Muzikal

20 06 2011

“Sayangnye mu tak pergi teater The Curse tu. Best!”

Pn Norfadzleen berkata begitu pada saya. Memandangkan saya memang suka menonton muzikal, saya memang terasa rugi. Sedangkan malam yang sama (18 Jun lepas), saya merewang sampai ke Kota Iskandar. Haha!

Teater muzikal The Curse yang dipentas di DSI UTM tempoh hari merupakan naskah literature component untuk subjek bahasa Inggeris SPM, dipentaskan oleh pelajar SMK Permas Jaya 3. Katanya, diarahkan oleh warga ASWARA. Memang rugi la! (Dan untuk makluman semua, banyak lagi pementasan di venue berbeza; Johor Jaya, Pagoh, Segamat, dan Kluang). Maklumat lanjut, sila ke http://thecursetheatre.blogspot.com/.

The Lion King

Saya juga sangat teruja apabila mendapat tahu yang The Lion King Musical kini dipentaskan di Singapura. Teruja yang amat! Jika diikutkan hati, memang hendak ke sana. Pedulikan Universal Studios yang belum saya kunjungi itu, saya lebih berminat untuk menonton versi muzikal The Lion King itu. Tiket paling murah? SGD65. Pergh!!! Lantas saya hanya mendownload album The Lion King (1997 Broadway Cast) untuk mengurangkan keterujaan itu. Dan klip di bawah ini ialah salah satu lagunya, iaitu Shadowland. Pencinta The Lion King pasti menggemari lagu ini.

The Secret World of Nora

Ini satu lagu muzikal yang menimbulkan rasa excited berlebihan. Apabila Tiara Jacquelina mengumumkan ingin mementaskan satu muzikal lagi, saya terasa ingin menontonnya. Tetapi, niat itu dipendamkan dahulu. Muzikal terakhir saya tonton ialah Terima Kasih Cinta. Yang syahdu…

Terbaik?!

Muzikal terbaik pernah saya tonton? Sudah pasti P.Ramlee The Musical musim pertama. Sehingga kini saya mengharapkan Puteri Gunung Ledang The Musical dipentaskan semula. Saya sudah berulang kali mendengar soundtracknya, tetapi tidak pernah berpeluang menonton pementasannya.

Tetapi ada yang mengatakan, P.Ramlee The Musical lebih hebat? Entahlah!





First Class

16 06 2011

Mengapa tajuk entri ini ‘First Class’?

Kerana saya amat tertarik dengan filem X-Men yang terbaru ini; X-Men : First Class.

Ada yang berpendapat, filem ini okay sahaja. Bagi saya, filem ini menarik. Amat! Walaupun ia merupakan sebuah re-boot untuk filem Hollywood, tetapi tetap ada kesinambungan dengan siri filem sebelum ini. (Tertarik dengan adegan semasa Prof X dan Erik berjumpa dengan Wolverine). Dan lagi satu yang menarik, muziknya. Buat pertama kalinya, setelah muzik tema villain Darth Vader pada tahun 1980an, muzik tema Magneto dalam filem ini sangat terkesan dengan wataknya. Sangat!

Kesan

Namun yang saya ingin tekankan ialah soal pilihan. Dalam filem ini, watak Erik Lensherr a.k.a Magneto sangat dominan. Terlalu besar kesan peristiwa yang berlaku ke atas dirinya, hingga melahirkan insan seperti Magneto itu. Sungguhpun bersahabat baik dengan Prof Charles Xavier, tetap tidak dapat mengubah pendiriannya (semasa Magneto mengambil keputusan untuk memusnahkan kesemua kapal perang AS dan Soviet).

Watak Darth Vader dalam Star Wars juga begitu. Apabila Anakin Skywalker terlalu terkesan dengan apa yang berlaku ke atas dirinya (dan emaknya), akhirnya mengambil jalan yang salah untuk memilih jalan hitam (Dark Side of The Force) hinggakan guru merangkap mentor merangkap sahabat malah diakui seperti abang sendiri iaitu Obi-Wan Kenobi pun gagal merubah pendirian Darth Vader.

