Mengapa Gerhana Berwarna Merah?

11 12 2011

Salah seorang anak murid sms malam tadi, “Tadi cikgu cakap pembiasan cahaya dri bumi buat kale bln 2 merahkan… chye bumi kale ape?” (Abaikan cara penulisan sms itu, haha!)

Merah

Mengapa semasa gerhana bulan penuh, bulan berwarna kemerahan dan bukannya gelap dan terus hilang dari pandangan? Unik bukan? Kuasa Tuhan…

Ini berlaku kerana pembiasan cahaya oleh atmosfera Bumi. (Penerangan berikut mempunyai konsep sains). Cahaya matahari mempunyai banyak gelombang warna, dari merah sehingga ke ungu yang mempunyai panjang gelombang yang berbeza. Gelombang yang mempunyai panjang gelombang berbeza ini akan dibiaskan oleh atmosfera bumi pada kadar berbeza. Kesannya, warna merah akan lebih dominan daripada warna-warna lain (seperti waktu senja).

Dan warna ini letaknya pada bayang-bayang bumi dan akhirnya menyebabkan perubahan warna pada permukaan bulan semasa gerhana. Gambar di bawah menerangkan tentang fenomena ini, termasuklah bayangan bumi sekirangan kita berada di bulan semasa gerhana.

 





Titis Air Hujan

10 12 2011

Kebanyakan daripada kita menyangka bahawa bentuk titis air hujan ialah seperti bentuk ‘teardrops’, bulat di bahagian bawah dan tajam di bahagian atas, seperti gambar berikut.

Nyata fakta ini silap! Haha! Bentuk sebenar titis air hujan ialah seperti berikut.

Penjelasannya? Sebenarnya bentuk titisan air ialah sfera, disebabkan daya lekitan (cohesive force) antara molekul air. Namun, semakin laju pergerakannya menghampiri bumi, rintangan udara menyebabkan bahagian bawah titisan air itu akan ‘meleper’, dan semakin lama, rintangan ini akan mengubah bentuk dan mungkin akan ‘memecahkan’ titisan ini kepada titisan yang lebih kecil. Dan apabila semakin mengecil, bentuknya akan semakin sfera, kerana kurang mengalami rintangan udara.

Tetapi, bentuk seperti ‘teardrop’ itu lebih menarik, walaupun secara meteorologinya, ia salah…

 





Melepaskan Batok Di Tangga

8 12 2011

Satu ilmu yang saya dapat semasa menjadi pengawas SPM. Bagus juga bergaul dengan banyak guru dalam bidang berbeza.

Saya belajar peribahasa; Melepaskan Batok Di Tangga.

Makna

Hampir semua orang tahu makna peribahasa ini, bukan? Tetapi yang saya baru tahu ialah, dari mana asalnya peribahasa ini?

Seorang sahabat saya menerangkan, batok ialah sejenis ‘gayung’ untuk mencedok air dan membasuh kaki di tangga rumah.

Selepas digunakan, seharusnya batok ini diletakkan semula di dalam tempayan air, atau atas penutup tempayan, bukannya diletakkan di atas tangga begitu sahaja.

Maka, tidak sempurnalah kerja sekadar melepaskan batok di tangga itu.Jadi peribahasa ini bermaksud orang yang melaksanakan kerja tidak sempurna atau dengan kata lain membuat kerja dengan tidak bersungguh-sungguh.

Dari dahulu, ingatkan batuk-batuk di tangga rumah… haha!





First Class

16 06 2011

Mengapa tajuk entri ini ‘First Class’?

Kerana saya amat tertarik dengan filem X-Men yang terbaru ini; X-Men : First Class.

