Suara Rakyat

16 02 2011

Saya terbaca satu artikel di malaysiakini.com.

Tajuknya menarik perhatian saya. Berkenaan buah fikir Dr Asri, bertajuk Tidak Mustahil Kuasa Rakyat Berlaku di Malaysia.

Dangkal

Bagi saya, komentar ini dangkal. Yang amat. Beliau begitu mendokong ‘kuasa rakyat di jalanan‘ yang pada beliau ‘tidak menggunakan kekerasan‘ dan ‘mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka‘.

Beliau menambah dalam komennya, ‘perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka‘.

Budak

Biar saya bawakan satu cerita.

Suatu ketika pada tahun 1998, berlaku demonstrasi menegakkan reformasi di Kuala Lumpur.

Tatkala itu, seorang budak lelaki berumur 13 tahun, yang amat meminati sains, berada di dalam kereta, bersama ayah dan ibunya. Niat di hati, ingin ke Planetarium Negara. Menambah ilmu.

Pertengahan perjalanan, bertembung dengan kesesakan lalu lintas. Puncanya? Demonstrasi di Masjid Negara. Budak lelaki itu sudah nampak Planetarium Negara di atas bukit itu, tetapi dek lautan orang ramai di situ, perjalanan tersekat.

Akhirnya, setelah menempuh kesesakan, budak lelaki itu tiba juga di Planetarium Negara. Tiada rezeki. Terlewat. Planetarium Negara sudah tutup. Gara-gara menghabiskan masa menempuh kesesakan demonstrasi jalanan.

Ribuan yang lain

Itu baru kisah duka seorang budak kecil. Bayangkan ribuan lagi impian, cita-cita, urusan, dan macam-macam hal lagi yang tidak dapat diselesaikan, dek kerana ‘kuasa rakyat’ yang menghancurkan ribuan lagi harapan rakyat.

Malahan jika kita intai kes di Mesir, berapa ramai pelajar kita yang terpaksa pulang ke tanah air? Malahan harga minyak, barangan semuanya naik. Pelabur? Sudah tentu akan lari. Kesudahannya, angkara suara rakyat, rakyat juga tanggung peritnya.

Maka saya seru kepada semua. Ini bumi Malaysia, bumi kita. Walau kita disogok dengan berita yang menutupi kebaikan pemerintah dengan kebanjiran hal-hal keburukan seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan, tidak menunaikan janji dan apa sahaja, jangan kita terperangkap dengan demokrasi barat itu, kononnya untuk menegakkan keadilan.

Rakyat yang sayangkan negaranya, tidak akan sekali-kali mengatakan negaranya tidak subur dan airnya kotor, tidak akan berkata penduduk dan budayanya bobrok, pemerintahnya zalim, dan kedaulatannya palsu.

Jika tanahnya tidak subur, dia akan baja dan suburkan. Jika airnya kotor, dia akan bersihkan. Jika penduduknya bobrok, dia akan atur dan harmonikan. Jika pemerintahnya zalim, dia diinsafkan atau gantikan dengan teratur, dan jika kedaulatannya palsu, dia akan kembalikan keasliannya.

Bukankah sudah lama, guru-guru di sekolah memberitahu bahawa sayangkan watan itu sebahagian daripada iman.

Oh ya, saya terlupa. Budak lelaki yang berumur 13 tahun dalam cerita di atas, itu saya. Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengikutnya, kerana meleburkan impianku ketika itu.

 





Cerita Cinta Agung

7 02 2011

Entri ini ditulis selepas menonton filem Puteri Gunung Ledang, tadi. TV2.

Maafkan kanda dinda.
Jika dinda izinkan kanda berpijak pada tanah ini.
Dan menghirup nafas seudara degupan jantung dinda…
Berikan petunjuk. Berikan kanda petunjuk…
Sesungguhnya, kanda cintakan dinda.

Ini ialah bait-bait kata Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang. Sangat puitis, sangat syahdu.