Pilihan

Apabila dikaitkan dengan dunia saya sebagai warha pendidik, semuanya terletak pada pilihan diri. Seorang guru hanya mampu bertindak umpama membawa kuda kepada air; terpulang kepada kuda itu sama ada untuk minum air itu ataupun tidak. Terpulang kepada para pelajar sama ada untuk memilih jalan yang baik, atau jalan yang tidak baik.

Perlu diingat! Kesemua pilihan pelajar itu bergantung kepada persekitarannya. Jika Magneto dan Darth Vader telah menerima layanan buruk dalam hidup, pilihan mereka jelas dan nyata akan ke arah kejahatan. Maka, saya tidak mahu menjadi seorang guru yang boleh menyebabkan pilihan anak murid saya ke arah kejahatan. Walaupun ada ketikanya terdetik di fikiran saya, amat cool menjadi seperti Magneto! Haha!

Penutup entri ini, saya ingin memetik beberapa baris ayat yang dikarang oleh Dorothy Law Nolte, seorang penulis puisi berkaitan keibubapaan (parenting). Saya pernah menulis puisi ini dalam entri sebelum ini. Dan perlu diingat, ilmu takkan luntur dek ulangan.

If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with sharing, they learn generosity.
If children live with kindness and consideration, they learn respect.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

Di sekolah saya, puisi ini dipapar sebesar-besarnya di atas banner. (Diterjemah dalam Bahasa Malaysia)

Dan saya rasa, kata-kata di banner ini ialah untuk guru, dan bukannya murid.





Perkhemahan 2011

3 06 2011

Ada pelajar bertanya kepada saya, “Cikgu, cikgu ni tak macam cikgu lain la. Cikgu layan kepala dengan kitorang!”

Mungkin ada yang beranggapan bahawa itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi saya anggap ia sebagai satu pujian.

Cukuplah sudah ada guru-guru yang serius. Cukuplah sudah ada guru-guru yang garang. Cukup jugalah ada guru-guru yang bagai tidak ambil pusing dengan apa-apa. Biar saya jadi yang satu itu.

Nyata bila dinilai kembali, mengapa saya menjadi cikgu sebegini? Saya harus katakan bahawa inilah hasil didikan saya di sekolah dahulu. Saya dibentuk dengan ukhuwah sebaiknya dengan guru-guru, malahan dengan staf sekolah juga. Hujung minggu di bilik waden, pergi ke bank di pekan pada hari biasa dengan cikgu, berborak-borak tentang pelbagai perkara di bilik guru dan di tepi padang, ziarah rumah pembantu makmal. Pernah juga diundang oleh ustazah untuk berbuka puasa di rumahnya.

Pernah saya menulis di blog ini,

If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.
Jika seorang kanak-kanak hidup dengan suasana ramah-mesra, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah untuk kehidupan.

Saya mahu anak-anak murid saya belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah, maka saya amalkan keramah-tamahan itu. Tidak salah, bukan? Biarlah…

Perkhemahan

Sebenarnya, semua ini ialah refleksi diri selesai perkhemahan tempoh hari. 3 hari 2 malam yang menarik di Gunung Belumut benar-benar memberikan pengalaman indah untuk saya. Mendaki bukit, menuruni lurah, mandi di sebatang sungai (memetik kata-kata Hafis Salimin), memasak telur, seronok!

Buat anak-anak murid, terima kasih atas kerjasama kalian. Tidak keterlaluan andai saya rasakan yang kalian merupakan peserta terbaik yang saya pernah jumpa sejak kali pertama saya menyertai perkhemahan seumpamanya bermula 2009. Jujurnya, saya begitu terharu dengan Hafis Salimin. Selaku penghulu (dan peserta lelaki terbaik), saya harus katakan yang beliau telah melakukan tugas dengan sempurna. Sangat sempurna. Termasuklah mengejut saya pada jam 4.00 pagi kerana generator kehabisan minyak. (Bersopan sungguh cara mengejutkan saya, menepuk-nepuk hujung tapak kaki…)

Dan terima kasih tidak terhingga buat barisan rakan guru. Tanpa kalian, perkhemahan ini tidak akan menjadi nyata. Dan penghargaan ini saya khususkan buat tonggaknya; En Mohd Faisal, Pn Norhaimi dan Pn Aishah. Terima kasih…

Kredit untuk gambar di bawah; Pn Norliza Mohamad, Anis Suaidah. (klik untuk besarkan)

Sudah hampir setahun sejak perkhemahan tahun lepas…





Kongsi

29 01 2011

Dapat berbual dengan dia. Tentang itu. Terima kasih.

