First Class

16 06 2011

Mengapa tajuk entri ini ‘First Class’?

Kerana saya amat tertarik dengan filem X-Men yang terbaru ini; X-Men : First Class.

Ada yang berpendapat, filem ini okay sahaja. Bagi saya, filem ini menarik. Amat! Walaupun ia merupakan sebuah re-boot untuk filem Hollywood, tetapi tetap ada kesinambungan dengan siri filem sebelum ini. (Tertarik dengan adegan semasa Prof X dan Erik berjumpa dengan Wolverine). Dan lagi satu yang menarik, muziknya. Buat pertama kalinya, setelah muzik tema villain Darth Vader pada tahun 1980an, muzik tema Magneto dalam filem ini sangat terkesan dengan wataknya. Sangat!

Kesan

Namun yang saya ingin tekankan ialah soal pilihan. Dalam filem ini, watak Erik Lensherr a.k.a Magneto sangat dominan. Terlalu besar kesan peristiwa yang berlaku ke atas dirinya, hingga melahirkan insan seperti Magneto itu. Sungguhpun bersahabat baik dengan Prof Charles Xavier, tetap tidak dapat mengubah pendiriannya (semasa Magneto mengambil keputusan untuk memusnahkan kesemua kapal perang AS dan Soviet).

Watak Darth Vader dalam Star Wars juga begitu. Apabila Anakin Skywalker terlalu terkesan dengan apa yang berlaku ke atas dirinya (dan emaknya), akhirnya mengambil jalan yang salah untuk memilih jalan hitam (Dark Side of The Force) hinggakan guru merangkap mentor merangkap sahabat malah diakui seperti abang sendiri iaitu Obi-Wan Kenobi pun gagal merubah pendirian Darth Vader.

Pilihan

Apabila dikaitkan dengan dunia saya sebagai warha pendidik, semuanya terletak pada pilihan diri. Seorang guru hanya mampu bertindak umpama membawa kuda kepada air; terpulang kepada kuda itu sama ada untuk minum air itu ataupun tidak. Terpulang kepada para pelajar sama ada untuk memilih jalan yang baik, atau jalan yang tidak baik.

Perlu diingat! Kesemua pilihan pelajar itu bergantung kepada persekitarannya. Jika Magneto dan Darth Vader telah menerima layanan buruk dalam hidup, pilihan mereka jelas dan nyata akan ke arah kejahatan. Maka, saya tidak mahu menjadi seorang guru yang boleh menyebabkan pilihan anak murid saya ke arah kejahatan. Walaupun ada ketikanya terdetik di fikiran saya, amat cool menjadi seperti Magneto! Haha!

Penutup entri ini, saya ingin memetik beberapa baris ayat yang dikarang oleh Dorothy Law Nolte, seorang penulis puisi berkaitan keibubapaan (parenting). Saya pernah menulis puisi ini dalam entri sebelum ini. Dan perlu diingat, ilmu takkan luntur dek ulangan.

If children live with hostility, they learn to fight.
If children live with acceptance, they learn to love.
If children live with sharing, they learn generosity.
If children live with kindness and consideration, they learn respect.
If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.

Di sekolah saya, puisi ini dipapar sebesar-besarnya di atas banner. (Diterjemah dalam Bahasa Malaysia)

Dan saya rasa, kata-kata di banner ini ialah untuk guru, dan bukannya murid.





Perkhemahan 2011

3 06 2011

Ada pelajar bertanya kepada saya, “Cikgu, cikgu ni tak macam cikgu lain la. Cikgu layan kepala dengan kitorang!”

Mungkin ada yang beranggapan bahawa itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi saya anggap ia sebagai satu pujian.

Cukuplah sudah ada guru-guru yang serius. Cukuplah sudah ada guru-guru yang garang. Cukup jugalah ada guru-guru yang bagai tidak ambil pusing dengan apa-apa. Biar saya jadi yang satu itu.

