Aidilfitri 1430H

19 09 2009

ucapan raya





Lotus F1 Team

17 09 2009

Semua orang sudah dengar pengumuman yang telah dibuat oleh PM.

Kita akan mempunyai pasukan sendiri dalam perlumbaan Formula 1.

Baguslah! Kerana saya sudah pasti akan kehilangan pasukan yang telah saya sokong selama satu dekad; Sauber. Maka, tahun depan, saya harus ada satu pasukan untuk disokong, dan pengumuman PM sudah tentu memberikan berita baik untuk saya.

Cuma mungkin banyak benda yang belum diperjelaskan kepada rakyat jelata.

Sungguhpun nama syarikat yang akan menguruskan pasukan ini dikenali sebagai 1Malaysia F1 Team Sdn Bhd, nama pasukannya adalah Lotus F1 Team, tidak seperti pasukan USF1 yang meletakkan nama negara mereka sebagai nama pasukan. Seluruh industri permotoran memperkatakan penyertaan ini sebagai “kembalinya Lotus dalam Formula 1“.

Principal pasukan ini ialah Dato’ Tony Fernandes manakala pengarah teknikalnya ialah Mike Gascoyne, yang sebelum ini pernah terlibat dengan pasukan Jordan, Spyker dan Force India.





Hikmah Kembara

14 09 2009

Pada suatu pagi yang hening, saya bertanya kepada pelajar-pelajar saya.

“Siapa pernah pergi ke Kuala Lumpur?”

Ramai yang mengangkat tangan. Baguslah! Lebih daripada separuh kelas pernah ke ibu negara Malaysia tersebut. Mudahlah untuk saya membuka cerita bagi membolehkan pelajar membuat tugasan di dalam kelas.

Saya sambung lagi soalan saya, “Siapa yang pernah pergi KLCC?”

Ramai juga yang mengangkat tangan. Baguslah! Lebih separuh kelas pernah ke Kuala Lumpur City Centre, tempat terbina menara berkembar Petronas, menara berkembar tertinggi di dunia itu.

Soalan diajukan lagi, “Siapa yang pernah pergi ke Petrosains di KLCC?”

Kali ini, respons memeranjatkan. Kurang separuh daripada yang mengangkat tangan tadi pernah ke Petrosains. “Habis tu, kamu ke KLCC buat apa?”. “Shopping dan jalan-jalan cikgu.”

Saya hairan. Saya tidak mahu menyalahkan ibu bapa dalam hal ini. Tetapi memang satu situasi merugikan jika anda dari Johor Bahru, pernah ke KLCC, tetapi tidak pernah singgah ke Petrosains.

Dahulu, saya sampai bergaduh-gaduh dengan bapa saudara saya semata-mata hendak ke Planetarium. Malahan, pernah tersangkut dalam jem angkara demonstrasi jalanan anjuran Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa zaman reformasi dahulu. Kalaulah Dato’ Seri Anwar membaca blog ini, saya ingin katakan padanya, yang dia pernah meragut impian seorang kanak-kanak yang terlalu ingin mengunjungi Planetarium Negara pada tahun 1998. Entah berapa ribu impian manusia lain yang pernah dimusnahkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini.

Bukan sekadar kembara ke Kuala Lumpur. Saya juga sempat bertanya kepada pelajar di kelas yang lain, “Siapa pernah pergi ke Tasik Kenyir dan Empangan Kenyir?”. Hanya seorang sahaja pernah ke sana, itupun pelajar yang merupakan anak yatim, yang kini tinggal di asrama anak-anak yatim.

Adakah kekangan kewangan menjadi penghalang untuk menambah pengalaman melalui percutian? Saya rasa jawapannya tidak. Kalau ya, sudah tentu saya tidak pernah ke Kenyir seawal umur 11 tahun. Tempoh hari, semasa mengingati kenangan lama, mak saya spontan berkata, “dulu masa duit tak seberapa pun, tetap berjalan gak, kan?” (Terima kasih ibu dan ayah)

Maka, saya seru kepada semua ibu bapa di luar sana. Kalau hendak berjalan-jalan, pilihlah tempat yang bagus ya! Jangan terlalu ghairah bershopping di KLCC atau Pavilion, kemudia memukul canang serata kampung, “I beli baju anak I di Pavilion KL, di butik terkenal tu,” tanpa menyedari yang anaknya tidak ada pengalaman ke Petrosains yang boleh membantu anaknya menambah ilmu.

Ada sesiapa warga Johor Bahru yang tidak pernah ke Muzium Diraja yang dahulu dikenali sebagai Istana Besar?





Weekend update…

7 09 2009

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Saya telah menghabiskan masa hujung minggu di Kuala Lumpur, mengenang kembali kenangan lama. Tempoh hari, semasa konvokesyen, saya tidak punyai banyak masa. Maka, hujung minggu lepas saya manfaatkan untuk berkunjung ke sana.

Destinasi, the one and only Sek Men Agama Persekutuan Kajang. Walaupun ini bukan tempat saya bertugas pada masa ini, bukan juga tempat saya menimba ilmu semasa sekolah menengah dahulu, ia tetap menjadi satu pecahan penting dalam hidup saya semasa bergelar mahasiswa dahulu.