Maka aku terus mendapat suntikan semangat. Teruskan berjaya dalam kerjaya! Dorongan dan semangat rakan-rakan seperti Pn Fazilah, Pn Norfadzleen, Pn Surya (sekadar menyebut beberapa nama) sangat memberi inspirasi. Semuanya berkongsi.

Yup! Orang jawa kata, ‘Sharing is caring’. (Jangan argue dengan saya, memang orang jawa berkata ‘Sharing is caring’ pabila berkata dalam bahasa Inggeris). Untuk menunjukkan yang kita ambil berat, kita sentiasa berkongsi dengan orang itu.

Sebab itulah ibu ajak tengok kartun UP tadi, walaupun hanya 10 minit terawal. Dia seronok benar, berkongsi saat-saat menonton filem yang menyentuh perasaan itu.

Dan saya pun berkongsi fakta dengan ibu, bahawa filem Rapunzel tewas dengan Toy Story 3 dalam Golden Globe Awards baru-baru ini.

Semalam semasa memberi peralatan mengecat, tauke kedai turut berkongsi kegembiraan menyambut Tahun Baru Cina dengan memberikan limau kepada saya. Terima kasih.

Saya juga selalu berkongsi pengalaman dengan pelajar, daripada pengalaman indah menonton teater P.Ramlee The Musical di Istana Budaya, hinggalah ke pengalaman mudah dan kecil seperti menikmati sandwich Subway. (Yang dahulu ada di KOMTAR Johor Bahru).

Kadangkala berkongsi pendapat, tetapi bercanggah. Seperti kata saya yang mengatakan filem Ngangkung itu begitu bodoh, Pn Zanariah berkata pengajarannya begitu halus dan sinis, seperti babak doktor bersama pesakitnya. Saya tidak arif, itulah akibat tidak menonton sehingga ke penghujungnya. Huhu! Namun, percanggahan dan tidak selari ini bukti semua pendapat adalah subjektif pada individu.

Dan mungkin ada pihak menyatakan PhD itu lebih penting daripada gelaran Guru Cemerlang, malah ada juga yang menyatakan yang modul dan paperwork dalam pendidikan itu lebih penting daripada brainstorm kaedah penyampaian terbaik dalam P&P.

Yang penting kita berkongsi. Bagi menunjukkan prihatinnya kita pada orang lain. Bukannya berkongsi, bagi menunjukkan betapa indahnya kehidupan kita, agar dicontohi oleh orang lain. Jujurnya, saya tidak pernah lagi menyuruh anak murid saya menjadi pendebat seperti saya. Cukuplah dengan berusaha dalam bidang yang diimpikan dan dicita, itu sahaja.

Kongsilah. To get the full value of joy, you must have somebody to divide it with. Tapi jangan syok sendiri dalam berkongsi ya! Kelak mengundang nista. Dan derita.

Dulu selalu berkongsi ketawa tentang Panggilan Hangit bersama pelajar 4SN2 2009. Huhu!





Merdeka

16 12 2010

Ingatkan calon peperiksaan sahaja yang bersorak kegembiraan. Saya yang merupakan pengawas STPM pun melonjak gembira sama! Haha!

Hari ini hari terakhir menjadi pengawas. Alhamdulillah. Baru boleh memikirkan tentang cuti yang tersisa. Dan jadual cuti sudah dirancang, tunggu masa sahaja!

Awal pagi sudah menarik hati saya. Mengapa? Buat pertama kalinya, saya terjumpa anggota polis trafik wanita yang mengawal lalulintas. Nasib baik tak berlaku kemalangan, kerana anggota trafik itu manis orangnya. Haha!