Nyata bila dinilai kembali, mengapa saya menjadi cikgu sebegini? Saya harus katakan bahawa inilah hasil didikan saya di sekolah dahulu. Saya dibentuk dengan ukhuwah sebaiknya dengan guru-guru, malahan dengan staf sekolah juga. Hujung minggu di bilik waden, pergi ke bank di pekan pada hari biasa dengan cikgu, berborak-borak tentang pelbagai perkara di bilik guru dan di tepi padang, ziarah rumah pembantu makmal. Pernah juga diundang oleh ustazah untuk berbuka puasa di rumahnya.

Pernah saya menulis di blog ini,

If children live with friendliness, they learn the world is a nice place in which to live.
Jika seorang kanak-kanak hidup dengan suasana ramah-mesra, mereka belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah untuk kehidupan.

Saya mahu anak-anak murid saya belajar bahawa dunia ini adalah tempat yang indah, maka saya amalkan keramah-tamahan itu. Tidak salah, bukan? Biarlah…

Perkhemahan

Sebenarnya, semua ini ialah refleksi diri selesai perkhemahan tempoh hari. 3 hari 2 malam yang menarik di Gunung Belumut benar-benar memberikan pengalaman indah untuk saya. Mendaki bukit, menuruni lurah, mandi di sebatang sungai (memetik kata-kata Hafis Salimin), memasak telur, seronok!

Buat anak-anak murid, terima kasih atas kerjasama kalian. Tidak keterlaluan andai saya rasakan yang kalian merupakan peserta terbaik yang saya pernah jumpa sejak kali pertama saya menyertai perkhemahan seumpamanya bermula 2009. Jujurnya, saya begitu terharu dengan Hafis Salimin. Selaku penghulu (dan peserta lelaki terbaik), saya harus katakan yang beliau telah melakukan tugas dengan sempurna. Sangat sempurna. Termasuklah mengejut saya pada jam 4.00 pagi kerana generator kehabisan minyak. (Bersopan sungguh cara mengejutkan saya, menepuk-nepuk hujung tapak kaki…)

Dan terima kasih tidak terhingga buat barisan rakan guru. Tanpa kalian, perkhemahan ini tidak akan menjadi nyata. Dan penghargaan ini saya khususkan buat tonggaknya; En Mohd Faisal, Pn Norhaimi dan Pn Aishah. Terima kasih…

Kredit untuk gambar di bawah; Pn Norliza Mohamad, Anis Suaidah. (klik untuk besarkan)

Sudah hampir setahun sejak perkhemahan tahun lepas…





Guru Ibarat Bulan

17 05 2011

If a doctor, lawyer, or dentist had 40 people in his office at one time, all of whom had different needs, and some of whom didn’t want to be there and were causing trouble, and the doctor, lawyer, or dentist, without assistance, had to treat them all with professional excellence for ten months, then he might have some conception of the classroom teacher’s job.

16 Mei

Betapa nikmatnya terasa menjadi guru itu. Terima kasih atas kurniaanNya. Atas segala kebolehan dan kemampuan yang ada pada diri, moga terus dikurniakan semangat untuk memberi manfaat pada orang lain. Ibarat kata mantan pengetua SMK Tasek Utara dalam ucapan semalam, “Guru itu bukan sekadar ibarat lilin, ia ibarat cahaya bulan. Menyinari bumi di kegelapan dengan cahaya baru daripada matahari.”

Buat anak-anak didik saya, “Kau tahu betapa kusayang padamu…”. “Dan aku terus menyanyi lagu ini untukmu….”. Akan saya semat kata-kata ini, sebagaimana diucapkan oleh sahabat guru saya, ” Teacher’s achievement is not how many A’s he produces, but how many live he changes and how many hearts he touches…”.

Kredit untuk foto : Sheikh Mohd Haikal Sheikh Nasser





Terima Kasih

28 04 2011

Setelah selesai perjuangan dalam Perbahasan Guru 2011, just want to share this.