Ada yang berpendapat, filem ini okay sahaja. Bagi saya, filem ini menarik. Amat! Walaupun ia merupakan sebuah re-boot untuk filem Hollywood, tetapi tetap ada kesinambungan dengan siri filem sebelum ini. (Tertarik dengan adegan semasa Prof X dan Erik berjumpa dengan Wolverine). Dan lagi satu yang menarik, muziknya. Buat pertama kalinya, setelah muzik tema villain Darth Vader pada tahun 1980an, muzik tema Magneto dalam filem ini sangat terkesan dengan wataknya. Sangat!

Kesan

Namun yang saya ingin tekankan ialah soal pilihan. Dalam filem ini, watak Erik Lensherr a.k.a Magneto sangat dominan. Terlalu besar kesan peristiwa yang berlaku ke atas dirinya, hingga melahirkan insan seperti Magneto itu. Sungguhpun bersahabat baik dengan Prof Charles Xavier, tetap tidak dapat mengubah pendiriannya (semasa Magneto mengambil keputusan untuk memusnahkan kesemua kapal perang AS dan Soviet).

Watak Darth Vader dalam Star Wars juga begitu. Apabila Anakin Skywalker terlalu terkesan dengan apa yang berlaku ke atas dirinya (dan emaknya), akhirnya mengambil jalan yang salah untuk memilih jalan hitam (Dark Side of The Force) hinggakan guru merangkap mentor merangkap sahabat malah diakui seperti abang sendiri iaitu Obi-Wan Kenobi pun gagal merubah pendirian Darth Vader.

Pilihan

Apabila dikaitkan dengan dunia saya sebagai warha pendidik, semuanya terletak pada pilihan diri. Seorang guru hanya mampu bertindak umpama membawa kuda kepada air; terpulang kepada kuda itu sama ada untuk minum air itu ataupun tidak. Terpulang kepada para pelajar sama ada untuk memilih jalan yang baik, atau jalan yang tidak baik.

Perlu diingat! Kesemua pilihan pelajar itu bergantung kepada persekitarannya. Jika Magneto dan Darth Vader telah menerima layanan buruk dalam hidup, pilihan mereka jelas dan nyata akan ke arah kejahatan. Maka, saya tidak mahu menjadi seorang guru yang boleh menyebabkan pilihan anak murid saya ke arah kejahatan. Walaupun ada ketikanya terdetik di fikiran saya, amat cool menjadi seperti Magneto! Haha!

Penutup entri ini, saya ingin memetik beberapa baris ayat yang dikarang oleh Dorothy Law Nolte, seorang penulis puisi berkaitan keibubapaan (parenting). Saya pernah menulis puisi ini dalam entri sebelum ini. Dan perlu diingat, ilmu takkan luntur dek ulangan.

If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with sharing, they learn generosity.
If children live with kindness and consideration, they learn respect.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

Di sekolah saya, puisi ini dipapar sebesar-besarnya di atas banner. (Diterjemah dalam Bahasa Malaysia)

Dan saya rasa, kata-kata di banner ini ialah untuk guru, dan bukannya murid.





Perkhemahan 2011

3 06 2011

Ada pelajar bertanya kepada saya, “Cikgu, cikgu ni tak macam cikgu lain la. Cikgu layan kepala dengan kitorang!”

Mungkin ada yang beranggapan bahawa itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi saya anggap ia sebagai satu pujian.

Cukuplah sudah ada guru-guru yang serius. Cukuplah sudah ada guru-guru yang garang. Cukup jugalah ada guru-guru yang bagai tidak ambil pusing dengan apa-apa. Biar saya jadi yang satu itu.

Nyata bila dinilai kembali, mengapa saya menjadi cikgu sebegini? Saya harus katakan bahawa inilah hasil didikan saya di sekolah dahulu. Saya dibentuk dengan ukhuwah sebaiknya dengan guru-guru, malahan dengan staf sekolah juga. Hujung minggu di bilik waden, pergi ke bank di pekan pada hari biasa dengan cikgu, berborak-borak tentang pelbagai perkara di bilik guru dan di tepi padang, ziarah rumah pembantu makmal. Pernah juga diundang oleh ustazah untuk berbuka puasa di rumahnya.

