Ada pelajar bertanya kepada saya, “Cikgu, cikgu ni tak macam cikgu lain la. Cikgu layan kepala dengan kitorang!”
Mungkin ada yang beranggapan bahawa itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi saya anggap ia sebagai satu pujian.
Cukuplah sudah ada guru-guru yang serius. Cukuplah sudah ada guru-guru yang garang. Cukup jugalah ada guru-guru yang bagai tidak ambil pusing dengan apa-apa. Biar saya jadi yang satu itu.
Nyata bila dinilai kembali, mengapa saya menjadi cikgu sebegini? Saya harus katakan bahawa inilah hasil didikan saya di sekolah dahulu. Saya dibentuk dengan ukhuwah sebaiknya dengan guru-guru, malahan dengan staf sekolah juga. Hujung minggu di bilik waden, pergi ke bank di pekan pada hari biasa dengan cikgu, berborak-borak tentang pelbagai perkara di bilik guru dan di tepi padang, ziarah rumah pembantu makmal. Pernah juga diundang oleh ustazah untuk berbuka puasa di rumahnya.
Pernah saya menulis di blog ini,
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.
Jika seorang kanak-kanak hidup dengan suasana ramah-mesra, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah untuk kehidupan.
Saya mahu anak-anak murid saya belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah, maka saya amalkan keramah-tamahan itu. Tidak salah, bukan? Biarlah…
Perkhemahan
Sebenarnya, semua ini ialah refleksi diri selesai perkhemahan tempoh hari. 3 hari 2 malam yang menarik di Gunung Belumut benar-benar memberikan pengalaman indah untuk saya. Mendaki bukit, menuruni lurah, mandi di sebatang sungai (memetik kata-kata Hafis Salimin), memasak telur, seronok!
Buat anak-anak murid, terima kasih atas kerjasama kalian. Tidak keterlaluan andai saya rasakan yang kalian merupakan peserta terbaik yang saya pernah jumpa sejak kali pertama saya menyertai perkhemahan seumpamanya bermula 2009. Jujurnya, saya begitu terharu dengan Hafis Salimin. Selaku penghulu (dan peserta lelaki terbaik), saya harus katakan yang beliau telah melakukan tugas dengan sempurna. Sangat sempurna. Termasuklah mengejut saya pada jam 4.00 pagi kerana generator kehabisan minyak. (Bersopan sungguh cara mengejutkan saya, menepuk-nepuk hujung tapak kaki…)
Dan terima kasih tidak terhingga buat barisan rakan guru. Tanpa kalian, perkhemahan ini tidak akan menjadi nyata. Dan penghargaan ini saya khususkan buat tonggaknya; En Mohd Faisal, Pn Norhaimi dan Pn Aishah. Terima kasih…
Kredit untuk gambar di bawah; Pn Norliza Mohamad, Anis Suaidah. (klik untuk besarkan)
Sudah hampir setahun sejak perkhemahan tahun lepas…
guru perlulah mengajar dan mendidik…dan ini lah yang dikatakan mendidik….bukan setakat mengajar di sekolah….tp menjadi kawan kepada anak2 murid….br besh ….
Seronok baca dan dpt ambil iktibar bahawasannya ular yg menyusur akar tak akan hilang bisanya.