Kita bicara lagi tentang makanan. Namun, perlu didalami falsafah tersirat disebaliknya.
Pernah makan nasi ambang (atau disebut nasi ambeng)? Biasanya, makanan ini mudah didapati di negeri Johor dan dikatakan berasal dari Jawa. Keunikan nasi ini terletak pada kepelbagaian lauk-pauknya. Umumnya, nasi ambang ini dibuat dengan menggunakan nasi putih, lauk ayam masak pedas/rendang/kicap/goreng, sambal goreng, serunding kelapa, mee goreng, ikan goreng, tempe goreng, ulam mentimun, kadangkala diletakkan dengan begedil, dan sebagainya. Dikatakan pada asalnya, nasi ambang ini terdiri daripada 21 lauk yang berbeza.
Setiap lauk dalam nasi ambang ini berbeza rasanya. Nasi rasanya berkanji, lauk ayam memberikan rasa pedas, serunding menghasilkan rasa yang berbeza dengan sambal goreng, ikan masin memberi rasa kemasinan dan sebagainya. Yang akhirnya, lauk-pauk ini secara harmoninya akan menghasilkan satu rasa yang kita panggil “inilah rasa nasi ambang”.
Kita pergi lebih jauh, mendalami falsafahnya.
Betapa manusia di dunia ini dicipta berbeza-beza. Ada yang hitam, ada yang putih. Ada yang pendiam, ada yang peramah. Ada ekstrovert, ada yang introvert. Ada yang nakal, ada yang sopan-santun. Ada yang jahat, ada yang baik.
Warna-warni manusia inilah boleh diibaratkan seperti lauk-pauk dalam nasi ambang tadi; berbeza rasa setiap lauk tersebut. Namun, dalam keadaan harmoni, ia akan menghasilkan satu keadaan yang berkualiti dan menarik.
Hairannya, manusia kadangkala ingin jadi stereotaip, sama sahaja.
Bila di sekolah, kalau nampak ada pelajar yang baik dan rajin, kadang-kala kita akan terdetik, “bagusnya kalau semua student aku begini”.
Ataupun apabila kita ternampak budak-budak melepak di kompleks membeli-belah, kita mungkin berkata, “kenapa la ada bebudak macam ni.”
Ataupun mungkin ketua kampung mahupun wakil rakyat pernah berkata, “kalaulah semua rakyat aku ni kaya, kan mudah.”
Sebenarnya yang menjadikan kehidupan itu menarik adalah kepelbagaian.
Di sekolah contohnya, kalau semua pelajar baik, tidak mencabar rasanya.
Kalau semua nakal, pitam pula akhirnya.
Kalau semua rajin, rimas jadinya.
Kalau semua peramah, jadi riuh suasana.
Kalau semua pendiam, sekolah ibarat gua.
Kalau semua pandai, cikgu kurang kerja, takut jadi malas pula.
Kalau semua pelajar lemah, jadi bebanan kerja.
Maka, apa yang penting ialah keharmonian. Kepelbagaian itu perlu disertai dengan keharmonian. Guru perlu mengharmonikan keadaan pelajar. Pemimpin perlu mengharmonikan rakyat. Dan yang lebih penting, kita mesti mengharmonikan diri kita dengan orang lain, barulah ‘nasi ambang’ yang kita dambakan akan menjadi.
Kalau kita semberono campurkan lauk atas nasi, takut bukan nasi ambang jadinya…
abang ali,
cube cari nasi ambeng kat bazar mahsuri,bbu.sodappp..:)
nk mkn nasi ambeng area kl ni?
blh dtg kt bazaar maeps serdang
niaga setiap sabtu 4ptg – 11 mlm
blh call tny
0129234679