Sebelum itu, saya sempat meninjau keadaan di Universiti Malaya. Keadaan di sana sedikit berubah; kafe fakulti sains sedang diubahsuai, ‘Slow Rock Cafe’ di Kolej Kediaman ke-10 sudah dibuka semula, dan banyak pembinaan infrastruktur baru sedang berlangsung. Moga UM terus sukses, selari dengan imejnya, Producing Leaders since 1905.

Berbuka puasa bersama-sama pendebat BM SMAPK sungguh seronok. Syukran jazilan buat Pn Siti Hajar kerana mengizinkan kami untuk menyepahkan rumahnya pada sabtu lepas. Masakan simple, rasanya enak! Selesai berbuka, masing-masing teringin melihat Masjid Mizan Zainal Abidin a.k.a Masjid Besi di Putrajaya. Maka, Honda City dan Proton Persona tersebut meluncur laju menuju ke Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Masjid tersebut indah. Cantik. Tempat mengambil wudhu’nya unik. Yang paling menarik tentang masjid ini ialah dikatakan tidak menggunakan kipas angin mahupun pendingin hawa, ada sistem penyejukan khas katanya. (Tetapi, semasa saya di sana, ada barisan kipas berdiri untuk jemaah tarawih, hehe!)

Seronok juga berada di Dataran Putrajaya, berhadapan bangunan Istana Kehakiman dan bangunan Perbadanan Putrajaya. Rasanya, kamilah manusia paling riuh di situ, dengan lawak kes-kes perbicaraan, Ayah Pin dan sebagainya. Lawak occassional yang intelek memang menjadi kegemaran pendebat!

Jujurnya, saya rindukan zaman bergelar mahasiswa. Tetapi, sebagai manusia, kita harus bergerak ke hadapan, move on kata orang putih. Tetapi apa salahnya sekali-sekala mengimbau nostalgia, kerana itulah yang menjadikan manusia, manusia…

Sept weekend





Nasi Ambang yang harmoni

2 09 2009

Kita bicara lagi tentang makanan. Namun, perlu didalami falsafah tersirat disebaliknya.

nasiambang

Pernah makan nasi ambang (atau disebut nasi ambeng)? Biasanya, makanan ini mudah didapati di negeri Johor dan dikatakan berasal dari Jawa. Keunikan nasi ini terletak pada kepelbagaian lauk-pauknya. Umumnya, nasi ambang ini dibuat dengan menggunakan nasi putih, lauk ayam masak pedas/rendang/kicap/goreng, sambal goreng, serunding kelapa, mee goreng, ikan goreng, tempe goreng, ulam mentimun, kadangkala diletakkan dengan begedil, dan sebagainya. Dikatakan pada asalnya, nasi ambang ini terdiri daripada 21 lauk yang berbeza.

Setiap lauk dalam nasi ambang ini berbeza rasanya. Nasi rasanya berkanji, lauk ayam memberikan rasa pedas, serunding menghasilkan rasa yang berbeza dengan sambal goreng, ikan masin memberi rasa kemasinan dan sebagainya. Yang akhirnya, lauk-pauk ini secara harmoninya akan menghasilkan satu rasa yang kita panggil “inilah rasa nasi ambang”.

Kita pergi lebih jauh, mendalami falsafahnya.

Betapa manusia di dunia ini dicipta berbeza-beza. Ada yang hitam, ada yang putih. Ada yang pendiam, ada yang peramah. Ada ekstrovert, ada yang introvert. Ada yang nakal, ada yang sopan-santun. Ada yang jahat, ada yang baik.

Warna-warni manusia inilah boleh diibaratkan seperti lauk-pauk dalam nasi ambang tadi; berbeza rasa setiap lauk tersebut. Namun, dalam keadaan harmoni, ia akan menghasilkan satu keadaan yang berkualiti dan menarik.

Hairannya, manusia kadangkala ingin jadi stereotaip, sama sahaja.

Bila di sekolah, kalau nampak ada pelajar yang baik dan rajin, kadang-kala kita akan terdetik, “bagusnya kalau semua student aku begini”.

Ataupun apabila kita ternampak budak-budak melepak di kompleks membeli-belah, kita mungkin berkata, “kenapa la ada bebudak macam ni.”

Ataupun mungkin ketua kampung mahupun wakil rakyat pernah berkata, “kalaulah semua rakyat aku ni kaya, kan mudah.”

Sebenarnya yang menjadikan kehidupan itu menarik adalah kepelbagaian.

Di sekolah contohnya, kalau semua pelajar baik, tidak mencabar rasanya.
Kalau semua nakal, pitam pula akhirnya.
Kalau semua rajin, rimas jadinya.
Kalau semua peramah, jadi riuh suasana.
Kalau semua pendiam, sekolah ibarat gua.
Kalau semua pandai, cikgu kurang kerja, takut jadi malas pula.
Kalau semua pelajar lemah, jadi bebanan kerja.

Maka, apa yang penting ialah keharmonian. Kepelbagaian itu perlu disertai dengan keharmonian. Guru perlu mengharmonikan keadaan pelajar. Pemimpin perlu mengharmonikan rakyat. Dan yang lebih penting, kita mesti mengharmonikan diri kita dengan orang lain, barulah ‘nasi ambang’ yang kita dambakan akan menjadi.

Kalau kita semberono campurkan lauk atas nasi, takut bukan nasi ambang jadinya…