Selesai peperiksaan, saya mengunjungi tempat kesukaan saya. My favourite spot. Sudah tentu Plaza Larkin, untuk menikmati semangkuk Kacang Pool Haji yang lazat dan menyelerakan, sebagai ucapan tahniah pada diri sendiri kerana berjaya melaksanakan tugas sebagai pengawas.

Itu sahaja untuk hari ini. Mengapa entri seperti diari? Tiada idea tercetus hari ini. Tidak mengapalah, asalkan blog ini terisi…

(Gambar di atas sekadar hiasan, dengan mesej, “Saya sudah menonton Rapunzel sebanyak 3 kali…”)




Roti John KOMTAR

4 12 2010

Saya pernah menulis entri tentang roti john. Ibu dan ayah saya pandai membuat roti john. Sedap. Sangat sedap.

Dalam entri itu, saya menulis juga tentang roti john KOMTAR yang  sedap. Komen yang menarik perhatian saya ialah :

Salam. Ali Asyraf, saya ialah anak pakcik yang berniaga roti john di kebayan komtar. komtar masih renovation jadi abah saya sekarang berniaga di foodcourt Pandan JB. jadi, bolehla cari abah saya di sana. dia berniaga sebelah kedai ayam penyet.resipi roti johnnya masih sama. dia letak papan tanda roti john komtar. carilah yer di PANDAN. terima kasih…

Menarik. Inilah dia internet. Jika tidak, sukar untuk kembali menjejaki kedai itu

Dan tadi, setelah menonton Rapunzel : A Tangled Tale dengan ibu dan ayah saya, saya berkesempatan makan roti john KOMTAR, tetap di pasar borong Pandan.

Sedapnya masih seperti dahulu. Sudah cuba, baru tahu.





Berbual

20 09 2010

O.M.G!

Saya rasa semua tahu maksud O.M.G. Biasanya ditulis di facebook. Jarang pula meniti di bibir, lainlah kalau orang itu perasan omputih-wannabe. Huhu!

Tetapi, saya lebih suka untuk memerhatikan cara percakapan remaja zaman sekarang, anak-anak murid saya. Kadang-kadang, penggunaan nada dan intonasi tertentu akan melahirkan makna yang sangat unik. Contohnya, “Eh, pinjam kerja sekolah ko, nak salin la. Aku belum siapkan lagi!”. Jawapannya barangkali, “Dah siap plak kerja sekolah aku….” (dengan intonasi yang betul). Jawapan ini sebenarnya membawa maksud, “Aku belum siapkan kerja sekolah lagi la…”

Ada satu lagi yang saya belajar. Berbual. Bukan berbual yang membawa maksud berborak. Bukan yang itu. Contohnya si A mengatakan yang dia akan datang beraya ke rumah si B. Si B memberikan respon, “Jangan berbual lak…”. Maksudnya, jangan sekadar cakap je, tapi tak buat pun.

Tapi saya sangat tidak suka kalau terdengar budak-budak berkata, “Bapak dieeee…….!” . Terasa nak lempang jek!





Kembali… edisi selepas raya

19 09 2010

Macam-macam yang saya jumpa di facebook belakangan ini.

Hazim : SeLamAt PuLanG Ke AsRaMa..!!!
Shahrul Aidee : in my mind (come back to hostel)=pp
Faiz Ngasiman : offline . nak beraya dan terus menuju ke asrama . bye . jumpe lagi =(
Wan Hidayat (UPNM) : sudah kembali ke ‘sekolah’..dengan satu semangat baru.mungkin.
Alet : tak sabar nye nk jmpe kawan2 . nak dgr pngalaman raya dyeowg . hee
Effina : hurm…going back to UTM soon…..hurm…seriously xda mood langsung..urrgghhh
Farhan Mansor : Sape tanak balik hostel?? Angkat tgn..
Na’im Khalid : bubbye UMAH ku….harap2 dpt jmpe ko lg UMAH… esok da nk blek…sob2..T-T.. (mlm last on9)

Semuanya membawa maksud yang sama, yang pernah saya alami dahulu. Malasnya nak balik ke asrama!

Tetapi, kalaulah mereka ini berada di tempatku, perasaan itu mungkin berbeza. “Seronoknya jika dapat kembali ke asrama!”

