.

Iklan-iklan yang dipasang cukup mengujakan. ‘Kerajaan Negeri Johor mempersembahkan, Gema Zafana, sebuah persembahan Zapin Johor’. Lantas, sejak Ogos lalu, saya tertunggu-tunggu, bilakah tiket mula dijual.

Dan untuk kali ini, saya duduk di ‘stalls’, aras paling bawah di Panggung Sari Istana Budaya, searas dengan pentasnya. Ini memberikan kesempatan kepada saya untuk naik ke pentas, sama-sama berzapin dengan penari-penari Gema Zafana. Ada rakan saya yang menonton pada persembahan hari terakhir, namun tiada sesi menari di atas pentas bersama-sama penari. Nasib saya bertuah barangkali, kerana malam pembukaan yang saya hadiri turut diserikan dengan kehadiran Dato’ MB Johor dan Tun Ahmad Sarji.

Satu perkara untuk difikirkan; menari zapin tidak bersentuh tangan antara  lelaki dan perempuan…