Pernah saya menulis di blog ini,

If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.
Jika seorang kanak-kanak hidup dengan suasana ramah-mesra, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah untuk kehidupan.

Saya mahu anak-anak murid saya belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah, maka saya amalkan keramah-tamahan itu. Tidak salah, bukan? Biarlah…

Perkhemahan

Sebenarnya, semua ini ialah refleksi diri selesai perkhemahan tempoh hari. 3 hari 2 malam yang menarik di Gunung Belumut benar-benar memberikan pengalaman indah untuk saya. Mendaki bukit, menuruni lurah, mandi di sebatang sungai (memetik kata-kata Hafis Salimin), memasak telur, seronok!

Buat anak-anak murid, terima kasih atas kerjasama kalian. Tidak keterlaluan andai saya rasakan yang kalian merupakan peserta terbaik yang saya pernah jumpa sejak kali pertama saya menyertai perkhemahan seumpamanya bermula 2009. Jujurnya, saya begitu terharu dengan Hafis Salimin. Selaku penghulu (dan peserta lelaki terbaik), saya harus katakan yang beliau telah melakukan tugas dengan sempurna. Sangat sempurna. Termasuklah mengejut saya pada jam 4.00 pagi kerana generator kehabisan minyak. (Bersopan sungguh cara mengejutkan saya, menepuk-nepuk hujung tapak kaki…)

Dan terima kasih tidak terhingga buat barisan rakan guru. Tanpa kalian, perkhemahan ini tidak akan menjadi nyata. Dan penghargaan ini saya khususkan buat tonggaknya; En Mohd Faisal, Pn Norhaimi dan Pn Aishah. Terima kasih…

Kredit untuk gambar di bawah; Pn Norliza Mohamad, Anis Suaidah. (klik untuk besarkan)

Sudah hampir setahun sejak perkhemahan tahun lepas…





Kongsi

29 01 2011

Dapat berbual dengan dia. Tentang itu. Terima kasih.

Maka aku terus mendapat suntikan semangat. Teruskan berjaya dalam kerjaya! Dorongan dan semangat rakan-rakan seperti Pn Fazilah, Pn Norfadzleen, Pn Surya (sekadar menyebut beberapa nama) sangat memberi inspirasi. Semuanya berkongsi.

Yup! Orang jawa kata, ‘Sharing is caring’. (Jangan argue dengan saya, memang orang jawa berkata ‘Sharing is caring’ pabila berkata dalam bahasa Inggeris). Untuk menunjukkan yang kita ambil berat, kita sentiasa berkongsi dengan orang itu.

Sebab itulah ibu ajak tengok kartun UP tadi, walaupun hanya 10 minit terawal. Dia seronok benar, berkongsi saat-saat menonton filem yang menyentuh perasaan itu.

Dan saya pun berkongsi fakta dengan ibu, bahawa filem Rapunzel tewas dengan Toy Story 3 dalam Golden Globe Awards baru-baru ini.

Semalam semasa memberi peralatan mengecat, tauke kedai turut berkongsi kegembiraan menyambut Tahun Baru Cina dengan memberikan limau kepada saya. Terima kasih.

Saya juga selalu berkongsi pengalaman dengan pelajar, daripada pengalaman indah menonton teater P.Ramlee The Musical di Istana Budaya, hinggalah ke pengalaman mudah dan kecil seperti menikmati sandwich Subway. (Yang dahulu ada di KOMTAR Johor Bahru).

Kadangkala berkongsi pendapat, tetapi bercanggah. Seperti kata saya yang mengatakan filem Ngangkung itu begitu bodoh, Pn Zanariah berkata pengajarannya begitu halus dan sinis, seperti babak doktor bersama pesakitnya. Saya tidak arif, itulah akibat tidak menonton sehingga ke penghujungnya. Huhu! Namun, percanggahan dan tidak selari ini bukti semua pendapat adalah subjektif pada individu.