Happiness keeps you sweet,
Trials keep you strong,
Sorrow keep you human,
Failure keep you humble,
Success keep you glowing,
God, faith and attitude keeps you going…

Terima kasih ibu dan ayah. Terima kasih Tn Hj Yahya (Pengetua SMK Bandar Seri Alam) dan Pn Maryam (GPK HEM SMK Taman Pelangi. Terima kasih Pn Zainab (Pengetua SMK Tasek Utara) dan rakan-rakan sejawat. Terima kasih anak-anak muridku. Terima kasih tiada terhingga buat Zahir Husin (SMK St Joseph), Arvanee (SMK Bukit Indah), Rosman dan Vijean. Aku pasti rindukan kalian, teammate bahas guru ku! Terima kasih semua…





Project it!

10 04 2011

Minggu cemerlang untuk warga Tasek.

Bermula dengan keputusan memberansangkan di Kejohanan Balapan & Padang MSSD Johor Bahru. (Masih belum membelanja Najib, sudah berjanji andai dia menggondol emas… dan sudah memperoleh emas itu)

Kemudian, pasukan bola sepak B18 pula melakar gelaran johan MSSD Johor Bahru. Di tempat sendiri.

Tidak cukup dengan itu, dua pasukan kawad melakar dua kejayaan di dua tempat berbeza. KRS (Naib Johan) dan Puteri Islam (Johan)

Hussein Lee ; Johan hafazan Majlis Tilawah Al-Quran daerah Johor Bahru, mewakili daerah ke peringkat negeri selepas ini.

Liga KPM tidak kurang hebatnya, membuatkan pasukan Sabah gigit jari di Kluang.

Adik-adik pasukan bola sepak B15 ingin menuruti jejak langkah seniornya, bermula garang dengan menggungguli saingan peringkat kumpulan.

Project It!

Maka, saya pun ingin mengumpul aura kemenangan pelajar SMK Tasek Utara untuk dibawa ke Segamat, untuk pasukan Johor dalam Bahas Guru sempena Hari Guru 2011 peringkat Kebangsaan Zon C.

Dan moga momentum kemenangan itu berterusan untuk semua.

Kalau nak menang, kena bayangkan kemenangan. Project the image. Project it!





Saya Cikgu Sains

4 04 2011

Tempoh hari, pertandingan bahas BM untuk zon bandar daerah Johor Bahru telah diadakan, di Sek. Tun Fatimah.

Pada hari itu juga, saya banyak terima pertanyaan, “Eh, dah balik ke? Macam mana budak-budak?”. Ada juga guru yang buat panggilan ke telefon genggam, “Apa khabar di zon bandar, kami di zon ini baik-baik sahaja.” Malah, apabila sampai ke rumah, mak saya pun ada berkata, “Ingatkan dah makan masa bawak budak bertanding tadi.”

Hari ini, Ahad. 4 hari selepas pertandingan itu. Seorang guru sekolah A menelefon saya, “Ali, sekolah awak satu zon dengan sekolah X kan? Macam mana performance sekolah X tu? Kuat tak? Sekolah saya nak lawan sekolah X tu peringkat daerah nanti.”

Saya cikgu sains

Jawapan saya untuk semua persoalan yang ditanya ialah, “Saya cikgu sains.”
Huraian kepada jawapan tersebut ialah, “Saya bukan cikgu BM.”
Huraian lanjutan ialah, “Bukan saya yang ditugaskan untuk membawa pasukan bahas sekolah.”
Buktinya ialah, “Saya tidak ke STF pada hari itu.” (Ini ialah skema huraian hujah ya!)

Tetapi saya seorang pembahas ya! Anyway, terima kasih buat En Norhashim Bahrin, Pn Hjh Mariam Shahrom, Pn Zaleha Masiman, Pn Raziah Abd Rahim, atas segala tunjuk ajar dan ilmu yang diberi. Dan kepada rakan sepasukan bahas guru BM Daerah Johor Bahru, En Md Arvanee Md Jani, En Zahiruddin Hussein, En Zulkifli Ibrahim, dan Pn Haslina Abd Rahman, anda semua yang terbaik!!!

Tangan terikat di langit, kaki terpasak di bumi. Jasad tidak seindah mimpi.





Disatukan

20 03 2011

“Badan penat. Nak ke reunion majlis Lutfi & Fisha, tak laratnya!” saya berkata dalam hati.

