Awalnya saya tertawa. Kini saya terharu. Undilah dia…

27 02 2008
Internet masih tiada di bilik. Oleh sebab kesuntukan masa untuk membuat entri, saya terus petik daripada sahabat saya Otel. Trimas Otel!!!
Kisah seorang nenda berusia 89 tahun yang akhirnya terkabul hajat bergelar calon pilihanraya pastinya dinanti-nanti kebanyakan pihak. Berikut adalah 3 potret gambar yang saya petik dari galeri pilihanraya website tertentu untuk menunjukkan kepada kalian, KEGIGIHAN SEORANG NENEK BERKEMPEN !
Nenda Maimun di hadapan terataknya. Mula atur strategi!

1.Nenda Maimun, 89 tahun berdiri di hadapan teratak usangnya untuk memulakan hari-hari penuh gembira yang setelah sekian lama dinantikan oleh nenek ini. Hari bergelar seorang calon PRU. Lihat penampilannya, tanpa baju kurung berlabuci (kebanyakan calon lain gemar memakai), tanpa fesyen tudung (berjambul atau bermanik) , tanpa kederaan pacuan 4 roda dan semestinya tanpa sesiapa di sisi. Nenek ini tetap tersenyum gembira memulakan langkah kempennya.

Mesra Gerai.

2.Memilih strategi ‘mesra gerai’ ! Tanpa perlu markas, tanpa perlu mikrofon. Nenda 89tahun ini menjalankan ceritera kempennya dengan menemui para pengundi dari gerai-gerai yang ada sekitar kampung halamannya. Sambil bertemu, sambil itu jualah nenda mencanang ‘ketidakpuashatian’nya kepada apa yang telah ada dan ambil kesempatan meraih undi. Agaknya, apakah manifesto insan super- veteran ini ya ?

lambaian harapan. Undi Nenek!

3. Menyusuri jalanan di kampung tercintanya, hanya berbasikal tua. Nenek ini melambai dengan penuh harapan kepada para pengundi yang ada agar ‘jangan lupa pangkah nenek ya’. Kayuhan dan lambaian nenek ini sambil tersenyum puas jelas menunjukkan betapa hati nenda ini sangat lega dan gembira akhirnya liputan aku sebagai calon menjadi kenyataan !

Dipetik dari malaysiakini – Maimun berkata, PAS mahu menjual negeri Terengganu kepada Jepun kerana lambang PAS hampir sama dengan bendera negeri matahari terbit itu. Menurutnya, beliau tidak mahu Terengganu menjadi seperti Singapura dan Pulau Pinang yang menjadi “negeri orang Cina.”

“BN pula mahu menjual negeri ini kepada orang luar dan kerana itu mereka buat bangunan tinggi supaya orang luar datang,” katanya. — mungkin ada benarnya firasat insan tua ini ?

Renunglah bersama —

Kadang-kadang dalam hidup ini, kemenangan tidak memberikan kita erti kepuasan yang sebenar. Tetapi, dapat melakukan dan melaksanakan apa yang dicita-citakan, pasti memberi nilai kepuasan yang optima. Inilah harga sebuah kesabaran dan kecekalan, Allah izinkan jua nawaitu nenda ini bergelar calon sebelum Allah menjemput diri nenda kembali ke pangkuan – Nya.

‘Percaya dan Yakin pada rezeki dan ketentuan Allah’