Dan mungkin ada pihak menyatakan PhD itu lebih penting daripada gelaran Guru Cemerlang, malah ada juga yang menyatakan yang modul dan paperwork dalam pendidikan itu lebih penting daripada brainstorm kaedah penyampaian terbaik dalam P&P.

Yang penting kita berkongsi. Bagi menunjukkan prihatinnya kita pada orang lain. Bukannya berkongsi, bagi menunjukkan betapa indahnya kehidupan kita, agar dicontohi oleh orang lain. Jujurnya, saya tidak pernah lagi menyuruh anak murid saya menjadi pendebat seperti saya. Cukuplah dengan berusaha dalam bidang yang diimpikan dan dicita, itu sahaja.

Kongsilah. To get the full value of joy, you must have somebody to divide it with. Tapi jangan syok sendiri dalam berkongsi ya! Kelak mengundang nista. Dan derita.

Dulu selalu berkongsi ketawa tentang Panggilan Hangit bersama pelajar 4SN2 2009. Huhu!





Warisan

1 03 2009

Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) telah menyenaraikan beberapa Warisan Negara sejak tahun 2007. Baru-baru ini, KeKKWa juga telah mengeluarkan senarai baru yang terdiri daripada 173  warisan yang perlu sama-sama kita hargai.

Pada tahun 2007, KeKKWa telah menyenaraikan 50 warisan iaitu:

  1. Bangunan Parlimen
  2. Istana Negara
  3. Tiang bendera di mana bendera Malaysia pertama kali dinaikkan di Dataran Merdeka
  4. Bangunan Sultan Abdul Samad
  5. Bangunan Dewan Bandaraya dan Panggung Dewan Bandaraya
  6. Bangunan Stesen Keretapi Kuala Lumpur
  7. Bangunan Ibupejabat Keretapi Tanah Melayu
  8. Bangunan Pejabat Pos Besar , Jalan Raja, Kuala Lumpur
  9. Bangunan Jabatan Kerja Raya, Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur
  10. Residency Building, Jalan Dato’ Onn
  11. Masjid Negara dan Makam Pahlawan
  12. Carcosa Sri Negara
  13. Batu Caves
  14. Gereja St George, Pulau Pinang
  15. Bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur
  16. Tugu Negara
  17. Taman Kinabalu, Sabah (dalam senarai Warisan Dunia)
  18. Taman Negara Mulu, Sarawak (dalam senarai Warisan Dunia)
  19. Jalur Gemilang, bendera kebangsaan
  20. Jata Negara
  21. Muskat
  22. Keris Panjang Diraja
  23. Tengkolok Diraja
  24. Gandik Diraja
  25. Pending Diraja
  26. Keris Pendek Diraja
  27. Kalung Diraja
  28. Cogan Agama
  29. Cogan Alam
  30. Cokmar
  31. Cokmar Dewan Rakyat
  32. Cokmar Dewan Negara
  33. Bunga Raya
  34. Manuskrip Sejarah Melayu
  35. Penal Kod Melaka
  36. Manuskrip Hikayat Hang Tuah
  37. Surat Pengistiharan Merdeka
  38. Perak Man
  39. Lagu Kebangsaan, Negaraku
  40. Mak Yong
  41. Wayang Kulit
  42. Bangsawan
  43. Joget Melayu
  44. Dondang Sayang
  45. Silat Melayu
  46. Ngajat
  47. Sumazau
  48. Sewang
  49. Rumah Terbuka Malaysia
  50. Tarian Singa di atas tiang

Itu dulu, tahun 2007…

Pada awal tahun 2009, senarai warisan telah ditambah dengan 173 warisan terbaru.
Bangunan