“Aik?! Malam ni ada reunion. Esoknya di tempat sama, ada jemputan kawan anak aku,” ayah berkata dalam hati.

Dua-dua berkata dalam hati. Maka, dua-dua tak pergi. Huhu!

M.L.O & Fisha

Tahniah untuk dua orang rakan saya ini. Sudah lama disatukan, sejak Februari. Tadi majlis belah lelaki.

Sempat juga berjumpa rakan lama matrikulasi, Nasrul Hadi dan Wahyuni. Ayah pun sama, jumpa rakan-rakan lama. Rupa-rupanya, ayah Lutfi sama tahun lahir dan sama sekolah dengan ayah saya. Itulah, malam sebelumnya dua-dua tak ke reunion, kalau tidak, sudah tentu lebih meriah dan teruja!

Seronok melihat persembahan yang pelbagai di majlis Lutfi & Hafishah; zapin, ghazal. Dan yang paling menarik, kumpulan Voice of Men, kumpulan nasyid Lutfi. Terkumat-kamit mulut Lutfi di atas pelamin, hendak menyanyi sama.

Fairus & Fiza

Tahniah buat sepupuku, Cikgu Fairus yang disatukan dengan Cikgu Fiza. Nak dijadikan cerita, Cikgu Fairus ni dulu sama sekolah dengan Cikgu Hafishah. Dekat-dekat je majlis korang kan….

First time saya jadi bestman. Cikgu Fairus kata, die pernah sekali sahaja jadi bestman. Dua bulan berikutnya, die kahwin. Adakah aku akan mengikut jejak langkahnya dalam masa dua bulan?! Haha!

Nyanyi

Sepeti biasa, majlis perkahwinan ada set karaoke dan DJnya. Barulah saya hendak mula menyanyi semula. Sudah empat bulan rasanya tidak berkaraoke. Empat bulan sudah cukup untuk membuatkan saya hilang suara. Oh, sudah empat bulan juga tidak mendengar Panggilan Hangit dan Can I Help You? (Yang ini tiada kena-mengena dengan nyanyian ya!)

Terima kasih buat Fairus & Fiza, kerana majlismu buat saya ingin menyanyi-nyanyi semula.





Pandang ke Timur

16 03 2011

Banyak benar isu yang timbul di Malaysia selepas gempa bumi di Sendai. Kita sama-sama hulurkan bantuan. Saya tidak mahu sentuh isu kartun Ultraman mahupun komentar Mak Mah yang hangat dibincangkan di CNN.

Pandang ke Timur

Bak kata Tun Dr Mahathir, “dah lama dah…”. Dah lama dah kita perlu pandang ke timur, lihat negara matahari terbit itu. Saya ada beberapa foto untuk dikongsi bersama, sebagai tanda perlu muhasabah diri sebagai rakyat Malaysia.

Jalan raya di Jepun selepas gempa bumi 9.0 pada skala richter.

Jalan raya di Malaysia yang ada hujan lebat.

Bangunan masih berdiri teguh tatkala dilanda Tsunami yang amat dahsyat.

Bumbung runtuh sendiri tanpa Tsunami atau gempa bumi.

Saya juga perlu belajar….





Suara Rakyat

16 02 2011

Saya terbaca satu artikel di malaysiakini.com.

Tajuknya menarik perhatian saya. Berkenaan buah fikir Dr Asri, bertajuk Tidak Mustahil Kuasa Rakyat Berlaku di Malaysia.

Dangkal

Bagi saya, komentar ini dangkal. Yang amat. Beliau begitu mendokong ‘kuasa rakyat di jalanan‘ yang pada beliau ‘tidak menggunakan kekerasan‘ dan ‘mereka hanya berbekal tekad dan iltizam untuk mengubah nasib mereka‘.

Beliau menambah dalam komennya, ‘perubahan boleh berlaku bukan dengan cara dulu tapi dengan cara baru, kuasa rakyat turun di jalan tanpa senjata, tanpa peluru dan hanya menzahirkan pendapat mereka‘.

Budak

Biar saya bawakan satu cerita.