Tanah mana yang aku pijak. Berdirinya aku kasih berguguran.
Pasir mana yang aku genggam. Erat tanganku semakin layu bunga berkembang.
Bumi luas, aku sorang.

Rintih hati seorang lelaki melayu.

Kanda lupa cinta dinda seagung maya.
Cinta kanda, bukan semesta luasnya?
Masih kecil berbanding cinta dinda!
Tapi kanda ke mari juga.
Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga.

Terkesan sungguh ayat-ayat cinta yang puitis ini.

Untuk diri ini, ini paling sesuai.

Apakan daya, tangan terikat dilangit, kaki terpasak dibumi, jasad tidak setanding mimpi. ~Hang Tuah~






Senyum. Restoran.

2 02 2011

“Seorang pelancong Australia nampak kebingungan ketika mencari sebuah restoran makanan barat di Jalan Skudai. Tak lama kemudian seorang budak kecil melintas di depannya… dan tanpa fikir panjang dia cuba bertanya pada budak kecil itu dengan bahasa melayu yang kucar kacir.

“Maaf dik.. tumpang tanya.. Apa betul ini jalan hospital?”

Budak kecil itu mengangguk sambil menjawab… “ha’ah”

Pelancong itu tidak faham perkataan ‘ha’ah’.

Namun kerana budak kecil itu mengangguk. Dia yakin bahawa jawapannya adalah betul.
Masih dalam kebingungan.. melintaslah pula seorang remaja di depannya. Lalu sekali lagi dia bertanya..

“Maaf dik.. tumpang tanya… Apa betul nama jalan ini adalah jalan Skudai?”

Budak remaja itu mengangguk sambil menjawab, “Benar”

Nampaknya pelancong itu tidak juga memahami perkataan ‘benar’.

Namun kerana budak remaja itu mengangguk.. dia yakin yang jawabannya adalah betul.
Masih dalam kebingungan, melintaslah pula orang dewasa.. lalu pelancong itu segera bertanya

“Maaf encik.. saya tumpang tanya… Apa betul nama jalan ini jalan Skudai?”

Orang dewasa itu mengangguk sambil menjawab, “Betul.”

Akhirnya pelancong itu merasa puas.. tapi masih kehairanan.. lalu Untuk menghapus rasa keraguannya.. dia bertanya dekat org dewasa tersebut..

“Saya keliru.. Tadi saya bertanya kepada budak kecil, tapi jawabannya ‘ha’ah’.. lalu saya bertanya kepada seorang remaja muda dan jawabannya ‘benar’. akhirnya saya bertanya kepada encik dan encik menjawab ‘betul’, tapi semuanya mengangguk. Sebenarnya mana yang betul?”

“Oh, itu maksudnya sama aja.. Kalau yang menjawab ‘ha’ah’ bererti latar belakang pendidikannya sekolah rendah aje… Kalau yang menjawab ‘benar’, orang itu latar belakang pendidikannya pasti sekolah menengah.. dan kalau yang menjawab ‘betul’ itu pastinya orang itu ada sarjana,” jawab orang dewasa itu…

“Jadi.. Anda tadi menjawab ‘betul’, bererti anda seorang sarjana ya?” tanya pelancong lagi..

Orang dewasa ini terus mengangguk sambil menjawab, “ha’ah”.





Cat

1 02 2011

Mengecat. Kelas. Makmal ICT. 4 hari berturut-turut.

Saya tahu. Biarlah tiada dalam rekod perkhidmatan yang saya menghabiskan 4 hari untuk mengecat di sekolah. Biarlah tidak akan tercatat dalam punch-card saya pukul 8.00 pagi ‘in‘, pukul 10.30 malam ‘out‘.

Biarkan. Yang penting saya puas hati.

Bagaimana agaknya Cikgu Azaman dahulu boleh berkorban melatih saya dan kawan-kawan berbahas, sehingga lewat 2.00 pagi, dan esoknya bekerja semula? Itupun beliau ada 4 orang anak pada masa itu. Saya? Bujang…

Terima kasih pada yang membantu….