  1. Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Bangunan Big School, Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Kangsar, Perak
  2. Maktab Perguruan Sultan Idris (Universiti Perguruan Sultan Idris), Bangunan Suluh Budiman, Tanjung Malim, Perak
  3. Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi, Jalan Tukang Emas, Melaka Tengah, Melaka
  4. Masjid Kampung Kling, Jalan Tukang Emas, Melaka Tengah, Melaka
  5. Muzium Perak, Jalan Taming Sari, Taiping, Perak
  6. Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (Victoria Institution), Jalan Shaw, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  7. Bangunan Canselori, Dewan Tunku Canselor dan Panggung Eksperimen, Universiti Malaya, Jalan Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur300px-dewantunkucanselor
  8. Bangunan Stadhuys, Jalan Kota, Melaka Tengah, Melaka
  9. Gereja Christ, Jalan Kota, Melaka Tengah, Melaka
  10. Istana Lama Seri Menanti, Sri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  11. Masjid Jamek, Jalan Tun Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  12. Masjid Kampung Hulu, Jalan Kampung Hulu, Melaka Tengah, Melaka
  13. Stadium Merdeka, Jalan Stadium, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Tapak Arkeologi

  1. Bukit Jawa, Lenggong, Perak
  2. Gua Gunung Runtuh, Bukit Kepala Gajah, Perak
  3. Kota Tampan, Lenggong, Perak

OBJEK WARISAN (Ketara)

Koleksi Muzium

  1. Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1564-1570), Johor
  2. Duit Kijang Emas
  3. Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Alau’uddin Riayat Shah I (1527-1564), jOHOR
  4. Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Zainal Abidin II (1793-1808), Terengganu
  5. Pending Melayu
  6. Celepa Diraja Terengganu
  7. Tepak Sireh Sultan Abdul Samad
  8. Patung Avalokitesvara
  9. Loceng Gangsa
  10. Archa Budhha Duduk

Koleksi Balai Seni Lukis

  1. Lukisan Mencelop Batik (Cheong Lai Tong)
  2. Lukisan Lembu Berlaga (Tay Hooi Keat)
  3. Lukisan Madi Laut (Datuk Syed Ahmad Jamal)
  4. Lukisan Minah (Datuk Mohd Hoessein Enas)
  5. Lukisan Semangat Tanah, Air dan Udara (Patrick Ng Kah Onn)
  6. Lukisan Perayaan Pulau Pinang (Dato’ Chuan Thean Teng)
  7. Lukisan Kampung Nelayan (Chung Cheng Sen)
  8. Lukisan Conversation (Yong Mun Seng)
  9. Lukisan Bumi Yang Bahagia Lombong Bijih Timah Malaya (Abdullah Ariff)
  10. Lukisan As Night Begins (Tan Tiang Yeo)
  11. Lukisan Pemandangan (AB Ibrahim @ Ibrahim Abu Bakar)
  12. Lukisan In The Taiping Hills (Frank Swettenham)
  13. Lukisan Batu Serlin – Pahang River (Frank Swettenham)
  14. Lukisan Perak River From The Residency Kuala Kangsar (Frank Swettenham)
  15. Lukisan The Great Office That Stands On Kangsar’s Hill (Frank Swettenham)
  16. Lukisan Raft Boatman On Pahang River (George Giles)
  17. Lukisan Che Ali (George Giles)
  18. Lukisan Swettenham On Raft Leaving Permatang Tinggi (George Giles)
  19. Lukisan Boatman On Pahang River (George Giles)
  20. Lukisan River Pergau State Of Kelantan (William Samwell)
  21. Lukisan Market Place Telubin & Fish Market (William Samwell)
  22. Lukisan My Wife’s Wedding Dress (O. Don Peris)

