Mengapa Gerhana Berwarna Merah?

11 12 2011

Salah seorang anak murid sms malam tadi, “Tadi cikgu cakap pembiasan cahaya dri bumi buat kale bln 2 merahkan… chye bumi kale ape?” (Abaikan cara penulisan sms itu, haha!)

Merah

Mengapa semasa gerhana bulan penuh, bulan berwarna kemerahan dan bukannya gelap dan terus hilang dari pandangan? Unik bukan? Kuasa Tuhan…

Ini berlaku kerana pembiasan cahaya oleh atmosfera Bumi. (Penerangan berikut mempunyai konsep sains). Cahaya matahari mempunyai banyak gelombang warna, dari merah sehingga ke ungu yang mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Gelombang yang mempunyai panjang gelombang berbeza ini akan dibiaskan oleh atmosfera bumi pada kadar berbeza. Kesannya, warna merah akan lebih dominan daripada warna-warna lain (seperti waktu senja).

Dan warna ini letaknya pada bayang-bayang bumi dan akhirnya menyebabkan perubahan warna pada permukaan bulan semasa gerhana. Gambar di bawah menerangkan tentang fenomena ini, termasuklah bayangan bumi sekirangan kita berada di bulan semasa gerhana.

 





Titis Air Hujan

10 12 2011

Kebanyakan daripada kita menyangka bahawa bentuk titis air hujan ialah seperti bentuk ‘teardrops’, bulat di bahagian bawah dan tajam di bahagian atas, seperti gambar berikut.

Nyata fakta ini silap! Haha! Bentuk sebenar titis air hujan ialah seperti berikut.

Penjelasannya? Sebenarnya bentuk titisan air ialah sfera, disebabkan daya lekitan (cohesive force) antara molekul air. Namun, semakin laju pergerakannya menghampiri bumi, rintangan udara menyebabkan bahagian bawah titisan air itu akan ‘meleper’, dan semakin lama, rintangan ini akan mengubah bentuk dan mungkin akan ‘memecahkan’ titisan ini kepada titisan yang lebih kecil. Dan apabila semakin mengecil, bentuknya akan semakin sfera, kerana kurang mengalami rintangan udara.

Tetapi, bentuk seperti ‘teardrop’ itu lebih menarik, walaupun secara meteorologinya, ia salah…

 





Melepaskan Batok Di Tangga

8 12 2011

Satu ilmu yang saya dapat semasa menjadi pengawas SPM. Bagus juga bergaul dengan banyak guru dalam bidang berbeza.

Saya belajar peribahasa; Melepaskan Batok Di Tangga.

Makna

Hampir semua orang tahu makna peribahasa ini, bukan? Tetapi yang saya baru tahu ialah, dari mana asalnya peribahasa ini?

Seorang sahabat saya menerangkan, batok ialah sejenis ‘gayung’ untuk mencedok air dan membasuh kaki di tangga rumah.

Selepas digunakan, seharusnya batok ini diletakkan semula di dalam tempayan air, atau atas penutup tempayan, bukannya diletakkan di atas tangga begitu sahaja.

Maka, tidak sempurnalah kerja sekadar melepaskan batok di tangga itu.Jadi peribahasa ini bermaksud orang yang melaksanakan kerja tidak sempurna atau dengan kata lain membuat kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Dari dahulu, ingatkan batuk-batuk di tangga rumah… haha!