Apa-apapun, selamat kembali ke sekolah ya! Buat rakan guru dan anak murid. Jangan malas-malas…

Teringat zaman sekolah dulu-dulu…





Alma Mater

22 03 2010

Kekuatan ada, idea pun ada, akhirnya ku coret sedikit di dalam blog ini.

Sekarang ini, saya begitu sibuk dengan persediaan majlis anugerah kecemerlangan di tempat saya bertugas. Baguslah! Setelah penat berhempas pulas, kini masa untuk memberikan penghargaan sebagai motivasi untuk yang menerima dan motivasi untuk pelajar lain yang melihat. Atas segala kejayaan dalam aspek akademik/kurikulum, pelajar akan diberi sedikit cenderahati tanda apresiasi.

Anugerah Kurikulum

Dahulu, semasa saya menjalani praktikal, saya juga berkesempatan menjadi sebahagian jawatankuasa majlis penganugerahan. Sebagaimana majlis di tempat saya bertugas sekarang, penganugerahannya juga berkaitan dengan akademik atau kurikulum. Baguslah! Dihimpunkan semua pelajar cemerlang akademik di sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang terkenal di Selangor sebagai apresiasi dan motivasi. Tetamu kehormat, bukan calang-calang. Diundang Timb Menteri Pelajaran ketika itu untuk menyampaikan anugerah. Baguslah!

Hari Anugerah Cemerlang

Tetapi, yang saya banggakan ialah dengan tempat saya bermula; Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan (SHAH Pekan). Hari Anugerah Cemerlangnya cuma satu, bukannya ada dua (satu untuk akademik, satu untuk ko-kurikulum). Hendak jimatkan duit? Bukan! Sama sekali bukan! Kerana Hari Anugerah Cemerlang di SHAH Pekan adalah kemuncak segala-galanya, diberi hadiah kepada pelajar terbaik akademik, dihargai juga pelajar cemerlang ko-kurikulum, malah dinobatkan pelajar yang cemerlang kedua-duanya. Tetamu kehormat hingga ke tahap Diraja! Meriahnya usah dikata, ibubapa yang datang menangis gembira!

Jujurnya, baik di tempat saya praktikal, mahupun saya bertugas, keadaannya tidak sama. Kerana diasingkan kedua-duanya; kurikulum dan ko-kurikulum.

Mengapa begitu jadinya? Kerana itulah, SHAH Pekan terbaik di hati saya! Alma mater….





Tidak Bersentuh Tangan

30 12 2009

Orang kata, pentas Istana Budaya bertaraf dunia. Maka, persembahan yang dipentaskan di sana juga bertaraf dunia.

Itu orang kata.

Kalau disebut hiburan orang kampung, kita mungkin terbayang hiburan yang biasa-biasa. Tetapi, siapa sangka. Kalau dahulu nelayan di Mersing hanya menari zapin tenglu pada petang hari, kini zapin tenglu sudah bertaraf antarabangsa.

Kerana zapin dipentaskan di Istana Budaya. Gema Zafana.

Saya berpeluang menonton Gema Zafana. Ini ialah pementasan kedua setelah pementasan pertama pada 2004.

Iklan-iklan yang dipasang cukup mengujakan. ‘Kerajaan Negeri Johor mempersembahkan, Gema Zafana, sebuah persembahan Zapin Johor’. Lantas, sejak Ogos lalu, saya tertunggu-tunggu, bilakah tiket mula dijual.

Dan untuk kali ini, saya duduk di ‘stalls’, aras paling bawah di Panggung Sari Istana Budaya, searas dengan pentasnya. Ini memberikan kesempatan kepada saya untuk naik ke pentas, sama-sama berzapin dengan penari-penari Gema Zafana. Ada rakan saya yang menonton pada persembahan hari terakhir, namun tiada sesi menari di atas pentas bersama-sama penari. Nasib saya bertuah barangkali, kerana malam pembukaan yang saya hadiri turut diserikan dengan kehadiran Dato’ MB Johor dan Tun Ahmad Sarji.

Satu perkara untuk difikirkan; menari zapin tidak bersentuh tangan antara  lelaki dan perempuan…