Koleksi Arkib Negara

  1. Surat-surat Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah

Koleksi Arkeologi

  1. Alat Batu dalam Suevit – Bukit Bunuh, Lenggong, Perak

WARISAN TIDAK KETARA

Makanan

  1. Nasi Lemak
  2. Nasi Ayam
  3. Nasi Kunyit (Pulut Kuning)
  4. Nasi Tumpang
  5. Nasi Kerabu
  6. Nasi Dagang
  7. Nasi Himpit
  8. Nasi Goreng Kampung
  9. Nasi Ulam
  10. Ketupat
  11. Lemang
  12. Pulut Kukus Periuk Kera
  13. Mee Mamak
  14. Laksa
  15. Mee Kari
  16. Char Kuay Teow Pulau Pinang
  17. Laksa Johor
  18. Mee Siam
  19. Bubur Pedas Sarawak
  20. Bubur As-Sura
  21. Bubur Sum-Sum
  22. Bubur Kacang Hijau
  23. Sagu Gula Melaka
  24. Kuih Bingka Ubi
  25. Rendang
  26. Serunding
  27. Ayam Percik
  28. Manok Pansoh
  29. Masak Asam Pedas
  30. Gulai Tempoyak Ikan Patin
  31. Ikan Bakar
  32. Ikan Panggang Tanah Liat
  33. Gulai Lemak Umbut
  34. Gulai Lemak Cili Padi
  35. Gulai Asam Rom
  36. Kari Kepala Ikan
  37. Kurma Daging / Ayam
  38. Pajeri
  39. Masak Ikan dan Pisang Dalam Buluh
  40. Yong Tau Foo
  41. Daging Dendeng
  42. Ayam Panggang
  43. Botok-Botok Ikan
  44. Sambal Tumis
  45. Chilli Crab
  46. Teh Tarik
  47. Cendol
  48. Air Batu Campur (ABC)
  49. Air Kelapa
  50. Air Selasih
  51. Hinava / Umai
  52. Pekasam
  53. Tempoyak
  54. Otak-Otak
  55. Sambal Belacan
  56. Cencaluk
  57. Sambal Gesek Ikan Bilis
  58. Sate @ Satay
  59. Yee Sang
  60. Sata
  61. Telur Pindang
  62. Kerabu Mangga Muda
  63. Acar
  64. Kuih Keria
  65. Kuih Koci
  66. Akok
  67. Kuih Seri Muka
  68. Kuih Cara
  69. Kuih Bingka
  70. Kuih Bakul
  71. Kuih Bulan
  72. Kuih Cincin
  73. Kuih Bakar
  74. Kuih Sepit
  75. Apam Balik
  76. Pisang Goreng
  77. Keropok
  78. Opok-Opok
  79. Karipap
  80. Buah Melaka @ Ondeh-Ondeh
  81. Lempeng
  82. Bahulu
  83. Dodol
  84. Lempuk Durian
  85. Wajik
  86. Seri Kaya
  87. Halwa
  88. Agar-Agar
  89. Pulut Panggang
  90. Tapai
  91. Masalodeh
  92. Putu Mayam
  93. Maruku
  94. Roti Jla
  95. Roti Canai
  96. Tosai
  97. Penderam
  98. Kuih Lopis
  99. Laddu
  100. Ubi Kayu

Kesenian dan Kebudayaan

  1. Boria
  2. Tarian Zapin
  3. Gamelan
  4. Tarian Bhangra – Kaum Sikh
  5. Tarian Bharata Natyam – Kaum India
  6. Gendang Dua Puluh Empat Perayaan (Gendang Cina)
  7. Dikir Barat
  8. Pantun Melayu
  9. Syair
  10. Karya Pendeta Za’aba
  11. Tulisan Jawi
  12. Hikayat Munshi Abdullah
  13. Wau Malaysia
  14. Congkak
  15. Gasing
  16. Hikayat Malim Deman
  17. Hikayat Merong Mahawangsa

