Demi Anak Bangsa

1 02 2010

Saya penat. Benar-benar penat. Mengapa tidak? Sebulan ini memang banyak bebanan kerja tugas diberikan kepada saya. Kelas pengajaran, guru kelas, setiausaha HEM disiplin, Sistem Maklumat Murid, Ketua Guru Rumah Sukan, dan tugas Ko-Kurikulum yang masih lagi belum dimulakan. Tidak mengapalah. Sudah namanya tanggungjawab, perlu dijalankan dengan amanah. Demi anak bangsa.

Manusia sama dengan komputer. Boleh multi-tasking. Tetapi, kalau terlebih multi-tasking, komputer boleh hang. Di sinilah letaknya keistimewaan manusia, boleh menyerap tekanan dan mengatasi, tidak terus hang seperti komputer. Bagusnya! Apatah lagi seorang guru, sentiasa bersabar menghadapi dugaan multi-tasking ini. Tidak mengapa. Demi anak bangsa.

Namun, perlu diingat. Komputer tidak punya hati dan perasaan. Dan pada sifat inilah uniknya manusia. Sedihnya, saya boleh katakan yang hati dan perasaan saya telah dijentik dan diguris oleh tugas dan kerjaya. Demi anak bangsa.

Maka, saya persoalkan kembali. Benarkan demi anak bangsa?! Tugas-tugas pengkeranian guru itu memang benar kesudahannya ialah untuk kebaikan murid dan pelajar. Namun, adakah itu yang benar-benar memberikan faedah langsung kepada pelajar?

Buktinya cukup mudah. Pabila ibu dan ayah mempersoalkan kredibiliti seorang guru, tidak disentuh walau sehebat mana seorang guru itu menyiapkan Rekod Mengajar, malah tidak dipersoalkan pun sebarang minit mesyuarat atau fail-fail yang gagal disiapkan. Namun ayat perlekeh mereka, “Guru ini semua tak reti mengajar ke?”

Dan apabila ditanya kepada pelajar, mengapakah seorang guru itu sentiasa diingati? “Adakah kerana data SMM kamu semua sentiasa dikemaskini, ataupun kerana fail peribadi yang lengkap terisi?” Tidak. Pelajar akan sentiasa mengingati, itulah guru yang pandai mengambil hati, yang tahu bahawa hari Isnin bukanlah waktu terbaik untuk memarahi, yang memastikan pelajar bukan sekadar tahu ABC, tetapi pandai menulis dan mencanai isi.

Kerana itulah kadangkala saya terfikir. Adakah kerja-kerja pengkeranian seorang guru itu memenuhi kata-kata ‘Demi Anak Bangsa’? Ataupun demi…

Saya bukan anti dengan kerja pengkeranian. Cuma saya kesal apabila saya sedang menunggu jemaah menguruskan jenazah paklong saya di Perak tempoh hari, dalam keadaan tidak tentu tidur semalaman, saya menerima panggilan telefon untuk diberikan tugas-tugas sedemikian. Kesal. Yang akhirnya malam selepas bacaan tahlil itu, saya tertidur dengan laptop di sisi, berbisik pada diri sendiri, “demi anak bangsa…”