Debat sebagai kehidupan

16 12 2009

Tadi, selepas saya merdeka daripada menjawab mengawas SPM, saya berkesempatan bermain bowling. Dengan anak didik sekolah, mereka kepingin hendak lawan cikgunya. Tidak mengapalah. Memang inilah dunia baru saya. Bila naik cuti nanti, lagi meriah melayan warga sekolah, baik suka mahupun duka.

Maka, saya ingin mengimbas kenangan dunia yang telah saya tinggalkan. Dunia ketika masih menuntut di UM. Atau lebih tepat, semasa bergelar pendebat.

Kerana mulut

Saya berkesempatan berada di UM semasa Pertandingan Debat Diraja tempoh hari. Saya redha terima caci-maki andai dikatakan UM penganjur paling teruk dalam sejarah Debat Diraha. Inilah akibatnya, mem’bakar jambatan’ antara diri dengan pengurusan universiti setelah bergelar graduan.

Tetapi, saya cukup tidak berkenan dengan satu situasi.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih buat alumni debat IPT seluruh Malaysia, sekalung apresiasi buat kalian atas sumbangan tenaga menjayakan debat sebagai hakim. Tanpa anda, pastinya Debat Diraja yang tempang itu akan terus lumpuh. Terima kasih.

Hadirnya alumni pendebat ini sebagai tetamu, maka wajib bagi tuan rumah untuk melayan. Namun, harus diingat, tetamu juga perlu untuk menjaga hati tuan rumah. Andai kata kita sebagai tetamu datang ke rumah yang kecil, lantas berkata, “eh, ko tak mampu nak beli rumah besar sikit ke?”, apa pula rasa hati tuan rumah.

Itulah yang berlaku kepada saya. Saya tidak kisah andai kata-kata biadap lazer ini berkenaan penganjuran. Makanan tidak segar, bilik tidak selesa. Tidak mengapa. Tetapi andai bait-bait kata lancang berbaur emosi dilemparkan, pasti penghormatan saya terhadap pendebat alumni ini akan luput. Malah, ada sebahagiannya pernah menjulang Anugerah Kecemerlangan Individu daripada MADUM.

Ada seorang pendebat alumni berkata kepada saya, “Ali, kertas di meja hakim tak cukup la.” Terima kasih daun keladi, kerana maklumkan kepada saya. Tetapi, amat sakit hati pabila ayat itu disambung “… takkan nak conteng kat meja, kerusi, tangan, semuanya… kan?”

Satu lagi situasi, apabila saya berkata kepada sekumpulan alumni pendebat yang sedang sibuk bersidang. “Minta maaf, nak maklumkan yang hakim-hakim boleh tuntut elaun di dewan sebelah dewan utama tu ya.” Ayat lancang yang saya dapat ialah “La… macam budak sekolah pulak nak gerak-gerak ni ek, macam rombongan sekolah pula.” Disambut pula dengan “La, lupa pulak. Cikgu la katakan.”

Sesungguhnya, bergelar sebagai pendebat itu hanyalah sebagai pertandingan. Maka, sindiran sinis, melazer, ayat lancang sekadar semasa perlawanan sahaja. Tetapi, inilah jadinya kalau debat itu sebagai kehidupan.

Tetapi, bukan semua pendebat begitu. Banyak lagi pendebat yang menjaga tutur bicara. Maka kepada alumni pendebat, fikirkanlah. Hormatilah. Kadangkala kita anggap itu gurau biasa, tetapi batasannya perlu dijaga, kerana kita semakin berusia, tutur bicara elok dijaga.

Apresiasi buat warga debat. Dunia debat itu kecil sahaja…





Selesai Cuti Sekolah

14 06 2009

Entri terakhir saya bertarikh 5 Mei.

Sudah lama, bukan?

Blog ini dibiarkan bersawang. Bukannya apa, sejak bekerja ni, kurang idea untuk menulis.

Kereta

JLP 6251

Setelah difikir masak-masak, selepas membuat perbandingan, akhirnya saya telah membeli sebuah kereta. Kereta pertama untuk diri saya, Proton Persona 1.6MT. Seronok juga mempunyai kereta sendiri. Kepada sesiapa yang berhajat membeli kereta pada range harag sekitar Proton Persona, saya mengesyorkan untuk anda membeli kereta ini. Boot besar, ruang luas, enjin 1.6 liter. Dalam ertia kata lain, berbaloi!