TOKOH ORANG HIDUP

  1. Encik Mohd. Bahroodin Ahmad – Bangsawan, Boria, Ronggeng dan Kebudayaan Baba Nyonya Pulau Pinang
  2. Encik Tan Hooi Song – Bapa Gendang Tradisi Masyarakat Cina
  3. Puan Losimin Majanil – Bobohizan Wanita Kadazan Dusun
  4. Puan Vatsala A/P G.R. Kurup – Penari, Kareografer, Pengarah Artistik Persembahan Tarian Klasik India @ Bharatanatyam
  5. Tuan Haji Abu Bakar bin Jaafar – Tukang Karang (Penyanyi) Boria Pulau Pinang
  6. Tuan Haji Ali Badron bin Hj. Sabor – Penglipurlara Corak Berlagu (Tradisi Lisan) Pantun, Syair, Gurindam, Masnawi, Kita’ah dan Rubai

Sudah kenal warisan negara? Baguslah. Moga-moga kita akan sama-sama menghargai warisan ini. Tetapi, ada sesuatu yang saya musykil. Panggung eksperimen UM turut tersenarai? Itu bukan sekadar perlu pelihara, itu perlu dipulihara dahulu!





Evolusi

6 11 2008

Saya pernah membaca buku karangan Harun Yahya, mengenai kejatuhan teori evolusi. Bahkan, Prof Madya Datuk Dr Azraei sendiri pernah berkata dalam kuliahnya betapa teori evolusi tidak boleh diterima, namun evolusi manusia adalah tepat.

Apa bezanya?

Teori evolusi oleh Charles Darwin mengatakan bagaimana semua organisma datang dari leluhur yang sama. Asal kehidupan daripada tindakan spontan kimia, yang menghasilkan sistem organisma seperti bakteria, kemudian berkembang sehingga ke hari ini. Teori yang pelik.

Namun, evolusi manusia (sebagaimana yang diceritakan oleh Pak Rae) di dalam kuliahnya adalah berkisar tentang bagaimana manusia mengalami perubahan demi perubahan, kewujudan pelbagai bangsa, mempunyai ciri-ciri fizikal dan budaya yang unik, yang semuanya datang dari leluhur yang sama; Adam dan Hawa.

Kesimpulan mudah : Jangan percaya teori evolusi Charles Darwin.

Seorang pensyarah di Jabatan Fizik Universiti Malaya, Prof Dr Wan Ahmad Tajudin Wan Abdullah adalah antara penulis blog yang berjaya mencuri perhatian saya (dan saudari Maisarah juga). Penulisannya banyak berkisar tentang persoalan-persoalan yang gagal dijawab oleh teori evolusi. Mari kita lihat, beberapa persoalan yang beliau timbulkan :

1. Dari mana kucing belajar mengambus najisnya?

kucing-bertandas

2. Buah rambutan mempunyai rambut. Kalau benar teori evolusi, apakah kepentingan rambut buah rambutan dalam menentukan kemandiriannya?

3. Mamalia yang datang bulan (datang haid) hanyalah manusia. Mengapa?

4. Survival of the fittest adalah tautologi. Tautologi itu merupakan suatu bentuk pengulangan. Survival of the fittest itu merupakan prinsip utama teori evolusi. Maknanya?

Blog seperti ini, barulah cetusan idea namanya? Tetapi, jangan bandingkan saya dengan beliau ya! Beliau ada PhD dari University of London, pada 6 November 1985. Saya belum lahir lagi ketika itu!

Kurikulum pendidikan kita perlu semakan. Perincikan penerangan teori evolusi dan buang fakta yang mengatakan Pluto adalah sebuah planet. Peliknya, PAS acapkali mengecam dasar pendidikan, terutamanya PPSMI, tetapi tidak pula sedar akan perkara ini. Nampak sangat kecamannya atas emosi, bukan atas kajian menyeluruh. Kalau tidak, sudah lama PAS membongkar isu ini, bukan?





Nak hilangkan pedas?