Suatu ketika pada tahun 1998, berlaku demonstrasi menegakkan reformasi di Kuala Lumpur.

Tatkala itu, seorang budak lelaki berumur 13 tahun, yang amat meminati sains, berada di dalam kereta, bersama ayah dan ibunya. Niat di hati, ingin ke Planetarium Negara. Menambah ilmu.

Pertengahan perjalanan, bertembung dengan kesesakan lalu lintas. Puncanya? Demonstrasi di Masjid Negara. Budak lelaki itu sudah nampak Planetarium Negara di atas bukit itu, tetapi dek lautan orang ramai di situ, perjalanan tersekat.

Akhirnya, setelah menempuh kesesakan, budak lelaki itu tiba juga di Planetarium Negara. Tiada rezeki. Terlewat. Planetarium Negara sudah tutup. Gara-gara menghabiskan masa menempuh kesesakan demonstrasi jalanan.

Ribuan yang lain

Itu baru kisah duka seorang budak kecil. Bayangkan ribuan lagi impian, cita-cita, urusan, dan macam-macam hal lagi yang tidak dapat diselesaikan, dek kerana ‘kuasa rakyat’ yang menghancurkan ribuan lagi harapan rakyat.

Malahan jika kita intai kes di Mesir, berapa ramai pelajar kita yang terpaksa pulang ke tanah air? Malahan harga minyak, barangan semuanya naik. Pelabur? Sudah tentu akan lari. Kesudahannya, angkara suara rakyat, rakyat juga tanggung peritnya.

Maka saya seru kepada semua. Ini bumi Malaysia, bumi kita. Walau kita disogok dengan berita yang menutupi kebaikan pemerintah dengan kebanjiran hal-hal keburukan seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan, tidak menunaikan janji dan apa sahaja, jangan kita terperangkap dengan demokrasi barat itu, kononnya untuk menegakkan keadilan.

Rakyat yang sayangkan negaranya, tidak akan sekali-kali mengatakan negaranya tidak subur dan airnya kotor, tidak akan berkata penduduk dan budayanya bobrok, pemerintahnya zalim, dan kedaulatannya palsu.

Jika tanahnya tidak subur, dia akan baja dan suburkan. Jika airnya kotor, dia akan bersihkan. Jika penduduknya bobrok, dia akan atur dan harmonikan. Jika pemerintahnya zalim, dia diinsafkan atau gantikan dengan teratur, dan jika kedaulatannya palsu, dia akan kembalikan keasliannya.

Bukankah sudah lama, guru-guru di sekolah memberitahu bahawa sayangkan watan itu sebahagian daripada iman.

Oh ya, saya terlupa. Budak lelaki yang berumur 13 tahun dalam cerita di atas, itu saya. Terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengikutnya, kerana meleburkan impianku ketika itu.

 





Cerita Cinta Agung

7 02 2011

Entri ini ditulis selepas menonton filem Puteri Gunung Ledang, tadi. TV2.

Maafkan kanda dinda.
Jika dinda izinkan kanda berpijak pada tanah ini.
Dan menghirup nafas seudara degupan jantung dinda…
Berikan petunjuk. Berikan kanda petunjuk…
Sesungguhnya, kanda cintakan dinda.

Ini ialah bait-bait kata Hang Tuah dalam filem Puteri Gunung Ledang. Sangat puitis, sangat syahdu.

Tanah mana yang aku pijak. Berdirinya aku kasih berguguran.
Pasir mana yang aku genggam. Erat tanganku semakin layu bunga berkembang.
Bumi luas, aku sorang.

Rintih hati seorang lelaki melayu.

Kanda lupa cinta dinda seagung maya.
Cinta kanda, bukan semesta luasnya?
Masih kecil berbanding cinta dinda!
Tapi kanda ke mari juga.
Laksana orang haus dahaga, berjumpa air satu telaga.

Terkesan sungguh ayat-ayat cinta yang puitis ini.

Untuk diri ini, ini paling sesuai.

Apakan daya, tangan terikat dilangit, kaki terpasak dibumi, jasad tidak setanding mimpi. ~Hang Tuah~