Debat dan Bahas

Saya ingin mengucapkan tahniah buat pasukan bahas BM Sek Men Agama Persekutuan Kajang atas kejayaan melayakkan diri ke pentas akhir Bahas BM PPM untuk kali kedua berturut-turut. Moga kejayaan akan bersama-sama kalian, InsyaAllah.

Buat adik-adik junior pasukan debat UM, moga kegagalan di UTM tempoh hari memberi kekuatan untuk mengembalikan kegemilangan yang telah kita sama-sama cipta. Jangan terlalu bersedih, dan moga kejayaan juga akan bersama-sama kalian, InsyaAllah. Ingat! Kita bukan sekadar ingin mengenang kegemilangan, tetapi lebih berat lagi untuk mengekalkannya.

Cuti Sekolah

lawnbowls

Cuti sekolah seperti bukan cuti. 29-31 Mei lepas, saya membawa pelajar SMK Tasek Utara ke perkhemahan tahunan di Gunung Arong. 1-3 Jun saya menghadiri kursus di Ulu Tiram. 7-11 Jun pula di Kompleks Lawn Bowl Bukit Kiara, ada kejohanan di sana. Di penghujung cuti begini, barulah boleh menarik nafas lega. Tetapi banyak kertas jawapan hendak ditanda!

Entah bilalah blog ini akan diupdate lagi. Kalian semua doakanlah agar saya diberi kekuatan (dan ilham). Kepada yang sedang berdiam diri, janganlah menyeksa diri ini. Sorry!

p/s : Semalam menonton peserta Jangan Lupa Lirik, Fahmy namanya. Sudah lama tidak melihat beliau sejak Malaysia Idol pertama…




Penyesalan

17 02 2009

Baru saya tahu hari ini….

Kalaulah Masitah UMP beritahu semasa panggilan telefon sabtu lepas, tentu saya tidak menyesal…





Coret Debat Terbuka ASTAR 09

5 02 2009

Debat Terbuka ASTAR (DTA) ke-13 sudah melabuhkan tirainya. Pengalaman indah menjalankan tugas sebagai ketua hakim akan menjadi satu pengajaran yang berguna untuk saya. Alhamdulillah, hampir semua pengalaman pernah saya rasa. Menjadi pendebat sudah, menjadi AJK pun sudah, menjadi hakim pun pernah, bergelar ketua hakim pun udah diredah.

Seperti kebiasaan, DTA akan menjadi medan setiap IPT membariskan pendebat-pendebat junior untuk menimba ilmu dan pengalaman. Medan perdebatan dijadikan satu peluang terbaik untuk semua mengasah bakat masing-masing. Sekalung tahniah buat kontinjen UM, dibarisi Munirah, Azzairi, Firdaus, Siti, Syazwan, Sara, Adeline dan Hasyim yang telah mempamerkan persembahan yang membanggakan. Untaian tahniah dan terima kasih juga buat Azizul, Zul, Azri dan Shen atas usaha tidak kenal jemu untuk membantu adik-adikmu.

Tahniah dan terima kasih juga buat mereka yang membantu saya untuk menjalankan tugas; Hazren, Zati, Fairuz dan Syam. Tanpa kalian, apalah makna diri ini. Chewah! Juga buat pendebat-pendebat senior yang banyak membantu saya dan memberi tunjuk ajar sepanjang DTA baik dari UM, mahupun dari IPT-IPT lain. jasa dan tunjuk ajar anda amat saya hargai.

Juga kepada semua panel hakim yang banyak memberikan kerjasama untuk DTA ini, andalah nadi DTA! Jujurnya, saya begitu terharu dengan komitmen beberapa pendebat yang begitu komited menjadi hakim sepanjang keenam-enam perlawanan awal, dan pusingan kalah mati bermula di peringkat octo-final.

Mohon mencadang.





Debat IKIM

20 01 2009

IKIMzizul

Alhamdulillah.