3 11 2008

Entri ini adalah extended version daripada fakta ke-8 daripada entri Fakta Menarik II.

8. Rasa pedas bukanlah dikesan oleh tunas rasa, sebaliknya dikesan oleh deria kesakitan di lidah, yang diransang oleh bahan kimia dalam makanan pedas seperti cili. Sebab itulah, rasa ‘pedas’ boleh dirasa oleh tangan, esofagus dan perut.

Mengapa saya teringin menghuraikan lebih lanjut? Kerana saya juga ingin berkongsi cara menghilangkan pedas cili.

Rasa pedas dalam cili (ataupun bahan-bahas pedas lain) adalah disebabkan oleh sejenis bahan kimia yang dipanggil Capsaicin, iaitu sejenis bahan kimia yang meransang deria sakit, atau lebih tepat mengwujudkan rasa terbakar (burning sensation).

Rasa pedas ini hanya dapat dirasai oleh membran yang bermukus. Sebab itulah, jika tangan kering, tidak terasa ‘kepedasannya’.

Untuk hilangkannya? Disebabkan ia mengwujudkan rasa ‘terbakar’, cara senang untuk hilangkannya ialah dengan menggunakan bahan yang sejuk (air sejuk contohnya), tetapi bahan kimia capsaicin ini tidak larut dalam air, maka ia hanya memberikan kelegaan yang sekejap sahaja.

Cara paling berkesan ialah mengambil bahan-bahan tenusu (seperti susu dan yogurt) kerana ia mempunyai kasein, yang boleh melarutkan bahan kimia itu.

Tidak percaya? Cuba sendiri. Selepas ini, boleh elak makan nasi berulamkan air ketika pedas!





Pokok rambutan

10 09 2008

Pokok rambutan di laman rumah agak kecil. Kalau diandaikan dedaunannya membentuk sfera, mungkin sfera itu berjejari 2 m. Secara naifnya, luas permukaan daun yang kena cahaya suria langsung mungkin

Π × r2 = Π × 22 = 12.6 m2

Proses fotosintesis menyerap 20 µmol karbon dioksida setiap meter persegi sesaat. Dalam 12 jam siang dalam sehari, pokok rambutan di laman rumah melupuskan

12 jam ×60 minit × 60 saat × 20 µmol x 12.6 m2 = 11 juta µmol atau 11 mol

11 mol × 22.4 (jisim molekul relatif karbon dioksida) = 246 liter isipadu karbon dioksida.

Sebagai perbandingan, 250 kotak susu seliter bukanlah jumlah yang sedikit!

—————

Proses fotosintesis menyerap 8 foton per molekul karbon dioksida. Foton dengan jarak gelombang 960 nm bermakna,

E = hc / λ = (6.6 × 3) / 960 femtoJoule tenaga (h = 6.6 × 10-34 Js).

Jadi setiap saat, pokok rambutan di laman rumah meresap

20 × 12.6 × 8 × 6.6 × 3 × 6/9600 kJ = 24.8 kJ tenaga,

atau pun ia meresap dengan kuasa 24.8 kW. Sementara penyaman udara di bilik berkuasa 1.5 hp = 1.5 × 746 W = 1.1 kW. Pokok rambutan di laman rumah seperti 24 penyaman udara di bilik!

—————

Proses fotosintesis juga menggunakan satu molekul air per molekul karbon dioksida. Jadi pokok rambutan di laman rumah menyerap dari tanah 20 ×12.6 mikromol air per saat, ataupun 20 × 12.6 × 18 nanoliter per saat = 4.5 mikroliter per saat = 0.27 mililiter per minit = 16 ml sejam.
Tak banyak sangat. tetapi menyumbang juga kepada saliran banjir…

Sumber : http://mysarah.wordpress.com/ yang memetik sumber Prof Wan Ahmad Tajuddin (WATWA), Jabatan Fizik, UM.

p/s = thanks sarah! I found that this entry is very interesting!