16 Januari 2009 menjadi satu makna yang bersejarah dalam hidup saya.

Debat Kefahaman Islami ke-6 menjadi saksi : UM berjaya juga melangkah ke pentas final, dan lebih manis lagi apabila berjaya meraih johan.

Dugaan, usah dikata. Kontroversi yang timbul terlerai dengan sikap IKIM dan UM yang professional. Jujurnya, saya kesal dengan semua isu yang timbul, namun kalau tiada ujian dariNya, tidak mungkin Dia akan kurniakan nikmat ini. Seorang pendebat senior pernah bersuara kepada saya, “…whatever you do, will reflect your institution…”. (Apa jua tindakan kamu, akan mencerminkan institusi yang kamu wakili). Thanks kepada pendebat senior itu, kata-kata anda memang memberikan pengajaran.

Apa-apapun, terima kasih tidak terhingga saya tujukan buat kedua ibu dan ayah; En Mohamed bin Ali dan Pn Norazan binti Ibrahim, kerana kalianlah diri ini begini, tidak jemu-jemu memberikan sokongan buat diri ini sejak dahulu. Tidak lupa buat Arbaktun, Asyiqin, Ariff dan Maisarah, kalianlah sumber kekuatan diri ini. Warga orator UM; Azizul Hakim, Zul Fadhli, Azri Zahier yang banyak memberi tunjuk ajar buat diri ini. Tidak dilupa kepada yang lain, tidak tertaip semua nama, namun kalian tetap di hati.

Buat pendebat-pendebat universiti lain, teruskanlah mewarnai arena debat IPT. Diri ini sudah lelah dan penat dengan sepak terajang dunia debat.

Kurangkan kontroversi, tingkatkan prestasi…

teamintegriti08

p/s : John, jangan sentap isu tersalah umum itu ya! Kita ini sesama universiti, kan?





Jarak : 700 km, sesaran : 0 meter

12 12 2008

6 negeri

Semalam saya kembali ke rumah. Saya sudah maklumkan dalam entri sebelum ini, saya berada di Kuantan sejak Selasa lepas.

Jauh juga saya berjalan. Hendak diceritakan satu-satu, penat la jadinya nanti. Yang menulis hilang mood, yang membaca hilang minat.

Cuma beberapa bingkisan yang ingin saya kongsikan:

1. Dalam masa seminggu, sudah 3 kali saya ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Semuanya urusan hantar-ambil Cik Nurul Asyiqin Mohamed.

2. Setelah bertahun-tahun meng’usha’ kereta Nissan Latio 1.8 edaran Tan Chong Motor milik En Ahmad Reduan, akhirnya saya berjaya memandunya dalm perjalanan UMP-Berjaya Megamall Kuantan-UMP. Kereta ini sangat best! Lain kalin bila datang Kuantan, nak pinjam la, boleh tak?

3. En Reduan dan Adam baru belajar maksud ‘tempat jin bertendang’. Ini semua gara-gara En Reduan membawa kami ke perumahan yang sunyi. Ada sesiapa yang masih tidak tahu maksud frasa ini?

4. Pesta teka-meneka berlaku semasa menonton filem Los dan Faun. Yang peliknya, ada seorang di antara kami yang sempat tidur! Siapa tu ya?! Penat sangat agaknya.

5. Jauh mengembara hingga ke Pekan mencari Murtabak Mengkasar. Rupa-rupanya pemiliknya masih cuti IdulAdha. Dan baru kutahu yang ada cawangan Murtabak Mengkasar di Kuantan.

6. Ali Asyraf dan Khairul Afizan mencapai kat sepakat : Donat Big Apple lebih sedap berbanding Murtabak Mengkasar. Hendak tahu kenapa? Tanya Afizan…

7. Ikan Patin tempoyak di R&R Temerloh tidak laku. Mengapa? Kerana saya dan kakak saya membawa bekalan dari rumah, iaitu Nasi Beriani Daging Korban hasil air tangan ayah. Hingga menjilat jari! Untuk tempahan, sila hubungi 013-7294***.Hihi!

8. Tiada satu gambar kenangan pun saya ambil kali ini. Kenapa? Entah!

9. Adam boleh menggondol anugerah ‘jawapan paling confident’. Pabila ditanya oleh rakannya, “ada tuala spare tak?’, jawapan ringkas yang diberi, dengan penuh yakinnya, “InsyaAllah…”. Ali, Fizan dan Hisyam ‘boink’ sebentar!

10. It’s a small world after all. Khairul Afizan terserempak dengan dua orang kakaknya (di ECM dan Pekan), saya pula ditegur oleh seorang guru SHAH Pekan, En Sukeri (cikgu Bahasa Perancis).

Ada lagi ke yang tertinggal? Yang lain tak berapa menarik rasanya. Lain kali, nak carik Madam Normal pula, nak sotong goreng tepung Tg Lumpur, boleh?

Oh ya! Rakan-rakan sekolah ingin ke JB hujung minggu ini. Nanti saya update ya!





Perjalanan seribu batu, bermula dengan langkah pertama…

5 12 2008

Kehidupan sebagai pendebat (ataupun pembahas) sudah sebati dengan jiwa saya. Segala-galanya bermula semasa di tingkatan dua (1999), ada pertandingan pidato peringkat sekolah. Maka, dari detik itulah saya diserap ke dalam pasukan bahas sekolah.

shahpekan

Pemula segala-galanya ialah insan yang bernama Encik Azaman Ahmad, kini  berkhidmtat di SBPI Pekan. Pada awalnya, saya dan junior-junior serta saudari Sakinah Al-Mubarakah (bekas pendebat UTM yg merupakan senior saya di SHAH) dihantar untuk menyertai Bengkel Debat UIA di Pusat Matrikulasi UIAM di Lembah Pantai ketika itu. Pada saat itulah, buat kali pertama, saya berpeluang mengintai pintu gerbang Universiti Malaya kerana Pusat Matrikulasi UIAM ketika itu berdekatan dengan UM.

Di SHAH Pekan, pendebat dididik bermula dari bawah. Bak kata Nuur Zaffan dalam entrinya, tugas sebagai seorang junior adalah membuat air, membeli makanan untuk senior, research fakta, dan pelbagai tugas lain. Bukan bermakna kami diabaikan, malah En Azaman tetap memberikan kami ilmu dan input berguna, walaupun kami bukan pembahas utama.

Liku hidup sebagai pembahas tidak selalunya indah. Detik ketika digugurkan daripada senarai peserta kontinjen SHAH ke HKSBP di Sek. Men. Sains Sultan Mohd Jiwa (2000) begitu terkesan sehingga hari ini. Ditambah pula dengan pencapaian pasukan bahas SHAH ketika itu berada dalam tahap membanggakan; pusingan separuh akhir, tewas kepada Kolej Melayu Kuala Kangsar.

SHAHdebat

Kesedihan itu tidaklah berpanjangan, kerana saya diberi peluang menyertai pasukan bahas utama pada tahun 2001. Tahun 2001 ini saya label sebagai tahun kecemerlangan SHAH di mana kami berjaya melangkah ke pusingan suku akhir dan berjaya mengalahkan KISAS, menjuarai Piala Datuk Syukor Abdullah dan Pidato Piala Diraja (saudara Saidul Adni Abd Latif). Kejayaan ini meletakkan nama SHAH sebaris dengan nama gergasi dunia perbahasan seperti MCKK, SAINA, KISAS dsb.

Bersama En Azaman

Kesudahannya, ada duka, ada suka. Kejayaan saya menyambung legasi SHAH Pekan sebagai wakil negeri Pahang ke Pertandingan Pidato Piala Diraja p’kat kebangsaan 2002 merupakan detik yang manis, walaupun tidak berjaya menempatkan di kedudukan 3 terbaik. Kisah dukanya ialah apabila tewas di pusingan awal PPM dan peringkat akhir Piala Datuk Shukor peringkat negeri meninggalkan kesan yang saya kira sebagai motivasi untuk diri saya.

26798866037486l

Pemergian saya dari SHAH Pekan menyaksikan kegemilangan sekolah saya tidak pernah putus. Nuur Zaffan sendiri mencatat sejarah sebagai pendebat handalan di Piala Jemputan UIAM 2003. Tidak terhenti di situ, adik-adik saya diterajui oleh Helmy Akmal, Amin Firdaus, Syukri Kamal, Syafiq Saifullah, Siddiq, Ikhwan Hibatullah dan ramai lagi meneruskan kegemilangan SHAH dalam pelbagai pertandingan bahas dan debat.

Semuanya bermula oleh En Azaman, dengan anak didiknya yang pertama mencatatkan sejarah di peringkat kebangsaan, iaitu saudari Khairunnisa’ Hj Esa, yang juga merupakan senior saya di Universiti Malaya. Pengajaran yang banyak telah disemai oleh En Azaman, antara lain adalah bahas ini lebih daripada sekadar kalah dan menang. Sifat rendah diri sentiasa diterap, baik menang walaupun kalah. Pergaulan dengan sekolah/pasukan lain perlu dijaga, bersosial dengan baik adalah perlu dan digalakkan, atas batasan yang sendiri ketahui.

Nama Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan mungkin tidak  segah SAINA, SMAP Kajang, MCKK, KISAS dan banyak lagi. Terpahat dalam hati ini nama-nama seperti Khairunnisa’ Esa, Sakinah Al-Mubarakah, Saiful Adni Abd Latif, Bellina Rosli, Nuur Zaffan Khalid, Nur Syuhadah Zainal Abidin, Erma Syafinaza, Sarini, Hafizah, dan banyak lagi. Apa-apapun saya bangga dengan reputasi SHAH Pekan di arena ini.

Perjalanan seribu batu, bermula dengan langkah pertama…





Debat Diraja 2008 : Teknikal dan Tajuk

4 12 2008

royal2008

Penganjuran Debat Diraja kali ini memberi satu ruang untuk pembaharuan.

Antara lain, penyertaan yang terlalu banyak, iaitu menjangkau 64 pasukan bagi debat BM menuntut penganjur (khususnya MADUM) untuk melakukan perubahan terhadap teknikal perdebatan.

Penganjuran di UiTM pada 2007 memulakan format baru iaitu setiap universiti boleh menghantar 4 pasukan; 2 utama dan 2 muda (junior). Peluang sebegini memang memberikan peluang untuk penyertaan yang banyak, tetapi beberapa isu akan timbul.

Memang sudah tradisinya, pasukan utama dan muda akan berentap dalam pusingan awal, tanpa mengira pasukan. Kaedah begini memberikan cabaran buat kedua-dua kategori. Pasukan muda akan menghadapi lawan yang berpengalaman, manakala pasukan utama akan dipaksa memerah tenaga menghadapi pasukan muda yang kadangkali mencetuskan perdebatan yang sukar untuk di’layan’. Atau dengan kata lainnya, pendebat muda seringkali tampil dengan idea tidak terduga dan keraguan yang sukar dijawab.

Sebolehnya, untuk penganjuran akan datang, MADUM boleh mengambil langkah untuk menambah jumlah perlawanan peringkat awal, bukan sekadar 6 perlawanan sahaja. Ini perlu bagi memastikan kesahan atau validity ranking pasukan untuk penentuan ke pusingan kalah mati. Kaedah memisahkan kedua-dua kategori utama dan muda, tanpa menambah jumlah perlawanan juga boleh dibuat, namun ini akan mengurangkan keseronokan dan cabaran untuk perdebatan.

Selain itu, kaedah pemilihan usul juga perlu diperhalusi. Tindakan mencampurkan semua usul menyebabkan perdebatan menjadi bertambah bosan. Jika diberikan pilihan, pendebat sudah tentu akan mencari tajuk yang senang didebatkan dan pasukan pembangkang sudah tentu akan membuang tajuk humor/mantik.Ada di kalangan hakim yang bersuara, “pilihlah tajuk yang berlainan dan memberikan unsur kelainan”. Masalahnya, kami juga perlu berfikir strategi berdebat untuk memilih tajuk. Pasukan saya sendiri, daripada 6 perlawanan pusingan awal, 5 daripadanya berdebat atas isu perpaduan rakyat. Agak bosan recycle fakta sebenarnya. Maka saranan saya agar tajuk dipisahkan kategorinya, sebagaimana Interschool Debate anjuran UIAM.

Selain menjadikan perdebatan menjadi bosan, tindakan mencadangkan usul yang terlalu banyak dalam isu yang berat-berat juga memberikan kelebihan kepada kuasa besar debat IPT seperti UIAM untuk mendominasi perlawanan. Ini akan merugikan dan solah-olah meminggirkan pasukan-pasukan lain untuk menyerlah. Pengalaman saya berkongsi ilmu dengan pendebat UMP menyedarkan saya yang universiti-universiti lain punyai kekuatan tersendiri yang akan mampu menewaskan pasukan handalan. Cuba bayangkan UIAM berdepan dengan pasukan lain dalam isu hiburan, ataupun melawan UPM dengan tajuk sains dan teknologi, ataupun UPNM diberi peluang membincangkan isu keselamatan. Baru seimbang, bukan?

Dalam perlumbaan Formula Satu (F1), apabila Ferrari dan Mclaren terlalu mendominasi perlumbaan, badan induk FIA telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan dominasi kedua-duanya, yang akhirnya membolehkan perlumbaan F1 menjadi menarik semula. Barulah kita dapat lihat keseronokannya. MADUM juga boleh melaksanakan usaha yang sama, jangan sehingga satu hari nanti, perdebatan menjadi semakin membosankan.





Debat Diraja 2008

4 12 2008

Debat Diraja 2008 sudahpun melabuhkan tirainya. Sekalian alam sudah maklum, pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menundukkan juara bertahan Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pusingan akhir. Rugi kepada sesiapa yang tidak hadir, kerana perlawanan ini saya sifatkan sebagai satu perlawanan akhir yang berkualiti.

Malam Anugerah MADUM 2008 memberikan kenangan yang begitu manis buat saya. Memperoleh Anugerah Kecemerlangan Individu adalah satu perkara yang tidak akan saya lupakan dalam detik-detik akhir bergelar sebagai seorang pendebat. Anugerah ini saya tujukan buat Ayah dan Ibu; En Mohamed Ali dan Pn Norazan Ibrahim, kerana kalianlah daku di sini. Juga untuk saudara tersayang, Arbaktun Mardiah, Nurul Asyiqin (yang turut menyertai kontinjen UPNM ke Debat Diraja 08) dan Ariff Asyraf. Buat konsultan tercinta, Azizul Hakim Abd Aziz, juga ahli-ahli UM yang lain; Azri Zahier Azmi, Mohd Zul Fadhli a.k.a Otel, Shahrizan Sarbini, Shen Yee Aun, dan banyak lagi nama yang telah membentuk diri ini. Tidak lupa kepada yang berkongsi kesedihan dan kegembiraan, Maisarah Razali.

dsc045531

Paling mengharukan dah penghargaan tidak terhingga, buat rakan-rakan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP). Jujurnya, lebih banyak perkara yang diri ini pelajari daripada kalian berbanding ilmu yang kucurah sekelumit cuma. Thanks to Adzwan, Raja, Syed a.k.a Faiz, Pjoyz, Khairul Afizan, Najmie, Masitah, Khairy, Firdaus, Nadya, Effendy, Jumain, Adam, Suria, Syahrul, Ika, Nurza, Arni, Helmy (ade lagi ke yang tidak ditulis?). Jasa kalian amat kuhargai. Jutaan terima kasih tidak akan dapat membalas segalanya!

dsc01372Terima kasih juga buat Khairul Anuar UKM yang bersama-sama menceriakan diri ini selepasa majlis penutup. Nasib baik ada insan kerdil ini. Jika tidak…?

Saya pasti akan membuat beberapa entri lagi tentang debat, mengenangkan saya sudah berada di penghujung dunia sebagai pendebat…





Diriku Pasca Debat Kepenggunaan 2008

22 10 2008

Entri ini mengambil masa yang sangat lama untuk ditaip.

Mengapa? Kerana sepanjang entri ini ditulis, diri ini berada dalam keadaan yang tidak stabil. Maka, walaupun idea untuk ditulis itu sungguh banyak, empangan minda ini tetap menghalangnya daripada mengalir keluar.

Debat Kepenggunaan telah diadakan di MMU Melaka pada 17-20 November lepas. Debat ini penuh kekangan, lantaran minggu-minggu akhir ini menuntut penumpuan terhadap 1001 perkara.

Setelah tamat majlis penutup tempoh hari, perasaan saya bercampur baur. Natijahnya, saya dilanda keadaan kemurungan. Tidak seronok untuk murung dan sedih sebenarnya.

Sekali lagi kem UM dilanda kesedihan. Kali ini, buat kali ke-3 berturut-turut, pasukan UM terkandas di pusingan separuh akhir. Pertama dengan UiTM di Debat Alam Sekitar, kemudian UTP di Debat Kemerdekaan, kali ini UIAM melenyapkan impian kami. Yang menariknya, pasukan yang mengalahkan kami, pasti menggondol gelaran juara kejohanan.

Diri ini sudah tidak larat sebenarnya menanggung kekalahan. Penat! So close but so far! Tetapi, jika difikirkan kembali, saya perlu bersyukur atas banyak perkara. Paling penting, percapaian UM begitu konsisten di separuh akhir. Saya juga perlu bersyukur kerana pernah dianugerahkan peluang yang begitu banyak di pentas final. Ada pasukan yang baru sekali merasa pentas itu, ada yang tidak pernah langsung, malah ada yang tidak berkesempatan menjengah pusingan suku akhir.

Edisi kali ini juga membenarkan aku menikmati detik-detik terakhirku sebagai seorang pendebat. Inilah peluangnya untuk mengecapi kemanisan berinteraksi dengan seluruh komuniti debat; pegawai MADUM, hakim, pendebat universiti lain. Setelah sekian lama berada dalam arena ini, aneka ragam pendebat yang sudah saya jumpa. Ada yang positif, tidak kurang yang negatif. Ragam inilah yang memberikan tafsiran kepada saya, yang mana kawan, yang mana sahabat.

Penghargaan tidak terhingga atas pengorbanan tanpa hadnya oleh Maisarah sepanjang Debat FOMCA kali ini. Saya ajak die berkongsi dunia debat ini, dan moga ia memberikan pengalaman berharga buatnya. Yang pasti, kek coklat ‘GOOD LUCK’ yang dikongsi bersama dengan ‘kontinjen itu’ telah memberikan tuah. Terima kasih, kerana tatkala diri ini terlalu terluka, awak ada sebagai pengubatnya. Entah apa yang saya nak buat kalau awak tak bawa saya jalan-jalan malam tu. Syukran jazilan.

Tidak puas sebenarnya, 4 hari di Melaka. Biasanya, hari Isnin, baru tamat pusingan separuh akhir. Namun, kali ini, tengah hari Isnin adalah waktu perpisahan semua pendebat. Laju benar masa berlalu. Berminggu-minggu detik ini dinantikan, setiap saat dinikmati, kesudahannya kesedihan yang diperoleh.

Saat paling manis bagai terpadam, apabila melihat senyum di muka insan-insan tersayang luput, dek perjuangan yang tamat begitu rupa. Sudah saya katakan, saya sudah penat dengan kekalahan. Saya sudah penat melihat muka kecewa Azizul Hakim dan Zul Fadhli. Saya sudah penat melihat wajah sedih Azri Zahier, yang bersama-sama saya menempuh ketiga-tiga kekalahan ini. Penat!

Namun, benar kata Maisarah. Tatkala saya di tahap sebegini hina, saya perlu bersyukur kerana masih ada insan yang menjulang saya tatkala saya dalam kesedihan. Terima kasih kepada sahabat setia dalam dunia debat, sokongan kalian amat diperlukan dan dihargai. Benar juga kata-kata ini:

WINNING DOESN’T ALWAYS MEAN BEING FiRST, WINNING MEANS YOU’VE DONE BETTER THAN YOU’VE DONE BEFORE

Rangkuman edisi Debat FOMCA kali ini, saya seperti tidak mahu meninggalkan MMU, saya tidak mahu tinggalkan bumi Melaka, saya tidak mahu meninggalkan semuanya sebagai satu memori. Namun, itu ibarat mengejar fatamorgana; semakin dikejar, semakin ia tiada. Cukuplah Tuhan kurniakan ia sementara, agar ia menjadi detik-detik manis yang dihargai…